Followers

Saturday, August 31, 2013

Rasuah, hutang jadi punca negara alami krisis kewangan – Rafizi

SHAH ALAM : Krisis kewangan Asia pada 1997-1998 berulang jika kerajaan Pusat tidak mengambil langkah proaktif dalam menangani krisis itu lebih awal.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan perlu memperbaiki mekanisme pembayaran hutang negara yang mencapai tahap kritikal.


Ia kerana, katanya, keadaan itu menyebabkan negara berdepan kesukaran apabila ekonomi dunia tidak mencapai pertumbuhan memberangsangkan.


“Jika berlaku gangguan dalam aliran tunai dunia dan ekonomi dunia, kerajaan hilang pilihan untuk menangani masalah itu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.


Rafizi berkata, pelabur akan mula menjual dan mengeluarkan wang dari negara ini apabila mereka meragui kemampuan kerajaan dalam hala tuju ekonominya.


“Keadaan itu ada persamaan dengan krisis ekonomi pada 1997,” katanya.


Beliau berkata, keadaan ekonomi negara ketika ini membimbangkan kerana Malaysia turut terheret dalam kegawatan ekonomi dunia berbanding Indonesia.


“Masalah di Malaysia ialah kerajaan Umno BN boros dan banyak rasuah dengan projek yang melibatkan komisen,” kata beliau.


Rafizi berkata, kerajaan perlu mengelakkan pembaziran kewangan dalam perbelanjaan agar tidak perlu membuat pinjaman sehingga menambah hutang negara.

“Kita perlu memulakan dengan perang habis-habisan terhadap rasuah supaya kita boleh mengurangkan pembaziran,” kata beliau.


Sebelum ini, nilai ringgit jatuh melebihi 7.0 peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap dollar dan ia rekod terburuk di kalangan negara Asia lain.


Bank Negara juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus sebelum ini.


Agensi penarafan kredit dunia, Fitch Ratings baru-baru ini meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif serta mempersoal langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.