Bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim memungkiri perjanjian rahsia
untuk menghormati keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Malaysia,
yang diuruskannya sebagai orang tengah, antara Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dan ketua pembangkang itu.
Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan Jusuf
mendedahkan bahawa perjanjian bertulis dibuat antara Najib dan Anwar
pada April iaitu menegah daripada melakukan serangan peribadi semasa
berkempen dan menerima keputusan pilihan raya 5 Mei, yang dicadangkan
sendiri oleh Anwar.
Menurut Jusuf, Anwar menemui beliau berhubung perjanjian itu dua bulan
lepas dan meminta Jusuf menemui lawannya serta mendapatkan komitmen
beliau berhubung keputusan pilihan raya yang aman.
Bagaimanapun, menurut akhbar itu Anwar mendakwa Jusuf yang menemui
beliau untuk menawarkan bantuan dalam memastikan keputusan pilihan raya
yang teratur.
WSJ juga melaporkan Anwar mengakui beliau telah membuat perjanjian
bersama Najib, dengan Jusuf sebagai orang tengah, namun Anwar mendakwa
Barisan Nasional (BN) telah membatalkannya melalui cara mereka
menjalankan kempen. Jusuf juga berkata beliau menghubungi Anwar sehari
selepas hari pengundian pada 5 Mei untuk meminta pemimpin pembangkang
itu menerima keputusan tersebut.
Jusuf Kalla |
"Kami ada komitmen," Jusuf dipetik sebagai berkata. "Pada Isnin, saya
meminta Anwar menerima (keputusan) dan melihat kepada realiti. Tetapi
mereka berkata, tidak, tidak, tidak,".
PRU13 menyaksikan BN yang diterajui Najib kembali berkuasa dengan
memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen, yang turut menyaksikan Anwar
dan pakatan pembangkang yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu
mengadakan perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei.
Tanpa mengkritik mana-mana parti, Jusuf berkata beliau berpendapat
kedua-dua pihak menunjukkan komitmen mengelak daripada melakukan
serangan peribadi semasa kempen.
Jusuf pernah bertindak sebagai orang tengah bagi perjanjian damai dalam
pelbagai konflik di Kepulauan Indonesia yang bergolak semasa beliau
menjadi naib presiden dari 2004 hingga 2009 dan berperanan dalam
perjanjian damai di Thailand dan Sri Lanka.
-BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.