Followers

Monday, July 8, 2013

Zahid ‘menunjuk-nunjuk’ ketegasan demi pemilihan Umno - Oleh Jahabar Sadiq, Pengarang


ANALISIS: Individu paling tercabar dalam Umno hari ini ialah Naib Presiden, Datuk  Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bukan sebagai seorang penunggang motosikal besar, Harley-Davidson miliknya tetapi sebagai Menteri Dalam Negeri yang percaya Akta Hasutan harus kekal, bukan dipinda seperti desakan aktivis kebebasan awam.

Menteri berusia 60 tahun itu ada alasan baik untuk berbuat demikian sehingga pemilihan Umno berakhir tahun ini.
Konsensus parti menetapkan dua jawatan tertinggi tidak dipertanding tetapi ia tidak membabitkan tiga naib presiden. 

Sedangkan desas-desus menyatakan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir bakal bertanding.

"Jangan harap Zahid berhenti bermain kontroversi depan ahli Umno yang tercari-cari kepimpinan dalam parti pada masa ini.

"Dan Zahid memberitahu parti yang beliau seorang pemimpin yang baik  berbanding orang lain dan wajar kekal sebagai naib presiden melalui  ketegasan pendiriannya," kata seorang pemimpin parti itu kepada The  Malaysian Insider.

Pemimpin itu menyedari Zahid mengasah imej sebagai pemimpin yang tegas sejak isu pencerobohan Sulu di Sabah Februari lalu ketika mengambil alih tugas sebagai Menteri Pertahanan manakala Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilihat lambat bertindak bagi menangani krisis berkenaan.

Penganalisis menunjukkan, Zahid dan Hishammuddin sebagai naib presiden selain Datuk Seri Shafie Apdal dan sebarang pertandingan bakal  menjejaskan kedudukan mereka.

"Shafie ada undi Sabah. Jadi ia bergantung kepada siapa lebih kuat dan  lebih tegas - Zahid atau Hisham - untuk kekal sebagai naib presiden jika ada pertandingan," kata penganalisis itu kepada The Malaysian Insider.

Keperluan mengekal kedudukan parti itu memaksa Zahid yang gemar  tersenyum itu mengambil pendekatan keras dalam beberapa isu, dari  demontrasi jalanan hingga kepada pengekalan undang-undang tertentu.

Beliau mencari media untuk membantah pengumuman Datuk Seri Najib Razak  berkaitan kontroversi pindaan Akta Hasutan, dengan menyatakan Kabinet belum membuat keputusan mengenai undang-undang yang kerap digunakan  terhadap ahli politik pembangkang itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Najib menyekat Zahid dengan menyatakan Perdana Menteri sudah berjanji setahun lalu untuk menggantikan akta itu kepada Akta Keharmonian Kebangsaan bagi menjaga hubungan dengan pelbagai kaum di negara ini.

Najib yang berada di luar negara tidak menjawab pandangan Zahid mengenai pindaan akta yang diwujudkan sejak zaman penjajah itu.

Akan tetapi, tidak ramai menjangka tindakan diambil terhadap Zahid yang pernah menjadi setiausaha politik Najib pada 1980-an sebelum menang kali pertama pada pilihan raya umum 1995 bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh.

"Zahid sudah lama jadi sekutu Najib. Jadi ini hanya 'ribut dalam cawan' sahaja dan suatu permainan menjelang pemilihan Umno," kata pemimpin Umno kepada The Malaysian Insider.

Hingga kini, katanya, Zahid terus menjadi menteri kontroversi yang menunggang motosikal dengan jaket kulit dan topi keledar yang menderum enjin untuk menunjuk-nunjuk untuk perjalanan singkat.

"Seperti kebanyakan pemilik Harley-Davidson, menunjuk-nunjuk cuma di hujung minggu bersama anak. Ia menarik tapi hanya untuk masa lapang," kata pemimpin Umno itu. - 8 Julai, 2013.


Malaysia Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.