KUALA LUMPUR 4 Feb: Sebanyak RM200,000 diseleweng Presiden Persatuan
Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri apabila siasatan persatuan itu
mendapati wang tersebut dipindah ke akaun syarikat KT Solution
Enterprise daripada Geran Bantuan Tabung Kebajikan dan Pentadbiran PBPM
berjumlah RM500,000.
Dedah Pengerusi PBPM Kuala
Lumpur, Nasiruddin Mohamed, Shafie yang juga Ahli Jawatankuasa Umno
Bahagian Jelebu turut memalsukan tanda tangan semasa mengendalikan
Mesyuarat Agung Negeri Kedah pada 15 Disember 2008.
Shafie juga menurut Nasiruddin terlibat menghantar dan memalsukan
laporan berhubung Ahli Majlis Tertinggi PBPM kepada Pendaftaran
Pertubuhan (ROS), malah mengatur kehadiran perwakilan haram dari Pulau
Pinang ke mesyuarat berkenaan.
Nasiruddin berkata, KT Solution beralamat di Klang kononnya bertindak
sebagai orang tengah untuk mendapatkan geran tersebut serta bayaran
komisen.
Beliau berkata, Shafie mengatur kehadiran perwakilan haram dari Pulau
Pinang ke Perhimpunan Agung PBPM pada 24 Januari 2009 untuk mengundi dan
memilihnya sebagai Presiden PBPM, walaupun PBPM Pulau Pinang dibubarkan
pada 25 Jun 2008.
“Banyak penyelewengan Shafie dibuat laporan polis termasuk oleh Haji
Ghaffur Md Yassin iaitu adik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin tapi malangnya sehingga hari ini, tiada tindakan diambil
terhadap Shafie.
“Penyelewengan ini juga berpunca kegagalan ROS menguatkuasa
Undang-undang Tubuh Persatuan dan Akta Pertubuhan 1966 Undang-undang
Negara yang patut mengambil tindakan terhadap pimpinan persatuan yang
dipertikai jawatannya.
“Saya juga yakin ada ‘tangan ghaib’ yang melindungi penyeleweng ini
seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Kementerian Kewangan, Penaung Kehormat, Tun Dr Mahathir dan Penasihat
Tabung Kebajikan, Datuk Seri Dr Rais Yatim,” ujar Nasiruddin yang juga
Naib Presiden PBPM Pusat pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala
Lumpur-Selangor, hari ini.
Turut hadir, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan 10 anggota PBPM.
Menurut Nasiruddin, Sijil Simpanan Premium Tabung Bangunan PBPM
berjumlah RM221,418.07 hilang dan dicairkan walhal sijil asal yang
dimiliki Ghaffur masih dalam simpanan PBPM.
“Bendahari PBPM, Mohd Hanafiah Abdul Manap dan Datuk Yusof Hamdain Diego
iaitu bapa mertua Speaker Dewan Rakyat pernah membuat laporan tetapi
tiada tindakan diambil.
“Ahli PBPM bersetuju sekiranya tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, satu demontrasi besar akan diadakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.