Followers

Wednesday, February 27, 2013

Umno hadapi perang dengan jeneral tempang

 
Umno nampaknya terpaksa menyertai pilihan raya umum ke 13 dalam keadaan serba pincang.
Dengan kumpulan tukang kempen utama mereka iaitu Wanita Umno lumpuh ekoran tragedi lembu masuk kondo dan tanah LTAT, Umno hilang penggerak utama mereka. 

Sekarang ini ke mana Wanita Umno bergerak dalam baju merah puteh mereka, bunyi 'mooo' akan dibuat.

Skandal tanah Ketua Wanita Umno Selangor pula memperlihatkan bagaimana Umno mengorban kepentingan anggota tentera untuk kroni mereka.

Pada awal April 2012 lalu, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah, Wanita Umno Selangor yang juga Exco Wanita Umno Malaysia dilantik sebagai senator yang baru.

Beliau menggantikan Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno yang terpaksa berundur kerana skandal lembu masuk kondo.

Namun, selepas itu meletus skandal LTAT yang didedahkan oleh bekas rakan perniagaan isteri perdana menteri, Deepak Jaikishan dan diperjelaskan lagi oleh Rafizi Ramli yang sebelum itu 'membunuh' kerier politik Shahrizat.

Pemuda lumpuh

Ketika tukang kempen mereka lumpuh, Pemuda Umno juga tidak kelihatan bergerak.
Kalau selama ini bilik gerakan Umno banyak dipenuhi oleh tenaga muda mereka, kini Pemuda juga sunyi sepi.

"Tidak ada wang bang, macamana nak gerak," kata seorang pemimpin muda Umno kepada penulis.
Berikutan tindakan pimpinan Umno yang terlalu takut kepada Tun Dr Mahathir, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sehingga kini tidak mendapat sebarang jawatan dalam kerajaan.

Akibatnya, sumber kewangan untuk menggerakkan Pemuda Umno terputus langsung.

Sedangkan semua tahu memang menjadi budaya dalam Umno tanpa wang semua kerja tidak boleh jalan.

Keadaan itu semakin parah apabila semua ketua-ketua pemuda Umno negeri juga dilantik Khairy.
Hasilnya sebagaimana Khairy bermasalah di pusat, ketua-ketua pemuda negeri pula bermasalah di negeri masing-masing.

"Masalah paling besar kepada pemuda adalah apabila Khairy diketepikan, tidak ada mana-mana pihak yang berani mendekati atau membantu Khairy.

"Ini kerana mereka tidak mahu dilihat membantu atau bersama Khairy kerana takut diserang oleh orang PM dan juga orang Tun (Dr Mahathir).

"Hasilnya Khairy sedang mati perlahan-perlahan bersama seluruh jentera pemudanya," kata sumber itu.

Yang terakhir, apabila pemuda mencalonkan 25 nama dari kalangan mereka untuk dijadikan calon dalam polihan raya ini, hanya dua nama saja yang lekat.

Kini pemuda menunggu masa saja untuk bertindak, apatah lagi kalau pemilihan calon ini menjadi realiti nanti.

Azalina

Di samping pemuda dan wanita, semua terasa sejak Datuk Azalina Othman Said meninggalkan Puteri Umno, sayap Umno untuk wanita muda ini seolah-olah sudah tidak ada.

Dengan berketuakan pemimpin dari Sabah, Puteri Umno seolah-olah sudah tidak ada lagi di medan.
Serangan Najib terhadap Azalina ketika beliau baru mengambil alih pucuk kepimpinan negara dari Pak Lah benar-benar menghiris Azalina.

"Kita bukan mahu melihat muka menterinya, kita hendak melihat tempat-tempat pelancongan," begitulah kira-kira kata Najib membidas bilboard pelancongan yang dipasang Azalina untuk membuat promosi ke atas kawasan pelancongan di negara ini.

Hasilnya tidak lama selepas itu semua bilboard ini jatuh bersama jatuhnya Azalina dari arus perdana politik Umno dan Malaysia.

Namun manusia ini sama saja. Ia lebih mudah melihat kesilapan mereka yang bekerja tetapi sukar untuk melihat mereka yang tidak bekerja dan diri mereka sendiri.

Kalau dulu Najib marah kerana muka Azalina dalam bilboard pelancongan, sekarang muka Najib bukan di bilboard saja bahkan di mana-mana. Hatta pintu tandas pun ditampal gambar Najib.

Tidak cukup dengan itu, semua pengundi baru akan menerima surat bermuka Najib memujuk dan merayu mereka agar memberikan peluang sekali lagi kepada BN.

"Terharunya...takkan sampai merayu begini sekali. Sampai minta maaf segala," kata seorang gadis yang menerima surat Najib. Beliau adalah antara kira-kira 5.2 juta pengundi baru yang bakal mengundi buat pertama kalinya.

Selain wanita, pemuda dan puteri, ramai yang beranggapan, Putera Umno hanya tingga Datuk Azeez (Abdul Rahim) seorang sahaja.

Ini kerana, inilah saja muka dipromokan termasuklah kononnya dilantik menjadi duta oleh negara Palestin. Padahal lebih 1,000 orang telah dilantik oleh kerajaan Hamas untuk menjadi duta kepada negara dan perjuangannya.

Dengan ketiga-tiga sayap utama lumpuh dan sayap Putera tinggal Azeez seorang, bagaimanakah Umno mahu meneruskan peperangan ini.

Najib bukan sahaja berdepan dengan Deepak Jaikishan, sekarang PI Bala juga balik untuk meranapkan lagi kredibiliti beliau. Hantu Altantuya akan mengejar ke mana-mana beliau pergi.

Hatta perbelanjaan jutaan ringgit untuk membawa penyanyi Gangnam Style, Psy, juga masuk ke dalam longkang sahaja apabila penonton sepakat berkata "NO" kepada Barisan Nasional.

Memang Tun Dr Mahathir berusaha untuk menukar jeneral perang Umno ini, namun dengan satu kes sahaja dibuka, iaitu RCI Sabah, Mahathir terpaksa melutut kepada Najib.

TV3 dengan bangganya melaporkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara tetamu VIP yang turut menyambut kepulangan Perdana Menteri Malaysia dari luar negara.

Inilah dilema besar Umno. Muhyidin Yassin dimalukan di Sabah bahkan Ng Yen Yen juga dimalukan di majlisnya sendiri di Jonker Walk, Melaka.

Umno hadapi perang kali ini dengan semua jeneralnya tempang...yang tinggal hanya tukang raba yang sedang mencatur dalam War Room Umno.


- Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.