Kemenangan Barisan Nasional dengan penuh penipuan dan bantuan
Suruhanjaya Pilihan Raya pada 5 Mei lalu, akhirnya 'klimex' tersebut
dibuktikan sebagai titik bermulanya nasib yang lebih malang untuk rakyat
Malaysia. Mungkin untuk tempoh 5 tahun, dan tidak mustahil untuk tempoh
lagi 50 tahun.
Semua harus sedar bahawa PRU13 adalah peluang terbaik untuk bukan sahaja
menyelamatkan negara ini, malah rakyatnya juga. Semua harus sedar
betapa perubahan dasar negara ini untuk menjadi lebih mesra rakyat,
mesra kepada rakyat dalam ertikata sebenar hanya boleh berlaku selepas
tumbangnya regim Barisan Nasional. Ini fakta yang klasik, walaupun masih
belum dibuktikan namun ia satu kepercayaan umum.
Minggu ini ada dua berita tidak baik, pertama mengenai kenaikkan tarif
letrik dan kedua fasal peminjam PTPTN yang gagal membayar pinjaman
secara konsisten bakal kehilangan hak untuk 'hidup' apabila nama
disenaraikan dalam sistem CCRIS. Ini sangat pelik, apakah negara ini
sudah rosak apabila pinjaman untuk melanjutkan pelajaran sudah setaraf
dengan pinjaman kad kredit, sewa-beli kenderaan dan pinjaman perumahan.
Padahal terma 'pinjaman' itu sendiri sepatutnya diganti biasiswa.
Kedua-duanya berita di atas punya kesan langsung yang menambah
kesempitan hidup rakyat dan diburukkan lagi oleh beberapa siri kenaikan
harga barang keperluan asas dan harga perkhidmatan.
Di sebalik keuntungan berbilion syarikat monopoli TNB, khabaran
kenaikkan tarif sudah kedengaran sejak awal tahun. Ia dititik-beratkan
lagi ketika memasuki musim pilihanraya dengan detonasi kenaikkan tarif
letrik akan berlaku sekiranya kerajaan BN kekal memerintah. Nah, ia
benar-benar berlaku.
Apakah rasional sebuah syarikat monopoli berkaitan kerajaan yang sudah
untung berbilion, menaikkan lagi tarif letriknya. Tidak kiralah apa jua
alasannya samada untuk menampung kos operasi TNB atau menokok tembolok
pengusaha IPP, soalnya mengapa rakyat terus menjadi mangsa? Sebagai
syarikat monopoli yang mana tiada satupun bil letrik dibayar kepada
pihak selain TNB, sepatutnya tidak mencari keuntungan syarikat
semata-mata tetapi rakyat yang menjadi pelanggan setia ini juga perlu
dipelihara.
Kerajaan sepatutnya menyebelahi rakyat, sepatutnya menjadi pelindung
rakyat, kerana itu kerajaan itu dipilih rakyat. Namun apakan daya, ini
kerajaan 47 peratus, kerajaan undi pos, kerajaan dakwat pewarna makanan,
penyangak yang menipu ini mana mungkin berniat menjaga rakyat.
Rungutan mula kedengaran, tarif letrik dikatakan mula naik mendadak
sebanyak dua kali ganda dari kebiasaan sejak beberapa bulan lalu.
Difahamkan, kenaikkan luar biasa ini berlaku setelah pengenalan meter
letrik jenis baru. Ia bukan kes terpencil, pengalaman kenaikkan bil
secara luar biasa ini dirasai semua.
Jika sebelum ini ramai pengguna yang kurang berkemampuan dan tidak punya
banyak perkakas elektrik mendapat manfaat bil letrik percuma apabila
mempunyai bil bawah RM20, kini angka RM20 sebulan itu hampir mustahil
dicapai dengan penggunaan meter baru yang serba kejam. Itu belum lagi
dikira kenaikkan tarif letrik.
Rakyat yang cuba meminimakan penggunaan eletrik, bergelap demi sedikit
'cahaya' supaya mendapat pengecualian RM20, namun keistimewaan ini
ditarik secara terancang. Apakah kenaikkan tarif ini juga satu cara
untuk pastikan semua bil letrik melebihi RM20 dan seterusnya tercicir
dari dikecualikan pembayaraan.
Inilah bonus kepada rakyat Malaysia hasil dari kekalnya sebuah kerajaan
korup yang bermodalkan retorik 'negara aman'. Lebih menarik, minggu ini
kita dikurniakan 'bonus kombo' apabila dua hadiah musibah dipakejkan
sekali. Sedang menunggu giliran untuk diberikan kepada rakyat
termasuklah pelaksanaan cukai GST sepenuhnya, pengenalan TPP dan seribu
kamera AES sebagai bonus minggu akan datang.
Justeru, apa lagi yang kerajaan mahu dari poket rakyat? Apakah rakyat hanya perlu pasrah dan berserah?
Kami dari SAMM tidak sesekali menyerah. SAMM dan beberapa front anak
muda serta front mahasiswa telah bertekad mengambil jalan yang lebih
radikal demi memastikan keadilan berada di tempatnya. Masa depan kami
menjadi pertaruhan demi masa depan seluruh anak bangsa.
Radikal? Radikal itu bukan maksudnya bakar kereta, mohon jangan ditafsir
dengan sifat bebal. Sifir 'jangan gopoh' dan sifir ikut saluran
petisyen yang digunapakai akhirnya memakan diri apabila sekali lagi
diperbodoh oleh regim penyangak. Bodoh ini dibayar pula dengan jumlah
jutaan ringgit - ini contoh kebodohan berbayar.
Bagi SAMM, penipuan pilihanraya yang didalangi oleh SPR perlu
dibangkitkan semula. Jawatankuasa SPR perlu diburu selagi tidak
melepaskan jawatan masing-masing. Ingatlah bahawa hak rakyat untuk
menikmati penurunan harga petrol seterusnya kelegaan harga keperluan
asas dinafi oleh demokrasi mati, hasrat mahasiswa untuk PTPTN dimansuh
turut dimusnahkan gara-gara penafian hak menukar kerajaan.
Dataran Merdeka wajib menjadi sasaran supaya diduduki sebagai tanda
protes dan bantahan khususnya di atas penafian demokrasi yang
berterusan. BERSIH 4.0 dilihat platform terbaik untuk perlawanan
terbaru.
Akhir sekali, mungkin ada yang bertanya mengapa ulasan saya mengenai
nasib peminjam PTPTN yang disenarai CCRIS sangat minima dalam tulisan
ini, cukuplah sekadar saya berpesan kepada peminjam PTPTN yang
disenarai-hitam: Ayuh lawan, atau melaratlah sampai mati! Sad but
true...
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.