BAGAN DATOH - Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) supaya tidak menyerang peribadi calon ketika berkempen semata-mata untuk meraih undi.
Beliau berkata pihak terlibat perlu berkempen secara bersih tanpa mengaibkan pihak tertentu.
"Jalankanlah kempen dengan cara bersih. Kalau kita mahu mempengaruhi pengikut-pengikut pun, pengaruhilah dari segi apa yang kita janji dan apa yang ada dalam manifesto pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Rakyat di Kampung Batu 20 di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pihak yang menggunakan politik kotor dengan menabur fitnah dan menyerang peribadi calon bagi meraih sokongan pada PRU13.
Ahmad Zahid menasihatkan pihak terlibat supaya tidak merosakkan pemikiran pengundi dengan melemparkan fitnah terhadap calon tertentu kerana pengundi kini bijak menilai calon mana yang layak dipilih sebagai wakil rakyat.
"Dalam perkara ini kita mesti ingat kalau mengaibkan seseorang nanti, di akhirat Allah Taala akan mengaibkan kita.
"Saya berpesan pada diri saya, kawan-kawan saya dalam Barisan Nasional dan para pembangkang, janganlah buat begitu," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.