BN silap ikut strategi badut Pakatan – Daim
KUALA LUMPUR: Veteran Umno Tun Daim Zainuddin menyifatkan usaha
Pakatan Rakyat menghimpunkan sejumlah besar rakyat untuk menunjukkan
sokongan terhadap pembangkang sewaktu tempoh berkempen pilihan raya umum
lalu umpama strategi ‘badut’.
Beliau berkata Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mengikut
rentak pembangkang beranggapan bahawa jumlah besar penyokong akan
diterjemah ke dalam undi.
Malah Daim turut berpendapat Najib menggunakan populariti peribadi
dalam usaha untuk membantu BN mendapatkan kembali majoriti dua pertiga
Parlimen yang hilang pada tahun 2008 sebagai salah.
Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, BN berjaya membentuk kerajaan
dengan majoriti mudah selepas menang 133 kerusi daripada 222 kerusi
Parlimen, kurang tujuh kerusi berbanding pilihan raya 2008.
Daim yang ditemubual akhbar tempatan China Press, berkata kesilapan itu adalah punca BN hilang undi pada pilihan raya umum lalu.
“Penasihat PM harus dipecat. Jika anda mengaitkan undi untuk BN
adalah undi untuk Najib, maka keputusan BN mencerminkan Najib juga,”
ujar Daim.
“Pada pendapat saya, ia adalah strategi yang salah. Seperti yang
saya katakan sebelum ini, ini adalah satu pilihan raya Parlimen, bukan
pilihan raya presiden,” katanya.
“Biar Anwar menjadi penghibur. Kita bukan penghibur, kita tidak
tahu bagaimana untuk menyanyi, menari dan membuat jenaka. Ia adalah satu
urusan yang serius memilih kerajaan, jadi mari kita meninggalkan
strategi badut ini dan tidak bermain dengan permainan itu. “
Daim turut berpendapat kegagalan BN untuk mendapat majoriti dua
pertiga akibat salah agihan sumber peruntukan dalam usaha untuk menawan
kerusi bandar serta kerusi majoriti Cina.
“BN tahu kawasan-kawasan majoriti Cina sudah tiada lagi. Mengapa
membuang masa dan wang?
Sebagai satu strategi, anda perlu menumpukan
perhatian kepada kawasan-kawasan di mana anda kalah dengan majoriti
tipis pada tahun 2008 dan mengukuhkan kedudukan di kerusi menang pada
tahun 2008. Terdapat juga persoalan pemilihan calon, dan sebagai contoh
di Pandan.
“Mari kita akui bahawa bukan mudah untuk mendapat majoriti dua
pertiga di dalam dunia. Pengundi bandar di mana-mana adalah
anti-kerajaan. Kekuatan BN terletak di kawasan luar bandar. Namun
terlalu banyak masa dan wang telah dibazirkan di kawasan bandar di mana
keputusan itu hampir pasti,” katanya.
Daim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pulau
Pinang, di mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro kerajaan, Kelab
Kebajikan Pulau Pinang 1Malaysia, telah menghabiskan banyak wang dalam
menyediakan makan malam percuma dan konsert pada minggu-minggu menjelang
hari mengundi.
“Orang-orang ini amatur. Mereka adalah orang-orang bodoh. Mereka
fikir mereka bijak dan membuang wang. Lebih baik beri kepada kebajikan.
“Kenapa BN benarkan program bodoh seperti ini? Rakyat terasa
terhina kerana mereka tahu anda fikir mereka boleh dibeli dengan wang,
konsert dan makan malam. Jadi mereka datang untuk berehat, makan
percuma. Ini adalah pilihan raya. Ia adalah satu perkara yang serius.
Biar Anwar menjadi penghibur,” kata beliau.
Di Pulau Pinang, BN hanya menang 10 kerusi negeri selepas saingan
Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan besar dengan mengambil baki 30
kerusi negeri.
Dalam respons kepada soalan lain, Daim berkata BN sepatutnya
memberi tumpuan kepada usaha menangani isu-isu yang dekat di hati rakyat
seperti rasuah, urus tadbir yang baik, keselamatan, pendidikan, kadar
inflasi, graduan muda dan miskin bandar.
Daim dalam pada itu berkata kekalahan BN di Selangor adalah akibat
perbalahan dan sabotaj, yang berpunca daripada salah memilih calon.
BN hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN Selangor, kurang 20 kerusi berbanding 2008.
“Dengan calon-calon yang tidak turun padang,
mengabaikan ketua-ketua bahagian, tidak melawat ahli-ahli dan pengundi,
sabotaj, anda tidak boleh menang,” kata Daim. – AntaraPos
Baca Lagi: http://www.ekeleh.com/penasihat-pm-harus-dipecat-tun-daim/#ixzz2UUzgOR4g
Follow us: ekeleh.comm on Facebook
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.