KUALA LUMPUR, 11 Feb —
Dakwaan bahawa kekacauan boleh berlaku selepas Pilihan Raya 2013 boleh
menggugat pengundi dari mengundi dengan bebas, kata pemimpin Pakatan
Rakyat (PR), yang mahu bekas ketua polis negara itu menghormati proses
demokrasi.
Semalam Bernama melaporkan Tan Sri Musa Hassan berkata pihak yang
kalah dalam pilihan raya akan datang mungkin akan melancarkan “Arab
Spring” untuk menjatuhkan kerajaan.
“Sebagai bekas ketua polis negara, beliau harus berhenti membuat
spekulasi seperti ini,” kata pemimpin Pemuda Sosialis DAP kepada The
Malaysian Insider.
“Ini tidak memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mengundi secara bebas dalam pilihan raya akan datang.
“Kenyataan beliau tidak membantu apa-apa. Beliau seharusnya percaya dengan pilihan rakyat.”
Bernama kemudian melaporkan kenyataan Musa bahawa polis seharusnya
memulakan pencarian maklumat bagi mengelakkan “Arab Spring”, satu terma
yang digunakan merujuk kepada kebangkitan politik di Asia Barat, dari
datang ke negara ini.
Bekas ketua polis negara itu berkata undang-undang menentang
keganasan kini sudah dilumpuhkan dengan pemansuhan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA), undang-undang semenjak zaman British yang
membenarkan penahanan tanpa bicara, dimansuhkan oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat
konspirasi pembangkang untuk cuba membuat perkara yang sama seperti di
Asia Barat sekiranya PR gagal menawan Putrajaya.
Beliau menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap
tentang itu secara terbuka dalam wawancara bersama media Australia
baru-baru ini.
Beberapa pemimpin dari Barisan Nasional (BN) juga membuat tuduhan yang sama.
Pemimpin PR berkata tuduhan tersebut bertujuan untuk menakut-nakutkan
pengundi dalam pilihan raya akan datang kerana sokongan terhadap
pembangkang kini semakin kuat.
“Jika sesiapa yang lancarkan ‘Arab Spring’, itu sudah pasti dari pihak BN,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.
Pemerhati melihat selepas 55 tahun pemerintahan BN, gabungan
pemerintah tersebut mungkin boleh tewas dalam pilihan raya yang mesti
berlangsung sebelum Jun.
Dan kerana itu, pemimpin PR berkata pihak BN yang akan melakukan keganasan.
“Saya bimbang BN akan lakukan perkara sedemikian jika mereka kalah,” kata Salahuddin yang merupakan ahli parlimen Kubang Kerian.
“Pada pihak kita, kita tak risau apa-apa. Kita dari PAS sudah biasa
kalah, kita pernah menang Terengganu dan kemudian kita kalah dan kita
terima.
“Kita guna sistem demokrasi, walaupun kita dinafikan untuk berlawan secara adil, kita terima.”
Bernama turut melaporkan Musa menuduh terdapat anasir asing yang akan
campur tangan dalam politik negara, dengan mengatakan PR cuba
mempromosi fahaman liberalisme Barat yang bertentangan dengan Islam yang
merupakan agama Persekutuan.
Dakwaan Musa timbul selepas beliau dilihat membuat kenyataan
pro-pembangkang mengkritik salahlaku kerajaan dan timbul spekulasi
beliau menyertai PR.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, apabila ditanya, berkata kenyataan Musa mungkin diputarbelit.
“Itu saya tak pasti, sama ada ini dibawa oleh Musa Hassan atau
tidak,” kata ahli parlimen Batu itu kepada The Malaysian Insider. “Saya
ada indirect contact dengan beliau, saya rasa kenyataan beliau diputar
belit.”
Chua berkata beliau percaya polis akan kekal neutral dan jika ada transisi kuasa ia akan berlangsung dengan aman. TMI
Indah.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.