Followers

Monday, July 8, 2013

RENCANA: Kemaruk melawan Oleh Zulhabri Supian

 
Pilihan raya sudah dua bulan berlalu. Beberapa hari pasca-5 Mei amarah rakyat yang mengundi parti Pakatan Rakyat (PR) kepada Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat terasa. 

Kini amarah dan tangis itu semakin mengendur. Apakah itu bermakna rakyat Malaysia sudah pancut awal?

Mengendurnya kemarahan rakyat secara tidak langsung menolak pandangan bahawa pilihan jalan raya adalah senjata paling ampuh untuk menumbangkan kerajaan, sekurang-kurangnya buat masa ini. 

Majoriti pengundi PR masih meletakkan kepercayaan pada pilihan raya dan dalam diam berharap adanya reformasi sistem pilihan raya.

Saya percaya majoriti dari 52 peratus pengundi PR tidak menganggotai mana-mana parti dalam PR. Mereka adalah rakyat yang ingin negara ini ditadbir dengan lebih baik. 

Selebihnya adalah anggota, penyokong dan simpatisan PR serta aktivis-aktivis hak asasi manusia, demokrasi, wanita, orang asal dan sebagainya.

Tidak boleh dinafikan gerak kerja perubahan politik di negara ini banyak dilakukan oleh pemimpin, anggota dan penyokong PR dan selebihnya aktivis-aktivis. Kredit harus diberi kerana tanpa usaha mereka Malaysia tidak akan sampai ke tahap ini. 

Seperti banyak dicatat sejarah, rakyat cenderung mengikut apabila angin perubahan itu terasa sangat kuat seperti terjadi di Indonesia, Mesir dan Tunisia. Dalam hal ini, jangan menyalahkan rakyat kerana mereka punya kesibukan harian yang berbeza dengan kesibukan penggerak perubahan.

Teriak-teriak melawan dan “revolusi” kuat kedengaran pasca-5 Mei. Mulanya saya ikut ghairah meski bukan jalan raya apabila puluhan ribu berkumpul di Stadium Kelana Jaya. Majoriti anak muda pelbagai bangsa yang hadir memberi kekuatan baru. Ramai di antara mereka kenalan di Facebook, dan majoriti status mereka diisi dengan fesyen dan makanan.

Selepas Kelana Jaya, seruan turun ke jalan raya semakin nyaring kerana majoriti penggerak perubahan merasakan berkumpul di dalam stadium atau padang sesuatu yang tidak betul. 

Untuk menyakinkan, mereka menyebut Himpunan Kebangkitan Rakyat sebagai contoh kegagalan berdemonstrasi di dalam stadium dan mengutip contoh-contoh revolusi yang tidak pernah berlaku di dalam stadium.

Untuk mereka, demonstrasi wajib di jalan raya supaya mudah memancing provokasi pasukan keselamatan seterusnya berlaku pertempuran. Detik ini sangat ditunggu anak muda yang kemaruk melawan. Alangkah bahagianya mereka apabila terkena pancutan air dan gas pemedih mata. 

Kata mereka demonstrasi yang tidak diganggu bukanlah demonstrasi. Kadang-kadang hairan, jika benar ingin bertempur masuklah ke dalam dunia kongsi gelap, jaringan teroris dan sebagainya. Kasihanilah mereka yang “lurus” menuntut perubahan.

Jelas rakyat lebih berkuasa dari penggerak perubahan, mereka berkeupayaan memilih perubahan cara mana yang dimahukan tanpa mengorbankan kehidupan seharian mereka. Tipu pilihan raya tetapi rakyat tidak turun ke jalan raya. 

Mereka bukan pengecut sebaliknya mereka lebih mengerti dinamik politik di Malaysia. Mereka ingin perubahan tetapi mereka tidak percaya sepenuhnya bahawa BN dan SPR itu sejahat yang dituduh.

Kenalan-kenalan Facebook yang turun di Kelana Jaya hampir semuanya tidak menyahut seruan ke jalan raya (berarak ke Padang Merbok). Alasan mereka rata-rata, gunakanlah cara yang lain. 

Maka akhirnya kehadiran di bawah jangkaan dan majoriti yang hadir adalah penggerak perubahan (hardcore supporters) baik berskala besar, sederhana mahupun kecil termasuk saya.

Penggerak perubahan harus lebih kreatif memancing rakyat dan jangan mudah terpesona dengan model Indonesia dan Mesir. Ramuan-ramuan untuk melepaskan amarah di jalan raya yang ada di dua negara tersebut seperti kemiskinan tidak terlalu nyata di sini.

Menurut saya, kunci kepada perubahan ada dua; terus mencerah dan memperkasa kelas menengah kota dan terus mencerah dan memperkasa warga desa. Kedua-duanya hidup selesa dan sejahtera mengikut kayu ukur mereka. Ini cabaran kita semua, mereka hidup sejahtera kerana BN tidak seteruk yang disangka. 

Jalan raya harus jalan terus tetapi jangan menghakimi mereka yang enggan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.