ROMPIN – Harga siling bagi ayam sebanyak RM7.70 yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos tidak mendapat reaksi yang positif segolongan peniaga, di sini.
Difahamkan, ia tidak disambut baik kerana memandangkan harga ayam hidup
daripada pembekal yang belum tentu akan turun selaras dengan harga siling.
Peniaga ayam, Syed Azhar Syed Aziz, 38, berkata, tidak bersetuju dengan
harga siling yang ditetapkan jika harga ayam hidup masih kekal.
“Kalau harga ayam hidup masih kekal seperti sekarang, saya tidak setuju
dengan harga siling yang telah ditetapkan itu kerana ia akan membebankan
peniaga juga.
“Kos bagi sekilogram ayam selepas diproses sahaja sudah RM7.20, jika
harga ayam hidup ikut turun, baru boleh jual ikut harga siling,”
katanya.
Menurutnya, kemungkinan juga akan berhenti meniaga
dalam tempoh ayam dijual mengikut harga siling jika harga ayam hidup
masih tidak turun.
“Jika harga ayam hidup masih kekal semasa tempoh harga siling,
kemungkinan saya tidak akan meniaga kerana secara logik sudah tentu akan
rugi.
“Daripada saya meniaga dan kemudiannya rugi, tambah pula kena saman
dengan KPDNKK lagi sebab tidak jual ayam ikut harga siling, lebih baik
tidak meniaga terus,” katanya.
Beliau yang juga berniaga di Pasar Besar Rompin berkata, memang mahu
menjual ayam dengan harga murah agar dapat menarik ramai pembeli.
“Saya ada pekerja seramai empat orang dan setiap seorang menerima bayaran gaji sebanyak RM30.00 sehari.
“Untuk itu, kos operasi sehari sekurang-kurangnya RM250.00 dan saya kena
jual lebih 100 ekor ayam baru boleh lepas bayar gaji pekerja dengan
untung yang tidaklah terlalu banyak,” katanya.
Ditanya tentang mungkin wujud pakatan pembekal dengan peniaga naikkan harga ayam, beliau nafikan khabar angin itu.
“Isu pakatan antara pembekal dengan peniaga ini bagi saya tidak logik.
Peniaga jual ayam dengan harga mahal tapi orang tak nak beli, jadinya
pembekal juga yang untung,” katanya. SH
Shalahudin.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.