Followers

Saturday, June 1, 2013

Pembangkang komponen kerajaan, bukan pengkhianat?? - Written by Hadi Kamilan

 
Pada 10 April 1826, Sir John Hobhouse ketika berhujah di dalam House of Commons, Westminster (Parlimen British) telah mengungkapkan istilah His Majesty's Opposition (Pembangkang Di Raja) atau di sesetengah negara memanggilnya His Majesty's Loyal Opposition (Pembangkang Taat Di Raja) yang menjadi batu asas penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara England ketika itu. 

Setelah 162 tahun, peninggalan dan jasa besar beliau masih lagi diguna pakai di seluruh Parlimen di negara-negara Komanwel sehingga hari ini.

Apakah yang dimaksudkan beliau sebagai Pembangkang Di Raja ketika itu? Menurut Geraltz Schmitz (1988) dalam kertas kajiannya "The Opposition in a Parliamentary System" istilah His Majesty's Opposition atau Pembangkang Di Raja, membawa maksud ahli-ahli pembangkang di dalam Dewan Perundangan sesebuah negara berkemungkinan akan mempertikai dasar kerajaan sedia ada. 

Namun pada masa yang sama masih lagi berfungsi di dalam kerangka demokrasi yang dibenarkan.

Pencerahan berhubung maksud pembangkang pula diperincikan dalam kertas kerja "The Role of Political Parties in Democracy" oleh National Democratic Institute for International Affairs sebagai "democratic opposition" iaitu parti politik yang tidak menerima undi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan namun memainkan peranan yang sama penting untuk ahli dan penyokongnya serta termasuk juga kepada orang yang tidak menyokong dasar dan aktiviti yang dilaksanakan oleh kerajaan pemerintah.

Justeru, atas dua definisi ini maka konsep Pembangkang Di Raja dapat difahami sebagai membenarkan pencanggahan idea melalui hujah dan debat bagi memastikan demokrasi itu berfungsi tanpa rasa takut dituduh sebagai pengkhianat memandangkan tugas mereka bertanggungjawab terhadap penyokongnya dan kepada siapa yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan pemerintah. 

Pada sesiapa yang menganggapnya is hanyalah perubahan terma perkataan, mereka silap kerana ia menunjukkan kepentingan kedudukan pembangkang di dalam sistem Parlimen negara-negara Komanwel yang mempunyai sejarahnya yang panjang.

Ini kerana pada awal abad ke 16 dan ke 17, sesiapa sahaja ahli-ahli Parlimen yang cuba mengemukakan rang undang-undang peribadi (private bill), bertentangan pendapat atau idea dengan Raja (kerajaan), hatta berdebat isu-isu nasional seperti hak pewarisan, dasar luar dan agama telah merisikokan diri mereka untuk di penjara. 

Oleh yang demikian, adalah sesuatu yang lumrah jika hari ini pembangkang sering dipinggirkan, diperkecil dan diperkotak-katikkan peranannya memandangkan ia telah berlaku ratusan tahun dahulu.

Pembangkang komponen kerajaan

Walau pun terma Pembangkang Di Raja tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan di Malaysia secara terang dan jelas, namun pengiktirafan terhadap ketua pembangkang dan peranannya dapat dilihat dalam beberapa akta dan undang-undang kecil. 

Ini pastilah berbeza dengan kedudukan His Majesty’s Opposition di United Kingdom memandangkan Perlembagaan United Kingdom ini tidak bertulis maka atas warisan dan sejarahnya pada tahun 1826, maka terma ini telah di kanunkan secara tidak langsung disisi Perlembagaannya.

Norman Wilding di dalam bukunya "An Encyclopedia of Parliament" menyatakan di dalam menentukan kedudukan dan mengiktiraf peranan pembangkang di dalam dewan perundangan, kebiasaannya kedudukan pembangkang diketuai Ketua Pembangkang yang akan duduk di barisan hadapan sekali dan di sebelah kiri Yang Di Pertua Dewan Perundangan. 

Parti politik pembangkang yang menguasai kerusi terbanyak akan diberikan keutamaan diikuti parti-parti politik yang berikutnya.

Kedudukan yang diguna pakai ini juga terpakai di dalam Parlimen Malaysia memandangkan Malaysia juga merupakan sebuah negara jajahan takluk negara British satu ketika dahulu.

Walau pun pilihanraya di Malaysia telah diadakan pada tahun 1955, namun ia merupakan Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan sebelum merdeka. 

Justeru, ia tidak boleh di anggap Parlimen Tanah Melayu yang mencerminkan kedudukan sebuah Parlimen yang berdaulat. Hanya pada tahun 1959, barulah Malaysia mempunyai sebuah kabinet kerajaan dan pembangkang yang formal di dalamnya.

Walaupun definisi ketua kerajaan hatta ketua pembangkang tidak di masukkan di dalam peruntukan Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan namun sedia difahami ketua kerajaan adalah Perdana Menteri manakala penjelasan secara ringkas dan tuntas maksud ketua pembangkang diungkap dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan 4A (3.) dan (4.) menyebut tentang definisi yang membawa maksud Ketua Kumpulan bagi pihak pembangkang.

Justeru, Ketua Pembangkang mendapat keistimewaan seperti keutamaan berhujah selepas Menteri Kewangan membentangkan belanjawan tahunan. 

Selain itu, berdasarkan peruntukan di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, selain itu Ketua Pembangkang juga mendapat kelayakan gaji sebagai ahli Dewan Rakyat sebanyak RM 5969.00 sebulan, beliau juga mendapat elaun tambahan secara bulanan sebanyak RM3190.00 selain pejabat dan sebagainya. 

Jumlah ini sama atau kecil sedikit dengan gaji seorang Timbalan Menteri di Malaysia.

Bagaimana pula kedudukan ketua pembangkang di negara-negara komanwel? Di negara-negara lain pula, kedudukan dan pengiktirafan ketua pembangkang di angkat begitu tinggi.

Gaji seorang ketua pembangkang adalah hampir setaraf dengan gaji seorang menteri kabinet di sana dan pengiktirafan ini telah pun diberikan semenjak tahun 1937. Di United Kingdom, elaun dan gaji ketua pembangkang berjumlah 139, 355 pound sterling manakala Menteri Kabinetnya mendapat gaji berjumlah 145, 499 pound sterling setahun. 

Antara negara-negara lain yang memberikan pengiktirafan yang sama kepada ketua pembangkang di mana gajinya hampir setaraf Menteri Kabinet adalah di Australia, New Zealand dan Kanada.

Pelindung hak minoriti

Kehadiran pembangkang di Parlimen harus dilihat sebagai pelindung bagi sebahagian hak minoriti di dalam negara ini. Ini kerana mereka secara sahnya telah dipilih sebagai wakil rakyat bagi konsitusi tersebut. 

Ini bersesuaian lah dengan konsep majority rule, minority right dimana walaupun kumpulan majoriti yang memerintah, hak bagi minoriti perlu dipelihara dan dilindungi.

Seharusnya masyarakat tidak melihat parti pembangkang di dalam Dewan Perundangan ini sebagai mereka yang suka menghentam kerajaan semata-mata malahan mereka juga harus dilihat berfungsi sebagai kerajaan alternatif.

Ini kerana apabila parti-parti pembangkang ini berfungsi secara formal maka mereka mempunyai tanggungjawab besar yang perlu di beri perhatian di dalam dewan khususnya terhadap pembangunan, dasar yang dibentangkan kerajaan di dalam dewan perundangan tersebut.

Resoluti dari Bengkel Hak dan Tanggungjawab Pembangkang anjuran Sekretariat Parlimen Komanwel juga sepakat menyatakan bahawa kunci yang di perlukan bagi membuktikan pembangkang sebagai sebuah kerajaan alternatif adalah kredibiliti sesebuah pembangkang apabila berhujah.

Ia bermaksud bagi sesebuah pembangkang itu dilihat sebagai sebuah kerajaan alternatif maka pakatan pembangkang itu bukan sahaja mesti berkemampuan untuk mengambil alih kerajaan tetapi dilihat mampu juga membuatnya. 

Ini dapat dilihat melalui idea-idea dan gagasan yang dikemukakan kepada rakyat dan gagasan ini perlulah disokong dengan data dan fakta yang menguatkan hujah mereka.

Penulis suka memetik kata Sir John Hobhouse pada tahun 1819 di mana ketika itu beliau di tahan di dalam penjara Newgate, katanya “Aku adalah orang yang dipilih untuk rakyat, oleh rakyat dan jika dipilih dalam pilihanraya ini Aku tidak akan melakukan apa-apa perniagaan selain untuk rakyat.”

Justeru, terdapat suatu persoalan yang bermain-main di minda penulis, sudah sampaikah masanya kita beranjak mengiktiraf pembangkang di Malaysia sebagai Pembangkang DiRaja jika tujuan murni mereka juga sama adalah berkhidmat untuk rakyat. 

Memandangkan sudah mula menjadi satu budaya ahli-ahli politik di Malaysia ‘mengkhianatkan’ ahli politik lain hanya semata-mata perbedaan idea dan pandangan. Ayuh, kita setapak lagi maju ke depan membudayakan politik baru di Malaysia.

Penulis adalah seorang calon Doktor Falsafah di dalam Undang-undang Perlembagaan di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Malaysia Chronicle.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.