KEADILAN menganggap pengumuman Menteri Pendidikan II Idris Jusoh untuk
menyenaraikan peminjam PTPTN yang ingkar di bawah Sistem Maklumat
Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sebagai satu lagi kegagalan kerajaan
UMNO-BN untuk mempertahankan pendidikan sebagai hak asasi rakyat.
Dasar PTPTN yang disertakan dengan liberalisasi dan pengkorporatan
pendidikan tinggi Malaysia menjadi sebahagian daripada beban yang
dihadapi generasi muda di negara ini selain kadar upah dan gaji yang
rendah serta harga rumah dan kereta yang tinggi. Kesannya, mereka
berhadapan dengan pelbagai hutang yang berpanjangan. Menurut Bank
Negara, kadar hutang isirumah telah meningkat 12 peratus setiap tahun
pada lima tahun kebelakangan ini. Kadar muflis juga terus meningkat dari
tahun ke tahun, dan antara golongan utama yang menjadi mangsa ialah
golongan muda.
Harus diingat, kebanyakan mahasiswa yang menggunakan kemudahan PTPTN
merupakan mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan
sederhana rendah. Sekiranya keluarga mereka mampu, sudah tentu mereka
tidak meminjam dana PTPTN.
KEADILAN dan Pakatan tidak mempertikaikan keperluan peminjam yang mampu
dan berpendapatan baik untuk membayar semula hutang PTPTN. Namun yang
dipertikaikan ialah nasib majoriti peminjam yang terpaksa bergelut
dengan kos sara hidup yang tinggi dan berasal daripada keluarga biasa.
Atas sebab itu dasar pemberian diskaun bagi mereka yang menyelesaikan
keseluruhan hutang PTPTN secara sekaligus yang dibuat di dalam
belanjawan 2013 tidak adil memandangkan yang untung adalah mereka yang
mempunyai kedudukan kewangan yang baik!
Kesannya, pendidikan tidak lagi dapat menjadi pemangkin mobiliti sosial
bagi membolehkan rakyat dari keluarga berpendapatan rendah mendapat
peluang kehidupan yang lebih baik, sebaliknya melebarkan jurang antara
golongan kaya dan miskin di negara kita.
Ironisnya ketika mahasiswa biasa khususnya yang berpendapatan rendah
dikejar dan dihambat bagi mengutip hutang ini, kerajaan UMNO-Barisan
Nasional tidak mengambil apa-apa tindakan tegas mengatasi kedudukan
Malaysia sebagai negara yang mencatat aliran wang haram ketiga tertinggi
di dunia antara 2001-2010 (lebih dari RM800 bilion). Rasuah, ketirisan
dan hutang-hutang kroni makin berkembang.
Lebih malang lagi, pengenalan PTPTN telah menggalakkan pertumbuhan IPTS
tanpa kawalan. Tidak dinafikan wujud IPTS bermutu tetapi lebih banyak
lagi IPTS yang kurang berkualiti termasuk kilang-kilang ijazah! Lebih
malang lagi, motif keuntungan telah melambungkan yuran pengajian. Pada
tahun 1997 ketika PTPTN diperkenalkan, pinjaman sebanyak RM212 juta
disalurkan kepada mahasiswa IPTA, dan RM7 juta untuk mahasiswa IPTS.
Namun pada tahun 2012, mahasiswa IPTA menerima RM2.6 bilion manakala
mahasiswa IPTS RM6.1 bilion!
Kita harus menyedari bahawa pendidikan adalah hak asas seorang insan.
Dasar terbaru ini membuktikan bahawa UMNO-Barisan Nasional terus ingin
menjadikan pendidikan ini satu komoditi dan keistimewaan untuk mereka
yang berkemampuan. Penyelesaian sebenar isu ini hanyalah satu –
memansuhkan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma sebagai pelaburan
untuk masa depan anak-anak kita.
NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT.
BATU VS KAYU
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.