Followers

Wednesday, April 3, 2013

Pergaduhan sebagai realiti politik..!!!

Pergaduhan sebagai realiti politik..!!!

Dalam tahun 1973, saya mempelajari bahasa Belanda. Seingat saya, kawan-kawan yang sekuliah dengan saya, antara lain ialah  Dr Awang Sariyan, Dr Othman Puteh (Allahyarham), dan Dr A Rahim Marasidi. Saya sebut nama-nama di atas, kerana mereka dikenali ramai melalui bidang masing-masing. 

Saya tidak tahu adakah kawan-kawan saya itu berupaya bertutur dan menulis dalam bahasa Belanda. Saya sendiri dulu tahu sedikit, tetapi sekarang kosong!
Pensyarah bahasa Belanda membawa makalah politik ke kuliah. Itulah yang menarik. Makalah dalam bahasa Belanda itu diterjemahkannya ke bahasa Inggeris. Temanya mudah, iaitu pemimpin politik menyukai pergaduhan, manakala rakyat menyukai keamanan.
Pada masa itu saya tertanya-tanya: Mengapakah pemimpin politik menyukai pergaduhan?  Betulkah? Pergaduhan tidak semestinya berpunca daripada pemimpin politik, tetapi  berpunca daripada sesiapa saja yang berniat jahat.
Walau bagaimanapun saya tidak melupakan kenyataan itu kerana realiti politik dari masa ke masa kian membuktikan kebenarannya.

Pemimpin politik asyik mencari kesalahan pihak lawan, dan rakyat diheret untuk turut bergaduh. Walaupun rakyat menyukai keamanan, fikiran mereka diganggu oleh tuduhan-tuduhan, olahan dengan niat jahat dan hasutan.


Akibatnya, rakyat turut marah-marah, bahkan kemarahan rakyat mengatasi kemarahan tokoh politik itu sendiri.
Sejumlah rakyat desa terhinggut-hinggut membela tuduhan yang dikenakan ke atas pemimpin mereka.
Mereka selalunya mendapat ganjaran yang kecil, atau tiada ganjaran, tetapi bekerja keras kerana mengasihi pemimpin.
Pada masa sama, pengikut kumpulan lawan pula terangguk-angguk bersyarah di kedai kopi mengesahkan tuduhan.

Satu pihak terhinggut-hinggut, satu lagi terangguk-angguk, kedua-duanya sekadar bergantung pada kepercayaan, bukan pengetahuan sahih tentang pemimpin yang kebanyakannya tiada masalah hidup, tetapi membina masalah.
Bagi rakyat umum, kerajaan diperlukan untuk menjadi pelindung mereka. Pemimpin politik pula berfikir lain. Mereka mengingini kedudukan tinggi.
Sudut-sudut yang berbeza ini jarang diperkatakan. Dalam kempen politik, semangat rakyat biasa sentiasa dinaikkan melalui penggunaan istilah ‘kita’ dan ‘mereka’. Kalimat “Kita akan ke Putrajaya” dan “Kita akan mempertahankan Putrajaya” sama-sama menyengat.
Pembangkang dan kerajaan sama-sama mengasosiasikan diri mereka dengan rakyat, agar rakyat mengasosiasikan diri mereka dengan pemimpin.

Jika pemimpin-pemimpin sekadar mahu menawarkan diri untuk menjadi orang nombor satu, mengapakah rakyat dibawa ke gelanggang perkelahian? Makalah berbahasa Belanda itu memberikan jawapan.

Rakyat ialah alat untuk pemimpin mendapatkan dan mengukuhkan kuasa.

Apabila kita tiba pada tahap ini, rasa-rasanya penambahan hujah tidak diperlukan lagi. 
Pilih saja satu akhbar pembangkang dan satu akhbar yang menyebelahi kerajaan, dan tumpukan perhatian terhadap pemilihan kata.

Perhatikan penggunaan perkataan ‘bongok’, ‘bangang’, ‘dajal’, ‘laknat’, ‘pengkhianat’ dan banyak lagi. Perkataan-perkataan itu menimbulkan reaksi perkelahian. Pihak akhbar berkenaan kehilangan kesopanan kerana itu ialah ajaran pihak atasan mereka.

Dalam politik kita kini, keluarga berbalah kerana kata-kata. Apabila pemimpin atasan  disanjung oleh bapa saudara, dan dipandang rendah oleh anak saudara, maka dua orang yang bertalian darah itu bergaduh, padahal si pemimpin tidak tahu apa-apa.
Mengapakah terjadi demikian?
Dalam politik kepartian di Malaysia, politikus sentiasa menggambarkan rivalnya bermarkah kosong. Parti lawan dilukiskan sebagai durjana kelas atas, tidak boleh dipercayai langsung. Pihak parti sendiri digambarkan sesuci embun pagi.
Saya sendiri tidaklah berasa apa-apa terhadap gejala ini, kerana dipesan oleh makalah berbahasa Belanda itu, iaitu pemimpin politik menyukai pergaduhan. Apabila pergaduhan berlaku, dan dia dapat menghimpun pengikut-pengikutnya, maka cita-cita mereka akan mudah tercapai.

Pemimpin suka bergaduh, biarkan mereka, itu jalan mereka untuk naik. Jika ketiadaan isu, mereka mencari isu, dan melakonkan pergaduhan. Rakyat buatlah pilihan dengan baik, diiringi senyuman untuk dunia yang sejahtera. Hindari pergaduhan.

Salam kasih untuk Najib, salam mesra untuk Anwar. Datuk Seri berdua cukup cemerlang ketika menerajui Pemuda Umno.


Dalam tahun 1973, saya mempelajari bahasa Belanda. Seingat saya, kawan-kawan yang sekuliah dengan saya, antara lain ialah Dr Awang Sariyan, Dr Othman Puteh (Allahyarham), dan Dr A Rahim Marasidi. 
Saya sebut nama-nama di atas, kerana mereka dikenali ramai melalui bidang masing-masing.

Saya tidak tahu adakah kawan-kawan saya itu berupaya bertutur dan menulis dalam bahasa Belanda. Saya sendiri dulu tahu sedikit, tetapi sekarang kosong!

Pensyarah bahasa Belanda membawa makalah politik ke kuliah. Itulah yang menarik. Makalah dalam bahasa Belanda itu diterjemahkannya ke bahasa Inggeris. 
Temanya mudah, iaitu pemimpin politik menyukai pergaduhan, manakala rakyat menyukai keamanan.

Pada masa itu saya tertanya-tanya: Mengapakah pemimpin politik menyukai pergaduhan? 
Betulkah? Pergaduhan tidak semestinya berpunca daripada pemimpin politik, tetapi berpunca daripada sesiapa saja yang berniat jahat.

Walau bagaimanapun saya tidak melupakan kenyataan itu kerana realiti politik dari masa ke masa kian membuktikan kebenarannya.

Pemimpin politik asyik mencari kesalahan pihak lawan, dan rakyat diheret untuk turut bergaduh. Walaupun rakyat menyukai keamanan, fikiran mereka diganggu oleh tuduhan-tuduhan, olahan dengan niat jahat dan hasutan.

Akibatnya, rakyat turut marah-marah, bahkan kemarahan rakyat mengatasi kemarahan tokoh politik itu sendiri.
Sejumlah rakyat desa terhinggut-hinggut membela tuduhan yang dikenakan ke atas pemimpin mereka.

Mereka selalunya mendapat ganjaran yang kecil, atau tiada ganjaran, tetapi bekerja keras kerana mengasihi pemimpin.

Pada masa sama, pengikut kumpulan lawan pula terangguk-angguk bersyarah di kedai kopi mengesahkan tuduhan.

Satu pihak terhinggut-hinggut, satu lagi terangguk-angguk, kedua-duanya sekadar bergantung pada kepercayaan, bukan pengetahuan sahih tentang pemimpin yang kebanyakannya tiada masalah hidup, tetapi membina masalah.

Bagi rakyat umum, kerajaan diperlukan untuk menjadi pelindung mereka. Pemimpin politik pula berfikir lain. Mereka mengingini kedudukan tinggi.

Sudut-sudut yang berbeza ini jarang diperkatakan. Dalam kempen politik, semangat rakyat biasa sentiasa dinaikkan melalui penggunaan istilah ‘kita’ dan ‘mereka’. 
Kalimat “Kita akan ke Putrajaya” dan “Kita akan mempertahankan Putrajaya” sama-sama menyengat.
 
Pembangkang dan kerajaan sama-sama mengasosiasikan diri mereka dengan rakyat, agar rakyat mengasosiasikan diri mereka dengan pemimpin.

Jika pemimpin-pemimpin sekadar mahu menawarkan diri untuk menjadi orang nombor satu, mengapakah rakyat dibawa ke gelanggang perkelahian? Makalah berbahasa Belanda itu memberikan jawapan.

Rakyat ialah alat untuk pemimpin mendapatkan dan mengukuhkan kuasa.

Apabila kita tiba pada tahap ini, rasa-rasanya penambahan hujah tidak diperlukan lagi. 

Pilih saja satu akhbar pembangkang dan satu akhbar yang menyebelahi kerajaan, dan tumpukan perhatian terhadap pemilihan kata.

Perhatikan penggunaan perkataan ‘bongok’, ‘bangang’, ‘dajal’, ‘laknat’, ‘pengkhianat’ dan banyak lagi. 
Perkataan-perkataan itu menimbulkan reaksi perkelahian. Pihak akhbar berkenaan kehilangan kesopanan kerana itu ialah ajaran pihak atasan mereka.

Dalam politik kita kini, keluarga berbalah kerana kata-kata. Apabila pemimpin atasan disanjung oleh bapa saudara, dan dipandang rendah oleh anak saudara, maka dua orang yang bertalian darah itu bergaduh, padahal si pemimpin tidak tahu apa-apa.

Mengapakah terjadi demikian?

Dalam politik kepartian di Malaysia, politikus sentiasa menggambarkan rivalnya bermarkah kosong. 
Parti lawan dilukiskan sebagai durjana kelas atas, tidak boleh dipercayai langsung. Pihak parti sendiri digambarkan sesuci embun pagi.

Saya sendiri tidaklah berasa apa-apa terhadap gejala ini, kerana dipesan oleh makalah berbahasa Belanda itu, iaitu pemimpin politik menyukai pergaduhan. 
Apabila pergaduhan berlaku, dan dia dapat menghimpun pengikut-pengikutnya, maka cita-cita mereka akan mudah tercapai.

Pemimpin suka bergaduh, biarkan mereka, itu jalan mereka untuk naik. Jika ketiadaan isu, mereka mencari isu, dan melakonkan pergaduhan. Rakyat buatlah pilihan dengan baik, diiringi senyuman untuk dunia yang sejahtera. Hindari pergaduhan.

Salam kasih untuk Najib, salam mesra untuk Anwar. Datuk Seri berdua cukup cemerlang ketika menerajui Pemuda Umno.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.