PETALING JAYA 20 MAC: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud yang bebas memunggah hasil negeri untuk mengkayakan keluarga dan kroni tanda jelas transformasi kerajaan Umno BN gagal, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum KEADILAN berkata, dengan terdedahnya video tentang rampasan tanah Sarawak menunjukkan pimpinan Umno BN tidak bersedia untuk mengambil tindakan terhadap Taib, sebaliknya mempertahankan penyelewengannya.
“Selepas menyaksikan kemarahan rakyat Sarawak (berhubung salah guna kuasa Taib), Datuk Seri Najib Razak semasa Pilihan Raya Negeri (2011) membayangkan Ketua Menteri akan bersara (dalam masa dua tahun).
“Namun beliau tidak berani untuk laksanakannya, dan kini keadaan masih sama,” kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Hadir sama, Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerian, Ali Biju dan Adun Batu Lintang, See Chee How.
Terdahulu, pendedahan NGO antarabangsa, Global Witness menunjukkan rakaman bagaimana keluarga Taib merampas tanah pedalaman didiami rakyat Sarawak, serta cara mereka mengelakkan diri daripada membayar cukai dalam urus niaga itu.
Anwar selanjutnya menyifatkan video itu pendedahan yang sangat berkesan tentang penyelewengan di Sarawak.
Justeru, beliau menyeru pimpinan Umno BN memberi penjelasan.
“Saya harap (video) Global Witness ini dijawab. Sebelum ini, Al Jazeera pun ada buat liputan tentang rampasan tanah (di Sarawak).
“Tetapi seperti biasa pimpinan BN, terutama Najib yang sering bercakap tentang transformasi ekonomi dan kerajaan yang telus, tidak ulas sama sekali (tentang penyelewengan yang berlaku),” kata Anwar.
Pada sidang media Majlis Pakatan Rakyat semalam, Anwar turut membuat desakan sama, namun setakat ini masih belum ada sebarang jawapan. – NS
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.