Dalam bulan puasa ini, kalau kita rajin perhati kita akan nampak banyak benda yang dalam keadaan biasa kita terlepas pandang.
Inilah antara kebaikan bulan puasa, iaitu bila kita tak asyik fikir pasal makan kita akan fikir berkenaan hal lain.
Contohnya,
kita lebih rajin dan lebih mudah sembahyang berjemaah sebab kita ada
banyak masa yang terluang. Satu perkara yang Kunta Kinte nampak makin
hari makin jadi amalan adalah baca surah panjang-panjang masa sembahyang
waktu dan sunat Tarawih.
Boleh kata di semua masjid dan
surau di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang Kunta Kinte sempat solat
Tarawih, khidmat tahfiz digunakan. Jadi, mereka baca surah yang panjang
sebab masing-masing nak habiskan 30 juzuk al-Quran sebelum bulan puasa
habis.
Hormat hafal al-Quran
Kunta
Kinte tak kata ini tak baik cuma Kunta Kinte nampak ia susah sikit bagi
yang lanjut usia. Tak larat berdiri lama-lama. Di sebuah masjid yang
Kunta Kinte pergi, bilangan orang tua berkurangan dari malam ke malam
sebab tak tahan.
Kunta Kinte tanya seorang jemaah yang
Kunta Kinte tahu banyak belajar agama. Dia kata, tak ada satu hadis pun
yang sebut kita kena habiskan satu al-Quran sepanjang Tarawih Ramadan.
Jangan salah sangka. Kunta Kinte sangat hormat orang yang pandai baca
al-Quran, apatah lagi yang hafal al-Quran dan faham maksudnya. Cuma
Kunta Kinte tak berapa pasti sama ada baca ayat panjang-panjang waktu
Tarawih sesuai untuk semua makmum.
Kunta Kinte teringat
kepada sebuah cerita Hollywood bertajuk The Book of Eli (disebut Elai)
lakonan Denzel Washington. Dalam cerita fiksyen sains itu, Eli adalah
satu-satunya orang Kristian yang miliki kitab Bible setelah dunia
dilanda perang besar yang memusnahkan semua kitab suci agama Kristian
itu. Jadi, banyaklah pihak yang sanggup bunuh untuk dapatkan kitab yang
Eli miliki itu sebab dengan kitab itu mereka akan dapat kuasa.
Seorang
ketua kumpulan jahat berjaya rampas kitab itu selepas ‘bunuh’ Eli.
Tetapi, celaka bagi penjahat itu sebab kitab yang jadi idaman dia
dicetak dalam bentuk Braille dan tak ada siapa dalam kumpulan dia yang
boleh baca Braille kecuali seorang perempuan tapi dia enggan.
Walaupun ditembak bertubi-tubi, Eli tak mati dan dia akhirnya sampai ke tempat yang ditujunya.
Apa
yang nyata kemudiannya adalah Eli buta dan dia hafal kandungan kitab
itu. Di akhir cerita, Eli mengimlakkan kitab itu untuk ditulis dan
dicetak semula.
Kunta Kinte tak jemu tonton cerita itu
sebab Kunta Kinte teringat kepada pengalaman ketika melawat Uzbekistan
dan beberapa buah lagi wilayah Islam di Soviet Union waktu pemerintahan
komunis.
Masa itu, hanya orang tertentu boleh miliki
al-Quran dan pengedarannya amat terhad. Boleh kata satu generasi orang
Islam Russia tak tahu baca al-Quran kecuali mereka yang dibenarkan
memilikinya atau yang sanggup menghafal. Masa itu, sikap antiagama dalam
kalangan generasi muda Russia, termasuk yang dilahirkan Islam, masih
kuat.
Dalam lawatan rombongan Kunta Kinte ke beberapa
tempat di Tashkent, ibu negara Uzbekistan, pemuda-pemuda komunis
mengekori kita sambil mengejek Islam dengan mengatakan Tuhan tak wujud.
Jadi,
bila kegiatan menghafal al-Quran dan sekolah-sekolah tahfiz dibuka di
Malaysia selepas itu, Kunta Kinte berasa cukup seronok.
Cuma
Kunta Kinte harap anak-anak kita yang cerdik dan belajar tahfiz
janganlah tumpu kepada menghafal al-Quran saja. Mereka hendaklah diajar
tafsir dan ilmu lain supaya mereka boleh kaitkan kehebatan al-Quran
dengan alam sekeliling dan kehidupan harian.
Akui kehebatan al-Quran
Orang
Barat yang suka belajar dan kuat menerokai ilmu, mereka dah lama akui
kehebatan al-Quran bukan saja sebagai penunjuk akidah, tapi juga sebagai
sebuah kitab ilmu dan maklumat saintifik. Banyak daripada mereka yang
belajar dan dapat manfaat daripada al-Quran tidak pun beragama Islam dan
kerana itu juga, ramai yang masuk Islam.
Kunta Kinte nak
cadangkan kepada kerajaan, khasnya kepada menteri yang jaga agama, Datuk
Seri Jamil Khir Baharom, supaya bukan saja perluas tahfiz dan tafsiran
al-Quran, tapi juga popularkan al-Quran sebagai sumber ilmu dan maklumat
yang lengkap, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.