Followers

Saturday, August 24, 2013

Ini Gambar Rumah Mewah Isa Samad Yang Di Pecah Masuk 4 Lelaki Kelmarin


Empat lelaki bersenjata parang memecah masuk rumah Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan mengikat lima anggota keluarga ahli politik berkenaan dalam kejadian di Nilai Springs Villa, di Nilai, Negri Sembilan, awal hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, tiga lelaki terbabit memasuki banglo itu ketika anggota keluarga Mohd Isa iaitu dua anak perempuannya, seorang menantu lelaki, seorang cucu dan anak saudara selain seorang pembantu rumah sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusoff Awang berkata ketika kejadian Mohd Isa dan isteri berada di sebuah lagi kediaman beliau di Seremban.

"Ketika semua mangsa sedang nyenyak tidur dalam bilik masing-masing tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai rakyat asing.

"Kesemua mangsa termasuk seorang pembantu rumah yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an dikumpul dalam sebuah bilik dan diikat oleh penjenayah berkenaan," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit kemudian menggeladah kediaman itu dan melarikan empat telefon bimbit serta dua peti besi yang mengandungi barang kemas serta jam berjenama milik ahli politik itu yang dianggar bernilai ribuan ringgit.

Katanya siasatan awal mendapati penjenayah memecah masuk kediaman itu melalui pagar belakang dan bertindak mengacukan parang terhadap seorang anggota polis bantuan yang berada di pondok pengawal di hadapan rumah itu dan mengikatnya.

"Seorang daripada suspek mengawal anggota polis bantuan itu manakala tiga lagi suspek masuk ke rumah mangsa selepas mengumpil tingkap rumah di bahagian belakang," katanya.

Mohd Yusoff berkata semua mangsa berjaya melepaskan diri dengan bantuan seorang anggota polis bantuan lain yang tiba selepas semua suspek beredar.



Jumlah kerugian sedang ditafsir oleh mangsa dan pihak polis sedang memburu semua suspek terlibat, katanya yang meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Mohd Isa dan anggota keluarganya enggan ditemui pemberita kerana masih trauma dengan kejadian itu. - Bernama

ULASAN GB

Rumah menteri kena rompak lagi. Sebelum ini rumah bangalow Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah dipecahmasuk oleh perompak.

Masihkah menteri boleh mendabik dada menyatakan negara kita paling selamat?

Berulang kali GB sudah katakan tapi Menteri KDN, Pemandu dan KPN masih bertegas menyatakan kadar jenayah dah turun.

Petikan ulasan GB yang lalu

Sekarang satu demi satu terkena batang hidung, beberapa hari lepas Bekas ketua Wanita UMNO Bukit hangus mati ditikam, pada bulan lalu banglo Rahim Tamby Chik diceroboh, dari berita di atas rumah bekas Ketua Polis Melaka dan jirannya di Taman Sentosa kena rompak dan kini rumah exco di pecahmasuk. Beberapa rumah artis juga menjadi sasaran seperti Wardina, Mawi dan terbaru rumah Aznil dan Imuda.

Kebenaran itu tidak boleh disembunyi atau ditipu. Ia akan muncul juga bahawa kadar jenayah tidak turun seperti yang digembar-gemburkan.

Anggota polis nampak gayanya lebih memberi tumpuan untuk menyekat parti politik pembangkang dengan segala kekuatan FRU, CID, SB dan sebagainya ditambah untuk mengekang kebangkitan rakyat dan mempertahankan kerajaan UMNO BN yang dah nak tumbang.

Sedangkan persoalan jenayah diabaikan dan dipandang remeh. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.