Followers

Monday, February 18, 2013

Najib pinta PM Thai Yingluck sekat Dr Pornthip jalankan autopsi kedua ke atas Sugumar Written by Wong Choon Mei, Alaa Soleiman, Malaysia Chronicle

 


DIKEMASKINI 3 Peguam bagi keluarga C Sugumar telah membuat pendedahan tergempar pada hari Khamis, menyatakan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta Perdana Menteri Thailand untuk menyekat patologis terkenal Dr Pornthip Rojanasunan dari menjalankan bedah siasat kedua ke atas pengawal keselamatan yang telah mati dalam keadaan misteri yang turut melibatkan beberapa orang pegawai polis Malaysia.

"Hasil komunikasi itu, kerajaan Thailand memutuskan bahawa Dr Pornthi tidak perlu menjalankan autopsi supaya hubungan antara kedua-dua negara tidak terjejas," N Surendran, salah seorang peguam mereka memberitahu di sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Tropicana , Petaling Jaya.

"Kami menerima maklumat ini secara bertulis dan dari sumber yang boleh dipercayai dan kita bersedia untuk mempertahankannya. 

Ini adalah perlakuan yang tidak boleh diterima dan kami menyeru kepada Najib untuk melakukan perkara yang betul. Keluarga itu telah sedaya upaya mendapatkan Dr Pornthip untuk bersetuju datang dan kini mereka dikecewakan dengan cara yang keji oleh PM mereka sendiri. "

Surendran, yang juga naib presiden parti PKR yang diketuai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, enggan mendedahkan identiti sumber tetapi berkata ia adalah dari orang yang "berwibawa". Parti PKR memperjuangkan tuntutan keluarga untuk keadilan bagi anak mereka mati.

Tidak yakin dalam hasil siasatan polis


Menurut saksi, Sugumar telah dikejar oleh polis, digari, dipukul dan dilumur dengan kunyit. Salah seorang pegawai polis telah memijak lehernya manakala rakan polisnya menggari tangan Sugumar. Pada ketika itu badan Sugumar masih bergerak. Badannya kemudian berhenti bergerak tetapi polis tidak menyedari bahawa dia telah meninggal dunia sehingga beberapa jam kemudian.

Polis Malaysia telah menegaskan bahawa Sugumar meninggal dunia akibat serangan jantung, mendasarkan kesimpulan pada laporan post-mortem yang dikeluarkan oleh Hospital Serdang. Walau bagaimanapun, keluarganya mencabar hasil laporan itu dan menegaskan bahawa Sugumar merupakan seorang yang sihat dan setahu mereka tidak mempunyai penyakit jantung.

Mereka khuatir jika pihak polis telah ‘campur tangan’ dalam laporan forensik Hospital Serdang. Hospital itu pernah melakukan perkara yang sama dan ditegur oleh majlis perubatan kerana menimbulkan keraguan semasa post-mortem Kugan Ananthan dilakukan pada tahun 2009, seorang lelaki yang disyaki pencuri kereta. 

Laporan Hospital Serdang telah menyatakan Kugan mati kerana terdapat air di dalam paru-parunya, tetapi hasil bedah siasat kedua mendapati dia telah meninggal dunia disebabkan kecederaan akibat pukulan teruk dan kejam semasa dalam tahanan polis.

"Sudah 21 hari sejak Sugumar meninggal dunia. Kami ingatkan kerajaan akan bertindak adil terhadap kami. Kami terpaksa menunggu 5 jam di rumah mayat dan badannya masih di gari. Keluarga berada dalam keadaan sedih dan semua menangis," kata bapa saudara Sugumar, yang juga hadir pada sidang akhbar itu.

"Kami tidak yakin beliau meninggal dunia akibat serangan jantung. Kami percaya sesuatu disembunyikan dari kami sebab itu kami meminta bedah siasat kedua diadakan. Namun, 2 minggu telah berlalu dan tiada apa yang telah dibuat. 

Kami meminta pertolongan Dr Pornthip, dan kami tidak tahu apa yang telah berlaku antara kedua-dua kerajaan. Perdana Menteri kita seolah-olah telah menyekat tindakan kami. Ini tidak adil. Kami mahu keadilan atas kematian Sugumar, bolehkah kamu menghidupkan semula orang yang sudah mati? "

Janji 'nambikei’


Sivarasa Rasiah, ahli parlimen Subang yang firmanya mewakili keluarga Sugumar, menggesa kepada Najib untuk mendedahkan kenapa Pornthip membatalkan bedah siasat dan "memperbetulkan masalah, menulis kepada Perdana Menteri Thai Yingluck Shinawat dan menjamin perkhidmatan Dr Pornthip bagi keluarga si mati. "

"Kita tahu bahawa Najib telah meminta laporan yang forensik yang pertama dan berjanji untuk membantu keluarga Sugumar. Tetapi ia hanya kelihatan seperti satu lagi khidmat perhubungan awam untuk dirinya sendiri. Dia juga telah meminta 'nambikei' (amanah) dari masyarakat India. 

Tetapi sekarang, kita dapati bahawa dibelakang mereka, dia telah meminta Puan Yingluck untuk menghalang Dr Pornthip daripada datang, "Sivarasa memberitahu Malaysia Chronicle di luar sidang akhbar.

"Apakah jenis 'nambikei' ini? Apa masalahnya dalam mendapatkan tahu kebenaran dalam perkara itu? Jika polis yang terlibat telah melakukan kesalahan, maka biarkanlah mereka menghadapi hukuman yang setimpal. 

Tetapi jika jelas Najib meletakkan politik melebihi undang-undang dan ketenteraman. Kematian dalam tahanan seperti Sugumar, Kugan dan Teoh Beng Hock adalah satu isu yang sangat serius tetapi Najib tidak mahu memahami perkara ini.

Jika dia gagal untuk bertindak dengan adil, puak samseng dalam pasukan polis akan terus membunuh dengan sewenang-wenangnya. 

Ketidakadilan seperti ini hanya boleh meninggalkan kesan yang tidak baik pada imej pasukan polis kita dan kredibiliti pentadbiran Najib sendiri. "

Kerajaan berpakat menutup kebenaran


Najib dijangka mengumukan pilihan raya umum ke-13 di negara ini dalam beberapa minggu lagi. Anggota polis secara tradisinya mengundi BN, yang telah memerintah Malaysia sejak 1957. 

Ini sering disebut sebagai sebab utama di sebalik keengganan kerajaan BN untuk menubuhkan sebuah panel bebas atau IPCMC untuk mereformasikan pasukan polis yang penuh dengan rasuah dan tidak cekap.

Sementara itu, kematian dalam tahanan lokap di Malaysia terus kekal antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Kebanyakan mangsa merupakan pencuri dan penagih dadah yang berbangsa India. 

Ini telah mendorong masyarakat India Malaysia untuk mengundi pembangkang dalam pilihan raya 2008 dan Najib telah cuba memujuk mereka kembali dengan janji pengagihan hasil ekonomi yang lebih adil dengan lebih banyak sekolah vernakular, peluang pendidikan tertiari dan peluang pekerjaan.

Tetapi bagi pengkritik dan kini, di mata keluarga Sugumar, kata-kata Najib semata-mata janji tinggal janji.

"Sejak kematian Sugumar, kerajaan, polis dan pelbagai kementerian telah mencuba sedaya upaya untuk menyembunyikan butir-butir kes itu sehingga ia menghalang keadilan yang sepatutnya diberikan. 

Pihak polis telah menipu, tidak jujur ​​dan kejam kepada keluarga dalam memanjangkan penderitaan mereka. 

Pihak polis telah berkali-kali mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai bantahan terhadap bedah siasat kedua tetapi dengan mudah telah menyembunyikan daripada orang ramai bahawa Borang 61 perlu dikeluarkan untuk sesebuah hospital menjalankan autopsi, " kata Surendran, tanpa berselindung.

"Ini adalah usaha bersepadu yang dilakukan oleh pihak polis untuk menutup kes Sugumar. Keluarga itu telah berusaha sendiri dengan menghubungi Dr Pornthip untuk menjalankan bedah siasat kedua. 

Dr Pornthip telah bersetuju dan memberitahu kami bahawa dia akan tiba di Malaysia pada 20 Februari . 

Apa yang mengejutkan, kami kemudiannya diberitahu bahawa Dr Pornthip tidak akan menjalankan bedah siasat. Semalam kami menerima maklumat campur tangan Najib dengan Yingluck. 

Ini memberi kesan pada kejujuran kerajaan persekutuan integriti mereka yang menerajui kerajaan persekutuan kita."

Percaya Pornthip akan bantu tegakkan kebenaran

Pornthip yang berusia 57 tahun itu tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia.


Beliau berada di Kuala Lumpur sebagai pemerhati bedah siasat kedua Teoh Beng Hock, setiausaha politik yang telah meninggal dunia dalam keadaan misteri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas sesi soal siasat di mana beliau merupakan saksi dalam siasatan rasuah. 

Ramai percaya Teoh mati akibat seksaan yang selalu digunakan oleh beberapa pegawai SPRM untuk memaksa pengakuan palsu dari beliau untuk mengaitkan para ketuanya yang merupakan ahli-ahli pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat.

Pornthip, yang memberi keterangan dalam inkues Teoh, telah menolak pendirian SPRM bahawa dia telah membunuh diri. Dipilih sebagai wanita Thailand yang paling dipercayai melalui pengundian Reader’s Digest di negara beliau, dia juga telah menarik perhatian rakyat Malaysia dengan sikapnya yang tenang dan adil disepanjang kes Beng Hock.

"Kami meminta Dr Pornthip kerana kita percaya dia merupakan orang yang terbaik dan boleh mencari keadilan bagi Sugumar," bapa saudara Sugumar memberitahu Malaysia Chronicle melalui seorang penterjemah.

Tiada kuasa untuk melawan balik


Ibu Sugumar juga hadir pada sidang akhbar itu tetapi enggan bercakap kerana sedih dan kecewa pada kelewatan yang membolehkan upacara terakhir dilakukan untuk anaknya.

"Punca kematian Sugumar akan ditentukan oleh bedah siasat kedua yang lebih neutral. Dia tidak layak menerima semua ini dan keluarganya juga patut menerima hormat dan respon dari pihak polis, kementerian dan kini Najib telah menyusahkan mereka lagi. Kenapa jalan untuk menyelesaikan masalah mereka semua ditutup? Adakah ia kerana mereka dari kalangan rakyat yang susah, minoriti India dan tiada kuasa untuk melawan balik? " tanya Latheefa Koya, seorang lagi peguam keluarga itu.


Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.