Apa lagi Myanmar mahu?…..
Seorang lelaki Myanmar ditahan selepas merampas pistol anggota polis
dan melepaskan tiga das tembakan di Balai Polis Chai Leng Park di
Butterworth, awal hari ini.
Lelaki berusia 33 tahun terbabit sebelum itu memasuki balai polis
berkenaan pada pukul 1.30 pagi untuk membuat laporan polis mendakwa ada
orang yang ingin memukulnya dalam pergaduhan di Taman Inderawasih, di
Butterworth.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata
bagaimanapun Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang diminta menyiasat
mengenai perkara itu memaklumkan anggota polis bertugas di balai
berkenaan bahawa tiada sebarang kejadian pergaduhan seperti dilaporkan
lelaki terbabit.
“Lelaki Myanmar yang hanya berkain pelikat dengan kemeja T berwarna
biru dan berkaki ayam itu secara tiba-tiba memanjat meja tempat laporan
polis dibuat dan mencekik anggota bertugas itu dan berlaku pergelutan.
“Dalam masa sama lelaki terbabit merampas pistol dan mengacukannya ke
kepala anggota polis itu,” katanya ketika dihubungi di Butterworth hari
ini.
Beliau berkata koperal polis berkenaan berjaya melepaskan diri daripada lelaki terbabit dan keluar daripada balai itu.
“Sebaik keluar dari balai, anggota polis itu mendengar bunyi tiga das tembakan,” katanya.
Mazlan berkata lelaki Myanmar itu kemudian keluar dari balai dan
anggota polis berkenaan cuba memujuk suspek untuk mengembalikan
senjatanya.
“Suspek mengacukan pistol ke kepalanya dan terus menarik picu tetapi
pistol itu tidak meletup…dua anggota URB tiba di balai itu dan mereka
berjaya menangkap lelaki terbabit,” katanya.
Beliau berkata siasatan polis mendapati lelaki itu tidak mempunyai
dokumen perjalanan dan telah tiga tahun bekerja kontrak di Pulau Pinang.
Lelaki terbabit dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan,
katanya sambil memberitahu bahawa pemeriksaan pihak forensik menemui
tiga kesan tembakan pada pencetak, dinding meja dan pintu kaca serta
tiga kelongsong dan 12 butir peluru.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.