Bagaimanakah caranya untuk Barisan Nasional (BN) menang di Pulau Pinang?
Soalan ini susah. Banyak jawapan sudah diberikan, tidak kurang juga
cadangan yang dilaksanakan untuk mengambil semula Pulau Pinang yang bagi
kebanyakan penganalisis politik adalah kawasan putih bagi Pakatan
Rakyat, terutamanya DAP.
BN melalui Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah mengakui
bahawa adalah tidak mustahil untuk parti pemerintah itu mentadbir semula
negeri berkenaan.
Cuma yang tinggal ialah apa strategi yang perlu dan
patut untuk memenangi kembali hati pengundi Pulau Pinang yang menolak
parti komponen BN dalam tsunami politik Mac 2008 lalu?
Sebagai sebuah koalisi politik yang sudah lama
memerintah negara dan mendapat manfaat banyak daripada hasil negara
sepanjang pemerintahan, BN adalah sebuah koalisi politik yang kaya.
Bukan setakat kaya yang boleh beli kereta mahal dan rumah besar, tetapi
kaya yang boleh beli jiwa raga dan maruah manusia.
Politik wang Barisan Nasional
Baru sahaja beberapa hari sudah Perdana Menteri, Najib Razak turun ke
Ampang dan melancarkan kempen politik wangnya yang popular diberi nama
BR1M 2.0. Berbanding yang sebelumnya, kali ini bantuan kewangan RM500
itu dipohon oleh lebih ramai orang.
Sekaligus membuatkan Najib Razak
kembang dan bangga sambil merasakan pendekatan dan kempennya mendapat
sambutan ramai. Konon rakyat sudah semakin sayang dan menyokongnya
kembali.
Ada beberapa pertimbangan yang dapat kita buat daripada perihal BR1M 2.0
ini. Pertamanya ialah mengapa mesti Najib Razak melalui kerajaan dan
jentera politiknya mengeluarkan wang tunai sebanyak itu untuk diagihkan
kepada rakyat?
Adakah rakyat sedang berada dalam kesempitan wang dan
menjadi mangsa ekonomi?
Adakah rakyat begitu susah sampai tidak ada duit
untuk hantar anak ke sekolah dan memastikan tempayan beras sentiasa
berisi?
Apa sebabnya bagi duit kepada rakyat? Ya, mungkin sebab rakyat tak ada
duit. Tapi sebab apa rakyat tak ada duit? Adakah rakyat malas bekerja?
Adakah sebab gaji tak naik? Adakah sebab harga barang melambung tinggi?
Pertimbangan seterusnya ialah mengenai naik turun sokongan rakyat
terhadap Najib Razak dengan pemberian wang tunai.
Ini jelas nyata adalah
politik wang. Tidak semestinya disebut rasuah, tetapi lebih kurang
begitulah keadaannya.
Politik wang yang dilakukan oleh Najib ini adalah
langkah paling mudah untuk meraih sokongan. Hanya kerana bangsa ini
begitu mudah termakan dan rasa terhutang budi.
Makcik, pakcik; saya nak bagi tahu. Duit yang makcik dapat itu ialah
sebahagian daripada duit makcik sendiri yang kerajaan kutip selama ini.
Itu bukan duit daripada poket Najib Razak, makcik. Najib Razak tidak
berhempas pulas jual pisang goreng dan cucur kodok untuk kaut untung dan
beri zakat kepada kita semua, tidak.
Najib Razak dan Rosmah Mansor
tidak juga turun ke bendang membanting padi untuk kumpul duit dan
berikan kepada pakcik. Tidak sama sekali.
Itu duit makcik lah yang mereka ambil. Sekarang dia bagi balik. Nanti
bila makcik guna duit itu untuk beli barang dapur, dapat ke dia balik
duit tu makcik.
Inilah dia politik wang. Rakyat tidak harus tertipu dengan politik wang
yang menjadi kekuatan pemerintah yang telah gemuk menelan hasil kekayaan
negara setelah puluhan tahun memerintah.
Sudah berapa juta dia makan,
hampas dan sisanya yang dibagi ke kita.
Orang Pulau Pinang tahu ini. Sebab itu orang Pulau Pinang dengan manis
muka boleh selamba ambil duit BR1M, tetapi hatinya tetap tekad akan
mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang.
Disebabkan kekayaan BN ini, mereka juga mampu membawa artis antarabangsa
untuk menghiburkan kita semua. Pakatan Rakyat tidak begitu kaya.
Yalah,
tiada pengalaman makan rasuah atau rompak harta negara. Tidak macam BN.
Mereka kaya. Apalah sangat DAP ini sekadar mampu buat parodi Gangnam
Style.
BN mahu bawa penyanyinya datang sendiri untuk menyanyi dan menari
sambil menghibur hati rakyat demi memujuk sokongan terhadap mereka.
Pakatan Rakyat tidak mampu buat begini. Kami tidak kaya macam mereka. Kami tidak rompak harta negara.
Gong-xi-fa-PSY
Semenjak artis Korea, PSY yang popular dengan tarian Gangnam Style-nya
diumum akan mencemar duli membuat persembahan di Pulau Pinang,
meloncatlah sekalian yang patut meloncat.
Paling kuat meloncat pasti lah
pendokong BN Pulau Pinang yang begitu gembira dengan kedatangan artis
berkenaan.
PSY sebenarnya telah dijadualkan untuk membuat persembahan di Future
Music Festival Asia pertengahan Mac nanti; pastinya dengan dukungan
Tourism Malaysia memandangkan (entah bagaimana) festival itu adalah
sebahagian daripada program transformasi ekonomi.
Kehadiran beliau untuk
meraikan perayaan Tahun Baru Cina ini pastinya tidak termasuk dalam
program, dan bayarannya juga pasti berbeza.
Apa yang kita tahu ialah sebagai artis bertaraf antarabangsa, PSY tidak
akan melayan jemputan yang menjanjikan bayaran kurang daripada sejuta
Dolar Amerika. Ya lah, artis popular.
Takkan nak bayar guna Ringgit
Malaysia. Satu juta Dolar Amerika (ini minimum ya) samalah dengan 3.098
juta Ringgit Malaysia; untuk satu lagu, daripada seorang penyanyi demi
memikat hati pengundi Cina (katanya).
Hatta ada yang mencemuh kononnya DAP hanya mampu membuat parodi, dan BN
juga yang hebat sehingga mampu membawa penyanyi asalnya ke mari.
Inilah
dia kesan pembodohan terancang oleh media yang dikawal pihak pemerintah
pimpinan United Malays National Organisation sehingga tidak dapat
meletakkan nilai kepada wang dan kemampuan sehingga boleh mengukur
kebolehan memimpin dengan membandingkan artis mana yang dibawa masuk.
Ya benar, Pakatan Rakyat adalah koalisi yang sederhana gayanya. Ia tidak
mampu berbelanja besar dan menabur wang untuk membeli undi orang ramai.
Tidak ada bayaran untuk datang berhimpun dan merelakan diri disepak
terajang oleh pihak polis.
Tidak ada bayaran untuk bawa sepanduk dan
angkat bendera. Tiada bayaran untuk letakkan pelekat kempen pada kereta.
Tidak macam UMNO. Selagi tak ada yang ‘masyuk’ tidak jalan lah kerja.
Dapur Guan Eng
Cuba kita perhati sekeping gambar yang dimuatnaik oleh Puan Betty Chew,
isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang memperlihatkan Lim Guan
Eng sedang memasak di dapur.
Mungkin apa yang orang hanya pandang ialah
perbuatan Guan Eng memasak di rumah. Santai di dapur dengan rambutnya
juga yang tidak diminyak.
Tetapi cuba pandang sedikit ke belakang dan lihat ruang dapurnya yang
serba sederhana itu. Rak plastik yang bersepah dijual di pasar borong.
Kain lap yang selalunya dijual lima helai sepuluh ringgit di pasar
malam. Siap ada lesung batu yang terceruk.
Pemimpin yang rendah hati dan
baik budi inilah yang ditohmah siang malam dengan fitnah yang akhirnya
dibuktikan tidak benar di mahkamah.
Bayangkan pula dapur pemimpin BN. Bayangkan Najib Razak menumbuk sambal
belacan. Bayangkan isterinya sedang potong bawang. Mampu?
Benar, perjuangan ini adalah perjuangan kelas. Yang kaya semakin kaya,
yang miskin dibaginya RM500 sudah mahu tunduk sujud menggadai masa
depan.
Yang kaya rompak harta negara, yang miskin dapat tengok PSY
menari sudah melompat-lompat sayang ke Perdana Menteri. Pembodohan dan
kebuntuan begini yang mesti kita lawan.
Tidak BN, undi kami orang Pulau Pinang tidak boleh dibeli dengan ang pau
dan tarian Korea. Harga diri kami lebih tinggi daripada itu.
Teruskanlah merancang bagaimana caranya untuk menawan kembali Pulau
Pinang. Pergilah tidur dan bermimpi. Mudah-mudahan kalian mendapat
ilham.
~roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.