Followers

Friday, May 3, 2013

Insyallah......BN Bakal Tersungkur Di Dun Jitra . Kubang Pasu


DUN N06 Jitra dalam Parlimen Kubang Pasu merupakan antara kubu kuat UMNO untuk satu tempoh yang sangat lama. Pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir dilihat sangat berakar umbi di kawasan majoriti Melayu tersebut. 

Namun itu bukanlah jaminan bahawa DUN Jitra akan kekal selama-lamanya di bawah UMNO dan Barisan Nasional.

Penulis yang mengikuti perkembangan politik di kawasan Jitra dapat membuat sedikit bacaan politik ke atas DUN berkenaan. 


Boleh jadi bacaan penulis ini silap, akan tetapi berdasarkan persepsi dan pergerakan angka-angka, DUN Jitra yang telah sekian lama ditunjangi Barisan Nasional mungkin akan terlepas ke tangan PAS dalam Pilihanraya Umum ke-13 kali ini, malah PAS turut berpeluang cerah menawan bekas kerusi Parlimen yang pernah diwakili oleh Perdana Menteri Malaysia itu. 

Berikut adalah analisis ringkas penulis terhadap DUN Jitra dan Kubang Pasu:


DEMOGRAFI PENGUNDI

Kawasan DUN Jitra merupakan sebuah kawasan yang secara perlahan-lahan muncul sebagai sebuah bandar utama di Kedah selepas Bandaraya Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim. 


Kegiatan ekonominya terdiri daripada aktiviti perniagaan yang tertumpu di Pekan Jitra dan Bandar Darulaman, perindustrian di Bandar Darulaman dan Malau, dan pertanian di kampung-kampung tradisi. 

Malah, perkembangan urbanisasi di Jitra dibantu oleh perkembangan pusat pendidikan tinggi seperti Politeknik, Institut Perguruan, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa buah kolej yang lain. 

Boleh dikatakan hampir 10 000 daripada penduduk di kawasan Jitra terdiri daripada golongan pelajar.

Secara geografinya, kawasan DUN Jitra terbahagi kepada dua jenis kawasan iaitu:

Kawasan Bandar/Separa Bandar:

1) Daerah Mengundi dalam kawasan Pekan Jitra seperti Taman Jitra Jaya, Taman Rasa Sayang dan Taman Jitra, Tok Kesop

2) Daerah Mengundi dalam kawasan Bandar Darulaman seperti Pantai Halban, Tanjung Pauh, Taman Mahsuri dan Tanah Merah

3) Daerah Mengundi dalam kawasan Paya Kemunting seperti Paya Kemunting dan Taman Pasu

4) Daerah Mengundi Kepala Batas (Pekan Kepala Batas)


Kawasan Luar Bandar:

Daerah Mengundi Malau, Kampung Kuluang, Wang Tepus, Padang Panjang, Telok Nibong, Kampung Batu 13, Telok Malek, Naga, Alor Rambai, Lubok Batu (Banai) dan Bukit Tinggi


Seterusnya, jika dilihat daripada jumlah pengundi, berikut adalah merupakan jumlah pengundi berdaftar di DUN Jitra:



Berikut adalah secara sepintas lalu mengenai demografi pengundi di kawasan DUN Jitra, yang terdiri daripada lebih daripada 36 000 orang pengundi berdaftar dalam kawasan bandar majoriti Melayu di negeri Kedah. Jumlah pengundi Melayu yang membentuk 83% daripada jumlah pengundi selain pengundi Cina, India dan Siam akan mempengaruhi keputusan pengundian kali ini.

Dalam PRU kali ini, DUN Jitra akan menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara calon PAS, Dr.Rohani Abdul Mutalib menentang calon muka baru BN, Aminuddin Omar.




Selain itu, jika dilihat daripada keputusan PRU 12 pada tahun 2008, DUN Jitra merupakan antara salah sebuah kerusi yang dimenangi oleh calon BN dengan majoriti selesa. Berikut adalah keputusan PRU12 di DUN Jitra:


Berdasarkan sedikit kajian penulis terhadap DUN Jitra, penulis beranggapan bahawa peluang PAS untuk memenangi DUN ini pada kali ini adalah cerah, malah dianggap seimbang di antara peluang PAS dan BN.

Mengapakah hal ini terjadi?


PERTAMBAHAN PENGUNDI YANG TINGGI

DUN Jitra mempunyai seramai 36 379 orang pengundi berdaftar. Dalam PRU 2008, jumlah pengundi adalah seramai 28 331 orang pengundi. 


Berdasarkan situasi tersebut, hal ini bermakna berlaku pertambahan pengundi sebanyak 8041 orang pengundi atau dalam bentuk peratusannya, pertambahan pengundi pada PRU13 berbanding PRU sebelumnya adalah sebanyak 28.41%, sesuatu kenaikan yang agak tinggi. 

Hal ini bermakna, penentu kepada keputusan PRU di DUN Jitra pada kali ini bukan lagi pengundi lama, akan tetapi pengundi-pengundi yang mengundi buat pertama kali.

Jika dilihat daripada pergerakan pengundi di DUN Jitra, kenaikan bilangan pengundi pada PRU 2008 hanyalah sekitar 2200 orang pengundi, akan tetapi dalam PRU kali ini, pertambahan pengundi adalah sebanyak 8041 orang pengundi.

Kehadiran seramai 8041 orang pengundi ini akan memberi kelebihan kepada PAS apabila hampir 60-75% pengundi muda adalah cenderung ke arah Pakatan Rakyat.

Dalam PRU 2008, calon BN iaitu Dato' Saad Man hanya memperoleh majoriti sebanyak 2258 undi. Sekiranya PAS mampu mengekalkan jumlah undi yang diperoleh mereka dalam PRU 2008 dan mendapat sokongan daripada pengundi baru yang tinggi dalam DUN ini, ternyata kedudukan UMNO agak tergugat.

Hal ini kerana, pengundi muda sukar diakses melalui gerak kerja politik cara lama, akan tetapi mereka perlu diakses melalui media baru seperti internet.

Pada pandangan penulis, berikut adalah faktor mengapa UMNO perlu untuk risau di DUN Jitra:


1. Komuniti Siber Jitra Jelas Menolak Calon UMNO

Walaupun ruang siber tidaklah mampu menilai sokongan sebenar pengundi, akan tetapi fungsinya dalam melihat mood dan sokongan para pengundi tempatan ada asasnya. Dalam komuniti siber, Group Facebook "Saya Orang Jitra" merupakan antara medium utama untuk menilai mood rakyat di Jitra di mana group tersebut dianggotai sekitar 12 000 orang ahli.

Di dalam group SOJ, satu poll telah dibuat bagi melihat sokongan dalam kalangan ahli-ahli group tersebut terhadap calon PAS dan UMNO. Keputusannya adalah seperti berikut:


Calon PAS - 72%
Calon BN - 28%


Walaupun keputusan poll tersebut tidak memberi sebarang makna kepada mana-mana parti, akan tetapi melalui keputusan ini, kita dapat menilai sikap para pengundi muda yang majoritinya aktif di media baru seperti facebook ini. Oleh itu, penulis menjangkakan sokongan pengundi muda di DUN Jitra akan dimenangi oleh PAS dalam PRU kali ini.
2. Sokongan Kaum Cina

Umum mengetahui sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat berlegar dalam lingkungan setinggi 70%. Tidak terkecuali di Bandar Jitra yang didiami oleh majoriti masyarakat Cina dilihat lebih cenderung kepada PAS. Mereka menyatakan sokongan mereka secara terbuka, malah ada di antara mereka yang berkempen untuk memenangkan calon PAS.

Di sebuah bengkel motorsikal milik seorang masyarakat Cina di Taman Aman misalnya, beliau tanpa ragu-ragu dan takut melekatkan stiker "Tolak UMNO-Penyamun 403 Juta" di dinding kedainya, sesuatu yang sukar dilihat sebelumnya.

Penulis sendiri menjangkakan bahawa calon PAS akan mendapat sokongan yang padu daripada kaum Cina yang membentuk hampir 3600 orang pengundi di kawasan DUN Jitra.


Seorang penyokong PAS berbangsa Cina membantu
kempen PAS di tengah-tengah Pekan Jitra berhampiran Taman Ihsan

3. Undi Masyarakat India


Walaupun BN dilihat masih menguasai undi kaum India di DUN Jitra, namun PAS telah mula berjaya menembusi undi kaum tersebut melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. Dalam PRU kali ini, DHPP dari kaum India telah membuka dua buah bilik gerakan di Taman Aman (UPU Taman Pasu) dan UPU Tanah Merah. Malah, mereka turut menyatakan sokongan terhadap calon PAS dengan mengiringi calon-calon PAS ketika hari penamaan calon.

Bilik Gerakan DHPP di Taman Aman

Ahli DHPP ketika hari penamaan calon di DUN Jitra

Selain itu juga, sentimen kegagalan BN selama hampir 30 tahun dalam membina sebuah sekolah Tamil yang lebih tersusun dan selesa kepada penduduk di kawasan Taman Aman setelah mereka dipindahkan daripada Ladang Tanjung Pauh turut menjadi isu penting dalam menilai sokongan pengundi India terhadap PAS dalam PRU kali ini. 


Walaupun PAS mungkin tidak berjaya mendapat undi majoriti daripada kaum India, berkemungkinan PAS boleh mencuri banyak undi dalam PRU kali ini berdasarkan bantuan ahli DHPP dan isu yang membelenggu masyarakat India sekian lama.

 
Banner kekecewaan masyarakat India di DUN Jitra
yang dinaikkan di Taman Aman (dalam Daerah Mengundi Taman Pasu)


4. Penolakan terhadap Calon UMNO

Calon UMNO, Aminuddin Omar bukanlah calon pilihan untuk mewakili BN di DUN Jitra pada PRU kali ini. Calon pilihan akar umbi untuk diangkat dalam PRU kali ini adalah Dato' Saad Man, penyandang kerusi DUN Jitra berdasarkan gerak kerja yang dilakukan oleh beliau sekian lama.

Kekecewaan sebahagian penyokong UMNO apabila Dato' Saad disingkirkan jelas kelihatan apabila mereka mengadakan demonstrasi membantah Aminuddin Omar sebagai calon di Bandar Darulaman, beberapa hari sebelum proses penamaan calon.

Dari segi populariti, walaupun Aminuddin (yang lebih dikenali sebagai Pak Tam) merupakan anak jati Jitra dan telah lama berkecimpung dalam politik sebagai Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu, namun beliau kurang dikenali berbanding calon PAS, Dr.Rohani yang memang dikenali sebagai seorang doktor perubatan di kawasan Jitra. Hal ini dilihat memberi kelebihan kepada calon PAS, selain berkemungkinan wujudnya undi protes dalam PRU pada 5 Mei nanti.

Berdasarkan hujahan yang telah dilakukan penulis, PAS dilihat mempunyai peluang yang cerah di DUN Jitra. Akan tetapi, bacaan penulis ini boleh sahaja adalah silap dan UMNO akan kekal di DUN Jitra. Hanya pengundi yang akan menentukannya nanti.

Buat pengundi di DUN Jitra, INI KALILAH! UBAH!


 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.