Followers

Wednesday, August 21, 2013

PANAS - Lapan Warga Asing Dilantik Pegang Jawatan Penting Dalam MAS

 
Selepas berdepan kontroversi berhubung pelantikan PlaneConsult sebagai perunding, Malaysia Airlines System Bhd. 
(MAS) kini dipersoalkan kerana bertindak melantik lapan warga asing untuk memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat penerbangan negara itu.

Perkara tersebut disuarakan oleh bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang sebelum ini lantang meminta Kementerian Kewangan menyiasat pelantikan PlaneConsult sebagai perunding kepada MAS yang dianggap mempunyai konflik kepentingan dengan sebuah syarikat penerbangan tambang murah.


Menurut beliau, isu pelantikan warga asing dalam beberapa jawatan penting dalam MAS tidak pernah menjadi 'kebiasaan' ketika Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman memegang jawatan selaku Pengarah Urusan MAS pada 1972.

Malah jelasnya, Abdul Aziz juga tidak 'berminat' melantik perunding asing untuk 'berfikir' bagi pihaknya atau bertindak sebagai penasihat kepada 'orang kuat' dalam MAS.

''Mereka ini menjalankan kerja dengan pengalaman yang sedikit dan Tan Sri (Abdul Aziz) melantik bakat-bakat tempatan daripada kakitangan MAS sedia ada untuk bersama membangunkan MAS, daripada pesawat kecil B737-200 dan Fokker sehingga menjadi syarikat penerbangan ternama.

''Tetapi kini, kira-kira 20,000 kakitangan MAS cukup malang apabila sekadar menyaksikan pelantikan lapan warga asing untuk mengetuai beberapa jabatan khususnya dalam Unit Komersial. Jelas kepimpinan MAS tidak percaya (bakat) orang dalam MAS sendiri,'' katanya.

Beliau berkata demikian seperti dipetik dalam blognya, http://weechookeong.com.

Choo Keong berkata, apa yang menjadi persoalan adalah mengapa kebanyakan jawatan penting itu diisi oleh mereka yang hanya mempunyai pengalaman dalam syarikat penerbangan tambang murah sedangkan MAS memiliki pengalaman dalam legasi penerbangan selama 40 tahun.

''Khabar angin mengatakan akan ada seorang lagi warga asing akan dibawa masuk ke dalam MAS tidak lama lagi, tetapi tidak pasti jabatan apa yang bakal diketuainya,'' jelasnya.

Beliau kemudian mempertikaikan tindakan MAS melantik Seabury Consulting sebagai penganalisis perancangan rangkaian, awal tahun ini.

''Hanya Tuhan yang tahu berapakah bayaran yang terpaksa MAS keluarkan untuk Seabury Consulting menjalankan kerja-kerja terbabit. Entah mengapa, tiba-tiba MAS membuat keputusan untuk terbang semula ke Dubai dan Darwin,'' tambahnya. 

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.