SEKINCHAN, 5 JAN : Pemimpin Umno- BN tidak pernah belajar daripada
skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) apabila dengan terus menerus
terpalit dengan pelbagai skandal penyelewengan wang rakyat
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kes terbaru yang
membabitkan Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Raja Ropiah berhubung
pendedahan saudagar karpet Deepak Jaikishan adalah bukti pimpinan
Umno-BN perlu ditolak dalam pilihan raya nanti.
Sebelum ini didedahkan bahawa Raja Ropiah membeli tanah itu dengan harga
RM7 sekaki tetapi mendapat keuntungan atas angin apabila menjualnya
kepada syarikat lain dengan harga RM16 kaki persegi.
Tanah itu digazetkan untuk pembinaan kem tentera terletak di Mukim Bukit
Raja didakwa dijual secara komersil dan tidak dibangunkan dengan
objektif asalnya.
“Dalam banyak-banyak syarikat yang bagus di Malaysia tetapi projek itu
diberikan kepada syarikat Raja Ropiah yang luasnya lebih 200 ekar.
“Tanah ini yang terletak di kawasan utama di negeri Selangor diberikan
begitu sahaja, projek daripada 1997 sehingga 2013 ini tidak siap lagi.
“Rakyat warga Selangor susah untuk mendapatkan geran dan tanah dengan
pelbagai kesusahan tetapi pimpinan Umno dengan mudah memilikinya,” kata
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Beliau berkata demikian semasa program ‘Jelajah Anak Muda Menuju KL112 1
Juta Turun Himpunan Kebangkitan Rakyat’ yang diadakan di Dewan Datuk
Fauzi Pasir Panjang di sini.
Sementara itu Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, Pakatan Rakyat (PR) mempunyai
potensi dan peluang untuk mentadbir Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) ini.
Katanya ia berdasarkan keupayaan gagasan itu memperolehi 82 kerusi pada
PRU-12 lepas dan sokongan yang semakin melonjak mutakhir ini khususnya
di Sabah dan Sarawak.
“75 peratus masyarakat orang Cina sudah menyatakan menyokong Pakatan Rakyat,” ujarnya.
Tegas Badrul, rakyat perlu berani turun ke Kuala Lumpur pada 12 Januari
ini sebagai perhimpunan terakhir sebelum PRU-13 ini bagi menyatakan
bantahan terhadap sikap berat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam
melaksanakan tugasnya.
“Kerana itu kita hendak mengelakkan kehancuran negara, kita tiada alasan
lain untuk turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 12 Jan ini,” tegas
Badrul.
Kira-kira 1,000 hadiran datang dalam program itu yang dianjurkan oleh SAMM dengan kerjasama Pakatan Rakyat.
Pen Burok Online

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.