Followers

Saturday, August 3, 2013

Anwar beri keterangan awal untuk RCI Sabah - OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi keterangan awal kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing Di Sabah Supritendan Zainuddin Ismail di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Menurut Ketua Biro Guaman dan Hak Asasi Manusia PKR Latheefa Koya (gambar) penyiasatan itu bermula pada jam 3.30 petang dan tamat pada 4.45 petang tadi dan kenyataan Anwar akan disebut semula semasa RCI pada tarikh yang akan dikemukakan kelak.

Katanya, Anwar akan dipanggil sebelum penghujung September bagi menyatakan penglibatan bekas timbalan perdana menteri itu dalam Projek IC yang memberikan kad pengenalan kepada pendatang di Sabah.

“Soalan siasatan tadi berkisar sama ada Anwar terlibat dalam projek tersebut, adakah beliau memainkan peranan, siapa yang terlibat dan apakah polisi yang digunapakai semasa Projek IC itu dijalankan,” katanya.

Latheefa yang bersama Anwar semasa siasatan itu dijalankan berkata Anwar telah menerangkan peranannya kerana sesetengah soalan memerlukan dokumentasi dan jika ada soalan tambahan pihak penyiasat akan meemaklumkan kemudian.

 Zar Ali III's photo.


Beliau berkata antara yang turut ditanyakan penyiasat adalah cadangan Anwar bagi mengatasi masalah Projek IC yang kelihatan tiada pihak yang tampil memberikan jalan penyelesaian.

Katanya, RCI kelak bukan sahaja menyentuh sama ada Anwar terlibat tetapi apa yang diketahui semasa beliau menjawat jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
“Ini bukan perjumpaan awal tetapi ini adalah satu penyiasatan dan Anwar menjawab setiap soalan yang dikemukakan. Sebentar tadi, Anwar telah menafikan penglibatannya dalam Projek IC dan beliau telah menamakan tiga individu yang terlibat dalam projek itu,” katanya.

The Malaysian Insider melaporkan pada hujung bulan lalu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menafikan dakwaan RCI mengenai penglibatannya dalam "Projek IC" dengan mencari pendatang asing untuk diberi kad pengenalan.

Tuduhan itu dibuat bekas senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dr Chong Eng Leong pada RCI berhubung dengan pendatang haram di Sabah.

Bekas Peguam Negeri Sabah, Datuk Anthony Roderick Fernandez hadir ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan meminta kebenaran dari panel lima hakim mengenai nota rasmi prosiding Dr Chong.

Sementara itu, tiga beradik dari Filipina diberi sijil kelahiran, disusuli kad pengenalan selepas mereka menjadi anak angkat kepada penduduk tempatan pada 1980-an.

Perkara itu didedahkan semasa RCI oleh Mohd Shafee Mohd Yusof yang menceritakan bagaimana bapa tiri dan ibunya menyeludup mereka dari Zamboanga ke Semporna.


Beliau turut menyatakan ibu dan bapa tirinya kekal sebagai pendatang tanpa izin berikutan mereka tidak diberi sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, satu-satunya maklumat yang benar dalam sijil kelahiran lewatnya adalah tarikh lahirnya manakala butiran lain palsu belaka.

Beliau juga mengaku sangat mudah untuk mendapat kad pengenalan diri pada masa lalu terutama melalui bantuan penduduk tempatan.


Mohd Shafee mengahwini wanita Filipina beberapa tahun lalu dan tiga anaknya memiliki kewarganegaraan Malaysia. - 2 Ogos, 2013.



The Malaysia Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.