
Semasa
saya bercuti di Cameron Highland hujung minggu lalu, Timbalan Presiden
PAS, Mohamad Sabu, menelefon saya beberapa kali. Talian kurang baik
menghalang kami berkomunikasi dengan lancar. Saya jangkakan tentu ada
hal mustahak yang mahu dikongsinya.
Beliau
yang kembali menulis di Harakah dalam kolumnya, Membedah Demokrasi,
menimbulkan soal bedah siasat PRU13. "Kita bukan saja boleh menyediakan
hasil post mortem PRU13, malah sudah boleh menyiapkan laporan post
mortem kekalahan Pakatan dalam PRU14," ujarnya. Saya mulanya agak
kehairanan tetapi turut ketawa kecil apabila memahami makna tersirat.
Kunci
kata Mat Sabu, jika sistem dan proses pilihan raya sekarang terus
berjalan sehingga PRU14, tidak sukar untuk menjangka BN dapat
mengekalkan kuasa meskipun undi popularnya mungkin terus merosot, dengan
pelbagai taktik licik, tipu muslihat, penggunaan kemudahan kerajaan,
manipulasi media dan politik wang, apatah lagi melalui proses
persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama
lagi.
Segera
saya teringat pengumuman Perdana Menteri, Najib Razak, bahawa SPR bakal
diletakkan di bawah kawal selia jawatankuasa terpilih khas Parlimen.
Sekurang-kurangnya
Najib terpaksa memberi respons kepada suara rakyat yang bergema kuat
dalam siri jelajah Blackout 505 yang dianjurkan di seluruh negara,
antara lain mendesak semua anggota SPR yang diterajui Abd Aziz Mohd
Yusof dan Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan, selain menangguhkan
proses persempadanan semula kawasan pilihan raya sehinggalah anggota SPR
baru yang berwibawa dan dipersetujui semua pihak, mengikut konsensus
rakyat.
Bagi
saya, jaminan Najib di hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong itu
seharusnya tidak mengendurkan tuntutan rakyat, yang marah dan kecewa
dengan sistem dan amalan pilihan raya di Malaysia, khususnya dalam
PRU13. Cadangannya -- walaupun disambut baik banyak pihak -- seolah-olah
mahu menutup atau membiarkan saja segala ketempangan PRU13 berlalu.
Tekanan
mesti ditingkatkan lagi, termasuk melalui rapat umum dan perarakan
besar-besaran, sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat agar tercapai
hasrat untuk melantik anggota SPR yang baru, selaras dengan Perkara
114(2), bahawa Agong, "pada melantik ahli-ahli SPR hendaklah
memandangkan kepada mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang
mendapat KEPERCAYAAN AWAM".
Ketujuh-tujuh
anggota SPR berdepan krisis kepercayaan yang begitu serius. Hampir
semua mereka tidak dilihat mempunyai integriti tinggi, yang dikira mampu
bertindak bebas daripada pengaruh elit penguasa. Kadang-kadang dua
penjawat paling kanannya dilihat bertindak melebihi pemimpin Umno-BN
sendiri, manakala SPR dianggap umpama komponen BN.
Oleh
itu, kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad bahawa proses
persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibuat secara telus hanya
akan diketawakan terutama bagi mereka yang mengikuti amalan sama pada
2003. Wan Ahmad ketika itu menjadi perancang utama yang melakarkan
kawasan pilihan raya semata-mata demi keuntungan politik Umno-BN,
selepas Umno mendapat tamparan hebat dalam pilihan raya 1999. Dalam
PRU10 itu, majoriti pengundi Melayu bangkit protes Dr Mahathir Mohamad
dan Umno-BN.
Menurut
pengkaji pilihan raya, Dr Ong Kian Ming, yang juga Ahli Parlimen
Serdang, pada 2003 itu, prinsip-prinsip seperti rural weightage -- di
mana kawasan pedalaman, dengan jaringan pengangkutan yang lemah dan luas
kawasannya, perlu mempunyai jumlah pengundi yang lebih kecil daripada
kawasan bandar yang lebih tepu dan mudah dihubungi -- telah dilanggar
dengan jelas oleh SPR, terutama di Kedah.
"Undi
bukan Melayu dikeluarkan daripada kawasan selamat Alor Setar dan
dimasukkan ke kawasan PAS, Kuala Kedah dan Pokok Sena. Pengundi bukan
Melayu juga dikeluarkan dari kawasan kerusi selamat Bn di Merbok ke
kerusi PAS di Jerai. Kawasan majoriti Umno-Bn di Padang Serai
dipindahkan ke kerusi PAs di Baling," tegasnya.
Jadual
1: Perbedaan di kawasan jumlah pengundi antara kawasan bandar dan
pedalaman di Kedah selepas persempadanan semula pada 2003
Kerusi Parlimen Keluasan (km2) Pengundi 2003 Pengundi 2013
P8 Pokok Sena 320 64,192 80,916
P9 Alor Setar 109 56,007 80,916
P10 Kuala Kedah 232 73,942 95,534
P16 Baling 1,544 73,942 93,376
P17 Padang Serai 352 51,778 74,245
Menurut
analisis Kian Ming, di kerusi Alor Setar, walaupun kawasan bandar yang
maju dengan keluasan kawasan terkecil di antara semua parlimen di Kedah,
sebenarnya mempunyai jumlah pengundi (56,007) yang lebih kecil
berbanding kawasan jiran yang lebih besar seperti Pokok Sena (64,912)
dan Kuala Kedah (73,942).
Perbedaan
ini masih kelihatan dalam PRU13, di mana Alor Setar mempunyai 69,189
pengundi berbanding 80,916 di Pokok Senan dan 95,534 di Kuala Kedah.
Kes
paling melampau ialah Baling, kawasan pedalaman di Kedah. Persempadanan
semula 2003 meningkatkan jumlah keluasan Baling dari 1,107 km2 ke 1,544
km2, sedikit kecil daripada Melaka. Ini kerana salah satu kawasan kuat
Umno di kerusi jiran Padang Serai – Kuala Ketil – dipindahkan ke
Baling.
Akibatnya,
Padang Serai, yang lebih bersifat bandar mempunyai jumlah pengundi
lebih kecil (51,778) dibandingkan dengan Baling (73,942). Baling
sekarang mempunyai 93,386 pengundi (kedua terbesar di Kedah)
dibandingkan 74,425 di kawasan bandar Padang Serai.
Jadual
ke-13 Perlembagaan, Bahagian 1, mengenai prinsip berhubung persempadanan
bahagian pilihan raya, antara lain menegaskan "prinsip-prinsip berikut
hendaklah dengan seberapa boleh diambil kira ... bilangan pemilih dalam
tiap-tiap satu bahagian pilihan raya dalam sesuatu negeri patutlah lebih
kurang sama banyaknya kecuali bahawa memandang kepada lebih besar
kesulitan untuk sampai kepada pemilih dalam daerah kampung dan
lain-lain kesukaran yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar
bandar, luasnya bahagian itu patutlah diberi pertimbangan."
Namun,
yang menjadi pertimbangan serius SPR pada 2003, terutama oleh Wan Ahmad,
adalah keupayaan Umno-BN untuk menang dalam PRU2004, dengan
menjangkakan pengundi Melayu akan membawa masalah besar kepada BN,
seperti ditunjukkan dalam PRU1999.
Justeru,
negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu
langsung tidak mendapat sebarang kerusi Parlimen tambahan. SPR, seperti
kehendak Perdana Menteri waktu itu, Dr Mahathir Mohamad, yang bertindak
membanyakkan kerusi campuran, sebagai "ucapan terima kasih" kepada
pengundi Cina yang menyelamatkan BN pada 1999, walaupun akhirnya memakan
diri pada 2008 dan 2013!
Kesimpulannya,
keanggotaan SPR yang tidak lagi mendapat KEPERCAYAAN AWAM ini mesti
dirombak dan proses persempadanan semula harus ditangguhkan dahulu.
Kerengga
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.