Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Pakatan Rakyat (PR) akan
berbincang dengan Barisan Nasional (BN) berhubung beberapa isu berkaitan
kepentingan rakyat akan tetapi menafikan berkenaan dengan Kerajaan
Perpaduan.
Beliau menjelaskan antara topik perbincangan yang boleh diketengahkan
adalah dari segi ekonomi, jenayah dan kewibawaan badan kehakiman.
“Kami belum berbincang tentang kerajaan perpaduan namun PR sememangnya
terbuka bagi membincangkan isu yang berkaitan rakyat,” katanya semasa
ditemui pemberita di majlis sambutan Aidilfitri di Bangsar hari ini.
Anwar semasa ditemubual portal berita asing Asia Sentinel mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menghubunginya untuk mencadangkan agar diadakan kerajaan perpaduan di antara Umno dan PR.
Dalam wawancara itu Anwar berkata, usaha itu dibuat oleh Najib namun
beliau menolaknya melalui perantara sebelum ia sempat menjadi kenyataan.
Ini ekoran serangan yang dibuat oleh Utusan Malaysia ke atas masyarakat Cina dan India.
Ketua pembangkang itu menjelaskan isu asas mesti diselesaikan dahulu,
hentikan serangan perkauman, kerana ia memerlukan kefahaman dan
kesungguhan untuk reformasi dan perubahan.
Namun, sehingga itu, Anwar tidak menerima sebarang balasan dari Najib.
Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat
Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan Anwar berhubung wujudnya
rundingan kerajaan perpaduan di antara pihak kerajaan BN dan PR.
Menurut Najib, dakwaan berkenaan hanyalah “daya imaginasi” kerana tidak
ada sebarang usaha ke arah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.
Katanya, perbincangan mengenai kerajaan perpaduan tidak mungkin berlaku
selagi pihak pembangkang terutamanya Anwar serta kepimpinan PR masih
tidak menerima keputusan pilihanraya umum ke-13 (PRU13) dan mempertikai
keputusan tersebut.
Najib menjelaskan satu-satunya perjanjian politik yang ada ialah usaha
yang dilakukan oleh bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla sebelum
PRU13 bagi mendapat persetujuan agar mengelak daripada menyerang antara
satu sama lain dan menerima keputusan pilihanraya.
Perdana Menteri menjelaskan pengesahan Anwar berhubung kerajaan
perpaduan merupakan satu “ciptaan dan rekaan” kepentingan politik pihak
pembangkang. - 25 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.