Followers

Friday, August 30, 2013

Saifuddin layak tanding ketua UmnoTemerloh Khairil Abdul Rahim,

 
TEMERLOH: Gelora pemilihan Umno tahun ini terus terasa bahangnya ke segenap peringkat. Di Pahang paling hangat diperkatakan ialah nasib dan masa depan politik bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Ini kerana beliau yang menyandang kerusi Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh, bakal bertembung dengan seorang ahli jawatankuasa Umno paling berpengaruh di sini iaitu Datuk Akbar VV Abu kali ini.

Akbar, 51, seorang ahli perniagaan dan Naib Pengerusi Persatuan Bolasepak Pahang, sudah tentu tidak tampil bersendirian kerana beliau selama ini dilihat sebagai ‘orang kuat’ Ketua Bahagian Umno sendiri iaitu Datuk Mohamad Sharkar Shamsudin.

Sharkar juga ialah Timbalan Pengerusi Umno Negeri Pahang dan merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum ini sudah terdengar desas-desus mengatakan terdapat usaha ‘orang-orang’ Sharkar cuba menyekat Saifuddin daripada melangkah ke hieraki parti yang lebih tinggi.

Saifuddin bertanding pertama kali pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan menang sebagai Ahli Parlimen Temerloh. Bintangnya cerah apabila terus dilantik sebagai timbalan menteri. Kemudian menang pula jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, pada pemilihan 2009.

Namun kekalahan Saifuddin pada PRU13 kepada calon PAS, Nasruddin Hassan sekali gus gagal mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh, dilihat seolah-olah menjadi isyarat untuk melenyapkan kerjaya politik bekas Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) itu.

Dari segi keperibadian, Saifuddin kelihatan amat disenangi penduduk Temerloh. Apatah lagi beliau juga mudah mesra dengan pemimpin Pakatan Rakyat setempat.

Namun beberapa kenyataan Saifuddin ada kalanya dianggap kontroversi oleh Umno kerana dilihat senada dengan pembangkang. Kesempatan ini telah dieksplotasi oleh kalangan Umno Temerloh untuk memburukkan beliau. Kerana tidak mudah bagi orang Umno untuk menerima seseorang yang berfikiran terbuka.

Di atas kertas memang kelihatannya Saifuddin yang juga tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan jawatannya namun kelebihan Akbar pula ialah beliau menetap di Temerloh dan mempunyai hubungan yang rapat dengan perwakilan-perwakilan daripada Umno cawangan sedangkan Saifudin walaupun berasal dari Temerloh, tetapi menetap di Kuala Lumpur.

Bagi veteran Umno Alang Ahmad, beliau menjangkakan Akbar yang akan menang dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua itu.

“Pendapat saya Akbar akan menang kerana beliau duduk di Temerloh iaitu kerap mendampingi rakyat dan berpengaruh di kalangan perwakilan Umno Cawangan. Popularitinya lebih berbanding Saifuddin.

“Jika ini benar-benar jadi kenyataan, karier politik Saifuddin mungkin lenyap. Kecuali (Datuk Seri) Najib sendiri turun bertemu Umno Bahagian Temerloh dan mengisytiharkan masih mahukan Saifudin, kerana ketokohannya di peringkat pusat,” katanya.

Tambahnya, ini lebih baik jika dibiarkan boleh merugikan Umno sendiri kerana tidak mustahil Saifuddin andainya kecewa boleh menyertai PAS atau PKR memandangkan arwah kedua ibu bapanya juga merupakan orang PAS.

Keadaan ini mengesahkan bahawa politik cantas mencantas adalah amalan biasa dalam Umno. Ketokohan seseorang tidak menjadikan ukuran kerana yang penting siapa yang boleh ‘bagi banyak’.

Seorang ahli Umno, Jaffri Ramli, mempunyai pendapat yang agak berbeza apabila menyarankan supaya Saifuddin bertindak nekad bertanding jawatan Ketua Bahagian atau sebaliknya kerjaya politiknya ranap.

“Sayanglah tokoh muda macam Saifuddin yang selama ini disegani kawan dan dihormati lawan. Ketokohan beliau bukan saja di Temerloh, malah boleh diketengahkan di peringkat negeri menjadi Menteri Besar sekalipun pada masa akan datang.

“Sebaiknya Saifuddin sendiri tampil menentang Sharkar untuk jawatan Ketua Bahagian Umno Temerloh. Sudah tiba masanya Saifuddin yang berkarisma itu keluar daripada bayang-bayang dan perangkap peringkat bawahan,” ujarnya.



Harakah Daily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.