PENDEDAHAN BAYARAN TERHADAP KONSULTAN PERHUBUNGAN AWAM AMERIKA UNTUK MENYERANG ANWAR: KERAJAAN DIAM MEMBISU.
Pada
minggu lepas, Joshua Trevino, bekas penulis ucapan presiden Amerika
Syarikat George W. Bush memfailkan rekod kepada kerajaan AS yang
mengesahkan beliau dibayar oleh kerajaan Malaysia menerusi APCO
Worldwide di dalam kempen mempromosi pentadbiran Datuk Seri Najib Razak
dan menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rekod tersebut mendedahkan
Trevino dibayar AS$389,724.70 oleh kerajaan Malaysia, parti pemerintah
UMNO-BN ataupun kepentingan yang berkaitan.
Pada Ogos tahun lepas,
Trevino dipaksa meletak jawatan sebagai kolumnis di akhbar UK, the
Guardian.
Ini berikutan beliau tidak mengumumkan peranannya sebagai
konsultan kepada FBC Media, di mana beliau menulis memuji tentang
ciri-ciri 'kesederhanaan' Najib.
Pada 2011, Najib mengakui bahawa
kerajaan membayar RM94 juta kepada FBC Media antara 2007 hingga 2010.
FBC turut membayar AS$70,000 kepada APCO Worldwide untuk melobi kerajaan
AS mewakili pentadbiran Najib.
Apabila skandal pembayaran dan
pengaturan berita ini didedahkan, BBC dan CNBC menamatkan kontrak FBC
kerana melanggar etika kewartawanan.
Ironisnya, ketika UMNO-BN
terus-menerus menyerang Anwar sebagai pro-Israel di dalam propaganda
dalam negara, Trevino dan konsultan-konsultan lain bekerja keras untuk
menggambarkan Anwar sebagai anti-Israel di luar negara.
Najib perlu menjawab persoalan-persoalan berikut yang timbul daripada skandal ini:
a)
Berapa banyakkah wang rakyat yang dibayar kerajaan kepada konsultan
perhubungan awam, khususnya luar negara untuk menulis bahan-bahan
anti-Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim?
b) Selain daripada APCO di AS dan FBC di UK, di manakah lagi BN melantik konsultan untuk menyerang pembangkang?
c) Siapakah yang terlibat di dalam perlantikan dan koordinasi konsultan-konsultan ini?
Apakah
arahan yang diberikan kepada konsultan-konsultan ini mengenai
bahan-bahan berkaitan Anwar Ibrahim memandangkan kebanyakan kerja yang
dibuat adalah menyerang Anwar semata-mata?
e) Adakah kerajaan
sedar bahawa ramai konsultan yang dilantik terkenal dengan pandangan
ekstrem dan anti-Islam mereka, yang menghina Islam, Ikhwanul Muslimin
dan umat Islam di Amerika?
f) Adakah kerajaan sedar bahawa
konsultan-konsultan yang dilantik adalah penyokong tegar Israel yang
menentang hak rakyat Palestin?
Najib mestilah menjawab perkara ini
dengan pilihan raya yang bakal tiba. Meskipun Najib terus membelanjakan
jutaan ringgit wang rakyat bagi tujuan propaganda dan fitnah, beliau
terus menolak gesaan Anwar untuk perbahasan polisi bagi kepentingan
rakyat Malaysia.
NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.