Followers

Thursday, April 25, 2013

Rodziah : Najib Ugut Akan “Anak Tirikan” Selangor By Lizawati Madfa

 
rodziah ceramah biru 01

SHAH ALAM 24 APR : Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail menyelar kempen berunsur ugutan sepertimana yang dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari lepas di sini.

Dalam kempen yang diadakan di Seksyen 18 itu, Perdana Menteri didakwa berkata bahawa segala kemudahan dan infrastruktur di negeri ini akan dibaik pulih sekiranya BN diberi mandat untuk mentadbir Selangor pada 5 Mei nanti.

“Sudah sememangnya infrastruktur ini berada di bawah Kerajaan Pusat, jadi kalau PM betul bertanggungjawab ianya tidak harus dijadikan isu dan bahan kempen.

“Sebaliknya dia (PM) mengkhianati amanah ini dengan tidak lagi menyalurkan duit rakyat kepada Kerajaan Negeri Pakatan Selangor sejak lima tahun lalu menerusi ICU (Unit Pelarasan Pelaksanaan).

“Dan sekarang dia cakap macam ini, tidak mustahil ianya akan berterusan begini jika Pakatan (Rakyat) tidak berjaya ke Putrajaya, seperti yang Kelantan alami sejak 20 tahun dan ini pasti merugikan rakyat,” ujar calon PKR bagi DUN Batu Tiga ini.

Mengimbas kembali pengalaman Pakatan Rakyat mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri sejak 2008, Rodziah berkata Kerajaan Pusat di bawah Umno-BN gagal memberikan kerjasama yang baik.

“Kalaupun mereka ingin buat pembangunan, ia tidak melalui proses perbincangan dengan Kerajaan Negeri tentang apa yang perlu didahulukan atau dilaksanakan.


“Saya juga kesal sebab beberapa perkara yang telah dijanjikan tidak dilaksanakan kerana amalan mereka sendiri yang tidak ‘transparent’,” tambahnya lagi.

Akibat dianak-tirikan Kerajaan Pusat, maka Kerajaan Negeri mengambil inisiatif sendiri menyalurkan wang tambahan untuk membaiki jalan raya.

Dana negeri juga terpaksa diggunakan untuk membina jambatan ketiga di Klang walhal projek tersebut tanggungjawab kerajaan persekutuan.

Justeru, Rodziah menggesa Najib untuk berhenti bermain kata-kata bagi memancing undi, lebih-lebih lagi untuk memenangkan individu ekstrimis dan ‘racis’ seperti Datuk Zulkifli Nordin menjadi wakil rakyat.

“Patutnya, sebagai seorang Perdana Menteri beliau arif tentang tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara dan tahu bagaimana menjaga amanah wang rakyat dengan adil.

“Bukan sekadar cakap sana sini seolah-olah rakyat mudah lupa apa yang dijanjikan dan diucapkan,” tegasnya.


Selangorku.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.