IPOH – Peserta flashmob Pakatan Rakyat (PR) di Pengkalan Pegoh cedera
apabila mendakwa dipukul oleh sekumpulan lelaki dipercayai penyokong
parti lawan petang tadi.
Jurucakap penganjur, Shahari Anuar Ibrahim berkata, dalam kejadian pukul
4 petang itu, kumpulan lelaki seramai kira-kira 300 orang yang datang
menaiki motosikal secara berkonvoi telah bertindak ganas sambil
melakukan provokasi terhadap peserta flashmob.
Beliau mendakwa, keadaan tidak terkawal apabila
peserta konvoi sebuah parti politik turut melalui jalan berkenaan dan
melanggar lampu isyarat hingga mengakibatkan kesesakan trafik.
“Mereka tidak hiraukan lampu isyarat dan peserta kami menasihati agar
mereka beredar segera serta mematuhi undang-undang dan ia mencetuskan
kemarahan peserta konvoi berkenaan.
“Berikutan itu berlaku pertelingkahan dan pertikaman lidah di antara
kedua-dua pihak sebelum mereka (peserta konvoi) bertindak agresif dengan
menyerang dan memukul peserta kami,” katanya kepada Sinar Harian ketika
ditemui di tempat kejadian.
Dakwanya lagi, sebahagian daripada peserta konvoi kemudian bertindak memukul dan mengejar peserta flashmob.
“Mereka menggunakan kayu dan mengejar peserta kami malah keadaan semakin
tegang apabila ada di antara kami yang dipukul beramai-ramai.
“Ekoran kejadian itu tiga mangsa dan salah seorang peserta mengalami
kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan kini menerima rawatan
di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya.
Tambah beliau, lebih mendukacitakan apabila selepas kejadian tersebut,
peserta konvoi motosikal berkenaan datang semula ke kawasan terbabit.
“Mereka datang semula ke situ seolah-olah cuba cetuskan provokasi hingga mengakibatkan suasana menjadi tegang semula.
“Mujurlah keadaan dapat dikawal dan tiada pertembungan antara kedua-dua pihak,” katanya.
Seorang mangsa, Muhammad Rahmat, 28, berkata, program flashmob pada
mulanya berlangsung dengan aman namun setelah kehadiran sekumpulan
individu menyebabkan keadaan menjadi huru-hara.
“Mereka berpakaian logo BN dan I Love PM seolah-olah sengaja inginkan
kejadian itu berlaku apabila bertembung dengan kami dan mereka telah
memukul peserta termasuk saya dengan kayu, batu dan topi keledar.
“Saya dihentak dengan topi keledar dan terpaksa melarikan diri daripada kawasan berkenaan,” katanya.
Jelasnya lagi, kumpulan terbabit turut menyerang secara rambang kepada peserta flashmob terutama yang merakam insiden itu. ~sinar harian
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.