Followers

Wednesday, July 3, 2013

Statistik keberkesanan SPRM masih rendah - Rafizi Oleh Rafizi Ramli

 
Saya merujuk kepada jawapan di Parlimen yang diberikan oleh Senator Dato’ Paul Low mengenai jumlah pertuduhan bersabit kes rasuah yang telah dibuat yang ada dilampirkan bersama.

Untuk menentukan keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maklumat ini perlu dibaca bersama dengan data-data operasi SPRM dan dibandingkan dengan maklumat yang sama dari negara yang diiktiraf berkesan menangani gejala rasuah.

Saya telah mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam dan mendapati bahawa keberkesanan SPRM berbanding dengan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) boleh dibandingkan menggunakan data-data berikut:

Jumlah laporan dan maklumat per kapita


SPRM ICAC
Jumlah Maklumat yang Diterima dalam tahun 2011
(mengikut laporan tahunan masing-masing)
6,475 4,010
Jumlah Penduduk Terkini 28,600,000 7,173,900
Peratus Laporan Diterima Per Kapita 0.02% 0.06%



Jumlah maklumat yang diterima oleh SPRM per kapita adalah jauh lebih rendah berbanding maklumat yang diterima oleh ICAC (satu pertiga dari maklumat yang diterima ICAC). 

Ini bermakna banyak kejadian rasuah masih belum dilaporkan kepada SPRM, sama ada berpunca dari persepsi rakyat yang tidak yakin dengan keupayaan SPRM ataupun rakyat yang masih menerima perlakuan rasuah sebagai amalan biasa.

Keadaan ini adalah salah satu sebab kenapa indeks persepsi rasuah (CPI) tidak meningkat walaupun pelbagai jalan diambil kerana rakyat tahu dikalangan mereka masih banyak kes rasuah yang berlaku tetapi tidak diambil tindakan (besar kemungkinan kerana tidak dilaporkan pun kepada SPRM).

Jumlah tindakan dan kertas siasatan berbanding maklumat yang diterima


SPRM ICAC

Jumlah Maklumat yang Diterima dalam tahun 2011
(mengikut laporan tahunan masing-masing)

6,475 4,010
Jumlah Tindakan yang Diambil dalam bentuk Kertas Siasatan yang Dibuka 1,304 3,072
Peratus Tindakan Diambil berbanding Laporan Diterima 20% 77%


Perbandingan statistik di antara SPRM dan ICAC mengukuhkan lagi persepsi yang meragui keberkesanan SPRM apabila jumlah tindakan yang diambil apabila maklumat diberikan (dalam bentuk kertas siasatan dibuka) hanyalah 1,304 berbanding 6,475 maklumat yang diterima.

Ini bermakna daripada setiap 5 maklumat berkenaan rasuah yang diberikan, hanya 1 yang berakhir dengan kertas siasatan dibuka. Ini jauh lebih rendah berbanding dengan kadar 77% tindakan diambil ke atas setiap satu maklumat yang disampaikan kepada ICAC.

Jumlah siasatan yang berakhir dengan pendakwaan

SPRM ICAC
Jumlah Kes yang Dibawa untuk Pendakwaan (2009 hingga 2013) mengikut jawapan Menteri, berbanding Kes ICAC bagi tahun 2011
1,310 152
Jumlah Pendakwaan yang disabitkan Kesalahan 888 131
Peratus Kejayaan Pendakwaan 68% 86%


Untuk menilai keberkesanan pendakwaan yang berakhir dengan sabitan kesalahan, saya membandingkan peratusan purata bagi tempoh 2009 hingga Mei 2013 bagi Malaysia (seperti jawapan Menteri) dengan kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah Hong Kong yang dibawa oleh ICAC bagi tahun 2011. 

Sekali lagi, sabitan kesalahan kes yang dikendalikan ICAC adalah lebih tinggi hingga mencecah 86% berbanding dengan sabitan kesalahan kes-kes yang dibawa oleh SPRM.

Angka-angka ini membuktikan stigma yang masih wujud dan menebal di kalangan rakyat yang meragui keberkesanan dan kebebasan SPRM dalam menjalankan siasatan. Apatah lagi apabila hanya satu dari setiap lima laporan yang dibuat yang berakhir dengan siasatan sedangkan sebahagian besar dikategorikan sebagai “tiada tindakan lanjut”.

Ini adalah cabaran besar buat Senator Dato’ Paul Low yang diberi mandat untuk menaikkan imej dan kepercayaan rakyat terhadap SPRM. Saya akan memantau setiap tahun angka-angka ini dan akan terus membawanya ke Parlimen supaya ia dapat menghasilkan tindakan yang memperbaiki kelemahan-kelemahan SPRM sedia ada.

* Penulis adalah Pengarah Strategi PKR dan Ahli Parlimen Pandan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.