Followers

Sunday, August 18, 2013

MAS perlu diswastakan, kata Dr Mahathir - OLEH MD IZWAN



Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) perlu diswastakan kerana berdepan dengan kerugian, kata Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).

Bekas Perdana Menteri itu berkata selagi MAS dikendalikan oleh kerajaan ianya tidak akan menjana keuntungan kerana wujud kebergantungan.

"MAS sudah lama beroperasi, macam-macam percubaan dilakukan supaya mendapat keuntungan.

"Kadang-kadang kita dapati syarikat miliki kerajaan ia tidak mempunyai keupayaan, apa yang terjadi kerajaan akan tanggung... Oleh sebab itu saya percaya kepada penswastaan," kata Dr Mahathir semasa sidang media di rumah terbukanya di Mines Resort City hari ini.
  Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan pihak yang akan diberikan untuk menjalankan penswastaan tersebut mestilah boleh dipercayai kemampuannya.

"Kenapa siapa ia akan dijual? Ia bergantung kepada siapa yang membuat tawaran lebih baik," terangnya lagi.

Menurut Dr Mahathir lagi, penswastaan akan menyebabkan pemilik sesebuah syarikat akan lebih peka kepada untung rugi dan bukan semata-mata hanya mewujudkan pekerjaan.

"Sepanjang pengalaman saya di Proton selepas ia diswastakan, pemilik baru sangat peka kepada untung rugi jadi mereka merombak keseluruhan pentadbiran baru untuk membuat untung kerana wang mereka menjadi pertaruhan.

"Saya juga menguruskan syarikat kerajaan sebelum ini, mereka hanya mahu mewujudkan pekerjaan maka kurang memberi perhatian kepada urus tadbir yang baik," kata beliau lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga bekas Pengarah Urusan MAS Datuk Seri Idris Jala berkata Putrajaya harus mempertimbangkan untuk menjual syarikat penerbangan negara tersebut tetapi bukan pada harga yang merugikan.

Beliau berkata, MAS telah didagangkan pada RM6 ketika beliau menerajui tetapi kini harga sahamnya telah jatuh kepada 30 sen.

Pengurus aset negara Khazanah Nasional Bhd adalah pemilik majoriti MAS, yang telah mencatatkan kerugian untuk enam suku tahunan berturut-turut.- 18 Ogos 2013.


The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.