Followers

Sunday, August 18, 2013

Dr Mahathir mahu generasi muda diberi laluan dalam pemilihan Umno OLEH MD IZWAN


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi nasihat supaya Umno dikaji semula agar ia relevan menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi, secara tidak langsung memberi gambaran pemilihan kali ini sengit kerana sistem baru yang diperkenalkan.

Bekas Presiden Umno itu menggesa agar perwakilan dan kepimpinan memberi laluan kepada muka baru supaya tidak ketandusan di masa depan.


"Mereka perlu kaji diri mereka sendiri, parti tersebut telah menjadi tua dan banyak pemimpin yang berada di dalamnya terlalu lama.

"Ia sebabkan orang muda tidak mendapatinya ia menarik lagi," kata Dr Mahathir dalam sidang media di rumah terbukanya di Mines Resort City.

Dr Mahathir menyifatkan Umno tidak menyediakan peluang dan keterbukaan untuk mengetengahkan pemimpin muda supaya menonjol.

"Jadi nampak seolah-olah generasi muda ini nak main peranan yang lebih berkesan.
"Tapi dilihat kepada kepimpinan yang ada sekarang, di cawangan, negeri, nasional… kita tak bagi peluang," ujarnya lagi.

Kenyataan beliau turut disokong oleh anaknya Datuk Mukhriz Mahathir yang ditemui apabila menegaskan pemimpin muda dalam Umno tidak wajar dipinggirkan walaupun prestasinya tidak menyerlah tetapi peluang mestilah diberikan.

"Pemimpin muda Umno wajar diberi peluang dan tidak dipinggirkan kerana mereka tidak menyerlah.

"Harus buka pintu untuk mereka menyerlah," kata Muhkriz.
Disamping itu, Dr Mahathir memberi amaran sekiranya perkara tersebut tidak diteliti akan menyebabkan lebih ramai bakat muda cenderung beralih menyertai parti pembangkang.

"Yang jadi masalah lagi, Umno tak suka orang yang lebih pandai daripada pemimpin mereka.
"Jadi orang yang berkemampuan tak masuk Umno. Itu pasal ramai sekarang masuk PAS," katanya lagi.

Pemilihan Umno yang akan diadakan secara serentak pada 19 Oktober depan untuk memilih pemimpin di peringkat bahagian dan pusat bukan saja penting untuk kelangsungannya menghadapi pilihan raya akan datang, bahkan juga merupakan ujian kepada ahli peringkat akar umbi yang pertama kali diberi peluang memilih pemimpin serta mencorakkan parti itu.

Jika dulu hanya kira-kira 2,500 perwakilan terpilih yang akan menentukan pemimpin di peringkat atasan tetapi kini peluang itu sudah diperluaskan kepada kira-kira 150,000 perwakilan daripada lebih 20,000 cawangan Umno di seluruh negara.


The Malaysian Insider 
 
Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 2009 meluluskan pindaan iaitu perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno dengan menghapus sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.

Makanya, peluang ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dan mereka yang berjumlah lebih 150,000 ini seharusnya tidak lagi mengikut acuan yang pernah digunakan oleh 2,500 perwakilan sebelum ini yang begitu mudah diatur serta ditentukan telunjuknya. – 18 Ogos, 2013.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.