ALOR
SETAR - Kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada
majlis pelancaran program My Beautiful Malaysia peringkat Kedah, yang
dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor
Chee Heung, di Taman Rekreasi Gunung Keriang, kelmarin mengundang
pelbagai reaksi.
Difahamkan, terdapat segelintir pemimpin Pas tidak senang dengan
tindakan Azizan yang dilihat ‘mesra’ dengan beberapa pemimpin Barisan
Nasional (BN) pada majlis itu.
Malah beberapa blog tempatan ‘menyerang’ Azizan sehingga menimbulkan
spekulasi konon Azizan bakal menjadi mangsa selepas bekas Timbalan
Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, gara-gara tindakan Pas Pusat yang
dilihat mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin parti yang
menjalin hubungan mesra dengan pemimpin BN.
Kemesraan Azizan dengan Chee Heung serta Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad
Bashah Md Hanipah dipolitikkan pihak tertentu, sehingga wujud persepsi
konon hayat politik Azizan akan menerima nasib sama seperti Nasharuddin.
Azizan ketika dihubungi bagaimanapun tidak melatah, sebaliknya
menyifatkan perkara itu tidak wajar dipolitikkan kerana ia isu sejagat.
“Itu pemikiran cetek, saya sokong program gotong-royong itu, bukan
sokong perjuangan parti politik selaku penganjur program itu,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menyambut baik program anjuran kerajaan pusat itu
kerana amalan gotong royong perdana seperti itu sudah lama diamalkan di
Kedah.
“Polisi kerajaan negeri itu sama dengan agenda program anjuran
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ia bukan satu kesalahan.
Lagi pun saya hadir sebagai ketua kerajaan setelah dijemput oleh
penganjur,” katanya.
Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, kerajaan Pakatan Rakyat
(PR) sudah mendahului kerajaan BN (Pusat) dalam memperkenalkan program
seumpama itu kerana program gotong-royong adalah sebahagian dasar
kerajaan yang diperkenalkan pada 2008.
“Saya sekadar mahu menggalakkan belia dan masyarakat sertai program
gotong royong kerana banyak manfaatnya. Saya cuma menggalakkan usaha
baik seperti itu di Kedah,” katanya.
Menurutnya, ia bukan suatu isu dan kehadiran beliau ke program terbabit tidak wajar dipolitikkan.
“Ini isu alam sekitar bersifat universal melangkaui sempadan politik, tidak timbul isu dan tak wajar dijadikan isu,” katanya.
- SinarHarian
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.