Followers

Sunday, July 21, 2013

Penduduk 'Kuala Tahan' Bergelap Ketika Berbuka Puasa



JERANTUT - Penduduk di Kuala Tahan dan Taman Negara mohon pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) meletakkan kakitangan mereka di kawasan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku masalah gangguan bekalan elektrik. 
 
Yang Dipertua Persatuan Usahawan Taman Negara, Hussain Basri berkata, tiga tahun lalu, terdapat kakitangan TNB yang bertugas di kawasan Taman Negara, namun selepas itu tiada lagi. 
 
Menurutnya, sekiranya berlaku masalah bekalan elektrik terputus, kakitangan bertugas boleh bertindak pantas membaik pulih bekalan. “Ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan pelancong bising dan ini boleh menjejaskan imej pelancongan di Taman Negara. 
 
“Selain itu kita juga minta pihak TNB membekalkan alat jana kuasa bergerak di sini supaya jika bekalan elektrik terputus, ia boleh berfungsi buat sementara waktu sebelum dibaiki sepenuhnya,” katanya. 
 
Pada 17 Julai lalu, penduduk di Kuala Tahan dan Taman Negara terpaksa berbuka puasa dalam keadaan bergelap apabila bekalan elektrik terputus dan hanya dibaik pulih keesokan harinya kira-kira jam 3 petang. 
 
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Taman Negara, Zamri Mat Amin berkata, ketiadaan bekalan elektrik itu menyebabkan ramai pelancong di Taman Negara merungut kerana kepanasan. 
 
“Sekarang musim pelancongan di mana ramai pelancong luar negara berkunjung ke Taman Negara. Ketiadaan bekalan elektrik itu menyebabkan mereka bising dan kurang selesa. 
 
“Selain itu banyak kegiatan di Taman Negara terpaksa dihentikan sehingga bekalan elektrik kembali pulih,” katanya. Sementara itu, Pengurus TNB Jerantut, Redzuan Zainal Abidin berkata, angin kencang dan hujan lebat menyebabkan kabel elektrik Jerantut-Kuala Tahan terputus akibat ditimpa dahan pokok. 
 
Menurutnya, hanya itu sahaja punca elektrik yang membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk Kuala Tahan dan Taman Negara. 
 
“Selepas kami menerima aduan tersebut, pasukan TNB segera ke lokasi dan memasang ganset (jana kuasa), tetapi ia meletup kerana tidak mampu menampung arus elektrik yang kuat. 
 
“Kelewatan membaiki bekalan itu disebabkan masalah teknikal di mana satu ganset sudah tiba tetapi satu lagi masih dalam perjalanan,” katanya lagi.  
 
 
Pahang Daily Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.