
KAMPUNG RAJA - Sepasang suami isteri bukan sahaja kerugian kira-kira RM35,000, malah turut cedera di tangan selepas disamun lelaki yang bersenjata tajam di rumah mereka di Jalan Nikmat, Alor Lintang, dekat sini, minggu lalu.
Ketika kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa, Yusof Yaacob, 72, dan isterinya, Rokiah Hussin, 66, sedang tidur dalam bilik di rumah berkenaan.
Menurut Yusof, dia menyedari kejadian itu apabila mendengar isterinya menjerit dan sebaik tersedar, dia melihat ada 'bayang-bayang' lembaga di hujung kakinya.
“Saya cuba menjerit meminta tolong tetapi penjenayah terbabit terus mencekik leher saya,” katanya yang tidak dapat melihat dengan jelas wajah dan bilangan penjenayah kerana keadaan bilik gelap.
Yusof berkata, dia bagaimanapun berjaya menendang suspek yang mencekik lehernya menyebabkan suspek melarikan diri melalui pintu dapur.
Sementara itu, Rokiah berkata, sebatang jari kanannya terpaksa menerima enam jahitan dipercayai terkena senjata suspek ketika suspek merampas rantai leher emas dan gelang tangannya.
“Saya tersedar daripada tidur apabila merasai ada tangan cuba menanggalkan dua utas gelang emas di tangan kanan dan selepas tersedar, saya dapati ada orang berhampiran saya tetapi tidak nampak mereka.
"Kemudian suspek merampas rantai leher di leher saya,” katanya yang yakin penjenayah lebih daripada seorang.
Akibat kejadian itu, mereka mengalami kerugian kira-kira RM35,000, sementara pergelangan tangan kiri lebam serta jari kanan cedera.
Rokiah berkata, suspek dipercayai memasuki rumahnya dengan mengumpil salah satu tingkap bilik anaknya sebelum masuk ke dalam bilik tidurnya yang berkunci.
Rokiah dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan dan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja, di sini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan NoorZainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dilakukan untuk mengesan suspek.
Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.