Polis masih siasat surat gelombang ke-2 pengganas
KOTA
KINABALU - Polis Sabah masih menyiasat sumber surat yang mendakwa akan
berlaku gelombang kedua kemasukan pengganas ke negeri itu, namun pada
masa yang sama percaya surat berkenaan tiada kaitan dengan pengganas
Sulu.
Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata ini kerana bahasa yang diguna tidak
menunjukkan surat itu ditulis oleh pengganas dari negara jiran
berkenaan.
"Polis percaya
mereka cuba untuk menakutkan dan cuba mengganggu perbicaraan 30 orang
yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah
Khas) 2011," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa bersama
pegawai dan anggota polis di sini malam tadi.
Bagaimanapun
kata Hamza pihak keselamatan tidak mengambil mudah khabar angin itu dan
telah mengambil tindakan perlu bagi memperkukuh kawalan keselamatan di
Sabah.
"Dengan
kerjasama daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom), semua
laluan laut terutamanya di kawasan pantai timur diperkuatkan dengan
melibatkan semua agensi seperti tentera laut, Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia dan angkatan tentera yang kita tempatkan secara
bergilir," katanya.
Surat bertarikh
3 Julai itu yang ditandatangani oleh 'Komando Militan' bagi pihak
Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah
Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan, memberi amaran mereka
mahu memulakan perang di daerah itu pada Ogos ini sebagai membalas
dendam terhadap pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Mac lepas.
Mengulas
perkara lain, Hamza berkata polis Sabah kini mengadakan pra-Ops Selamat
bagi mengingatkan orang ramai berkenaan Ops Selamat yang akan
dilancarkan di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri bulan depan.
Katanya
sepanjang Ops Selamat kelak, polis Sabah akan bekerjasama dengan semua
pihak bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin.
Beliau turut
memberi amaran kepada masyarakat agar tidak terbabit dalam aktiviti
membakar mercun dan bunga api yang dilarang, atau berdepan tindakan
tegas polis.
"Saban tahun Sabah belum ada rekod yang cedera disebabkan mercun, jadi kita berharap rekod ini dapat dikekalkan," katanya. - SH
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.