PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan tiga hari bagi mendengar rayuan
Kopral Sirul Azahar untuk kes pembunuhan melibatkan model Mongolia,
Altantuya Shaariibuu.
(Peguam Kamarul Hisham yang mewakili Sirul Azhar)
Hakim Datuk Sri Mohamed Apandi Ali menetapkan pada 24 hingga 26 Jun
bagi kes tersebut setelah mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak.
Selain Apandi, dua lagi Hakim yang mendengar kes tersebut adalah Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.
Dalam
pada itu Apandi juga turut mengarahkan peguam pembela memfailkan rayuan
kedua bersama-sama dengan hujah dan fakta terbaru dalam masa sepuluh
hari bermula hari ini.
Peguam yang mewakili bekas anggota Unit
Tindakan Khas Polis yang bertugas mengiringi pemimpin negara iaitu
Kopral Sirul Azhar Umar, Kamarul Hisham Kamarudin ketika ditemui di lobi
mahkamah memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan tersebut esok.
"Kita telah mendapat kebenaran dari hakim bagi merayu kes yang berkaitan pembunuhan Altantuya.
"Sepertimana
yang kita tahu kes telah ditetapkan pada 24 hingga 26 Jun iaitu selama
tiga hari dan untuk rayuan kita akan failkan esok bersama-sama hujah
yang baru," jelasnya.
Tambah beliau lagi, Mahkamah Rayuan
memikirkan adalah perlu demi kepentingan keadilan untuk mereka meneliti
dokumen-dokumen ini untuk memutuskan alasan rayuan tambahan yang telah
dikemukakan sebelum ini.
Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor
Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah
Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu
berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10
malam pada 19 Okt 2006 dan 1 pagi, 20 Okt 2006.
Bekas
penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan
mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak
pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Sebelum
itu, Sirul Azhar telah memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan sebelum
ini bagi memohon pembebasannya, mendakwa wujud perbicaraan silap oleh
Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Notis usul itu difailkan firma guaman
The Chambers of Kamarul Hisham and Hasnal Rezua di pejabat pendaftar
Mahkamah Rayuan di sini dalam usaha untuk memasukkan alasan rayuan
tambahan.
Dalam permohonan itu, bekas Koperal Sirul Azhar
mendakwa beliau terdedah kepada "publisiti buruk" secara meluas semasa
perbicaraan itu yang jelas mengelirukan dan prejudis terhadap dirinya,
dengan itu menafikan dirinya perbicaraan adil.
Sirul Azhar
mendakwa beliau terdedah kepada publisiti buruk menerusi tiga akuan
bersumpah, dua dibuat oleh penyiasat persendirian mendiang P.
Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin.
Beliau
memohon Mahkamah Rayuan mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai
perbicaraan silap, sabitannya diketepikan dan beliau dibebaskan.
Harakahdaily difahamkan, ada isu besar yang bakal meletup dalam perbicaraan ini nanti.
Harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.