Malaysia sedang menyaksikan senario yang tidak pernah berlaku sebelum
ini apabila tiga bekas ketua hakim bersatu menentang menteri dalam
negeri dan timbalannya mengenai apa yang sah di sisi undang-undang.
Beberapa alasan pelik ditawarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya,, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai
sebab mengapa kerajaan tidak mahu menggunakan pandangan yang dicadangkan
tiga bekas ketua hakim, yang menjadi sebahagian anggota Suruhanjaya
Inkuiri Diraja (RCI) yang menggesa keperluan badan berkecuali untuk
memantau polis.
Kata Kadir, alasan paling pelik ialah penubuhan badan itu bertentangan
dengan undang-undang. Bekas Editor Kumpulan New Straits Times, Datuk
Kadir Jasin, turut duduk dalam RCI itu bersama tiga bekas ketua hakim
berkenaan pada tahun 2004.
"Siapa lagi yang lebih tahu mengenai undang-undang?" tanyanya dalam entri terbaru blognya.
Beliau berkata, bekas Ketua Polis negara, Tun Hanif Omar turut berada
dalam suruhanjaya itu bersama bekas Ketua Hakim, Tun Mohamed Dzaiddin
dan Tun Salleh Abas. Turut bersama dalam inkuiri itu ialah peguam kanan
yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim, Tun Zaki Amir.
Inkuiri ini pada sembilan tahun lalu mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Cadangan itu mengundang banyak kritikan daripada polis sehingga Perdana
Menteri pada masa itu, Tun Abdullah Badawi dengan cepat terlupa
mengenainya. Sebaliknya, satu badan pengawasan dicipta - dengan seorang
sahaja bertanggungjawab memantau polis.
Kemudian, 18 lagi agensi ditambah. Polis kelihatannya tidak ada masalah dengan perkara itu.
Tetapi, ia memberi sedikit masalah kepada bekas anggota inkuiri, Kadir.
"Jika kerajaan Barisan Nasional tidak berminat menubuhkan IPCMC, tolong
jangan gunakan nama-nama besar Malaysia seperti Tun Mohamed Dzaidin, Tun
Hanif dan Tun Zaki sebagai `kambing hitam' dan menjadi tempat orang
melepas marah," kata Kadir dalam blognya.
Dalam entri terbarunya yang kelihatan agak sinis, Kadir menuding jari ke
arah Zahid dan Junaidi dengan menyatakan pasangan itu percaya mereka
lebih tahu mengenai undang-undang dan Perlembagaan berbanding anggota
inkuiri.
Beliau berkata, jika menteri dalam negeri dan timbalannya percaya mereka
lebih hebat daripada anggota inkuiri, sudah tentu mereka mendapatkan
`bantuan orang yang sepatutnya berpengetahuan dalam Jabatan Peguam
Negara' untuk mempertingkat rangka kerja undang-undang IPCMC."
Bekas Timbalan Ketua Wanita Umno yang juga anggota inkuiri, Datuk
Kamilia Ibrahim turut mencemuh dakwaan menteri dalam negeri bahawa IPCMC
tidak mengikut perlembagaan.
Dalam kenyataannya di Malaysikini, beliau yang juga seorang peguam
berkata, badan seumpama IPCMC sudah ditubuhkan di United Kingdom dan
Australia.
"Kenapa ia tidak boleh dilaksanakan di sini? Kita tidak boleh meminta
polis menyiasat sendiri kes seperti kematian tahanan dalam lokap, salah
guna kuasa atau rasuah," katanya.
"Tujuan IPCMC ialah untuk memastikan pasukan polis berfungsi dengan
baik, kerana orang awam yang juga pembayar cukai mahu kepastian polis
ikhlas dalam usaha memerangi jenayah, tidak berlaku rasuah dan
memastikan pengurusan kerajaan yang baik," katanya. ~the malaysian
insider
Kadir berkata, kesukaran perdana menteri Malaysia ialah apabila perlu
berdepan dengan kepentingan diri oleh orang lain. Dalam blognya, Kadir
berkata:"Lebih pun, jika Abdullah yang mengarahkan penubuhan RCI itu pun
tidak menubuhkan IPCMC, kenapa pula orang menjangkakan penggantinya
akan berbuat begitu?"
the malaysian insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.