Followers

Tuesday, July 2, 2013

MP: Siapa perunding M'sia dalam TPPA? - Abdul Rahim Sabri

 
 
MP Gombak Azmin Ali mendesak kerajaan mendedahkan nama kumpulan perunding yang terlibat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bagi memastikan pihak berkenaan terdiri dari golongan yang mahir dalam isu perdagangan bebas.

Berucap membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata kejayaan proses rundingan bergantung kepada kebolehan kumpulan perunding yang mewakili negara.

Menurutnya lagi, ketelusan dan akauntabiliti dalam isu rundingan perjanjian itu juga penting kerana rakyat berhak mengetahui butiran perbincangan tersebut.


"Hal ini penting untuk memastikan proses semak dan imbang serta perbincangan yang konstruktif berlaku demi kepentingan rakyat," katanya.

"Maka kerajaan bertanggungjawab untuk mendedahkan nama kumpulan perunding ini yang sepatutnya terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran, kemahiran dan kebolehan dalam bidang tersebut," katanya.

Azmin juga berkata, beliau tidak yakin dengan kemampuan menteri dan timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsan dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta timbalan, Hamim Samuri.

Sebaliknya, beliau lebih yakin dengan kemampuan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafizah Aziz yang didakwanya lebih mahir di meja rundingan antarabangsa.

Beliau bimbang Malaysia akan kerugian dalam rundingan TPPA, seperti yang berlaku apabila negara gagal mempertahankan hak ke atas Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008.


"Kita tidak mahu peristiwa Pulau Batu Puteh berulang lagi kerana Malaysia hanya menampilkan pasukan atau perwakilan peringkat pegawai," katanya. 

Katanya lagi, perjanjian TPPA amat penting kerana berpotensi "mengancam kedaulatan negara atas nama kebebasan perdagangan dan pelaburan".

Perjanjian itu akan memberi dampak langsung kepada pelbagai sektor ekonomi negara termasuk tenaga buruh, kadar upah, aliran modal, pelaburan, kesihatan awam dan alam sekitar, katanya.



Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.