Followers

Saturday, August 31, 2013

Kibar Jalur Gemilang tunggang kereta LEMBU


GEORGETOWN - Warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna hari ini mencipta keunikan tersendiri apabila mengibar Jalur Gemilang dengan menaiki sebuah kereta lembu berhias di perkarangan sekolah mereka di Jalan Scotland, di sini.

Perarakan berwarna-warni itu disertai 325 murid dan 27 guru yang memakai pakaian tradisional pelbagai kaum di negara ini sambil menyanyikan lagu patriotik dengan penuh bersemangat.

Guru Besar sekolah, K.Puvaneshwari berkata program itu hasil cetusan idea guru sekolah berkenaan untuk menzahirkan semangat patriotik terhadap negara sempena Hari Kemerdekaan ke-56 yang bakal disambut esok.

"Tahun ini kami cuba membuat kelainan untuk menerap rasa cinta warga sekolah terhadap negara sekali gus mencipta memori berharga buat kami," katanya kepada RTM dan Bernama.

Beliau berkata dalam program itu warga sekolah berkenaan turut mengecap tapak tangan pada kain rentang sepanjang lebih 100 meter sebagai simbolik perpaduan yang kemudiannya digantung di sekitar pagar sekolah.

Dalam ucapan ringkasnya Puvaneshwari menggesa warga sekolah menghargai nikmat kemerdekaan dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk mempertahankannya serta sentiasa berusaha memberi sumbangan bermakna kepada negara.

Beliau turut mengingatkan murid sekolah berkenaan supaya sentiasa mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian dan tidak jemu menuntut ilmu sebagai bekalan hidup masa depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.