Followers

Tuesday, January 8, 2013

Rasuah, pembaziran, tetap salah, sama ada RM30 ribu mahupun RM100 juta




KOMEN— Rasuah RM30,000 bagi menyembunyikan aduan gangguan seksual di Pulau Pinang mendapat perhatian cukup tinggi daripada rakyat di negara ini, menunjukkan bahawa tiada sesiapa pun di Malaysia harus menerima atau bertolak ansur dengan kegiatan korupsi ataupun salah guna wang di negara ini.

Dengan berita yang yang masih segar dan media arus perdana ghairah memainkan berita kes penjawat awam dan pembantunya di Pulau Pinang itu, persoalannya sekarang, kenapa semua pihak berdiam diri terhadap projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) yang bernilai RM100 juta.

Mengapa mereka perlu berhabis dakwat untuk RM30,000 dan tidak mengendahkan projek yang menyaksikan tanah kerajaan ditukar dan dijual, namun tiada kelibat bangunan Puspahanas didirikan di Putrajaya.

Adakah RM100 juta hanya tukaran dengan projek berbilion ringgit kerajaan Persekutuan? 

Namun RM30,000 jumlah terlalu besar untuk berita kerana ia melibatkan pembantu pemimpin pembangkang?

Antara kedua-dua kes itu, yang mana satu adalah jenayah terbesar? Syarikat yang tidak mempunyai rekod mendapat projek pada 2005 dan dibayar dengan tiga lot tanah kerajaan bernilai RM72.5 juta dan RM27 juta tunai.

Syarikat ini, Awan Megah (M) Sdn Bhd dimiliki Ketua Wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah, gagal membangunkan Puspahanas pada 2011 namun berjaya menjual tanah itu bulan lalu kepada Boustead Holdings Bhd, yang majoriti sahamnya dimiliki oleh dana pencen kakitangan tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Namun tiada pihak yang membangkitkan perkara itu, termasuk daripada kerajaan mahupun media arus perdana berkenaan projek tersebut yang belum disiapkan? 

Atau persoalan bagaimana Boustead boleh membeli tanah itu yang mana telah dikunci firma Raja Ropiaah melalui perjanjian yang sangat rumit untuk membiayai projeknya.

Ini bermakna, pendedahan korupsi adalah tersangat kecil sekecil nilai nyawa Teoh Beng Hock pada 2009. Dan yang terbaru di Pulau Pinang. 

Turut dilihat berdasarkan laporan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) juga mengandungi elemen siapa yang korup dan tidak terlepas daripada gejala kotor.

Namun, “jerung” juga perlu ditangkap. Bagaimana kita boleh menutup mata dengan rompakan di siang hari, syarikat yang memperolehi wang yang banyak melebihi kos bangunan yang tidak pernah langsung dibina.

Bagaimana Menteri Pertahanan membisu mengenai perkara ini? Mana suara Kementerian Kewangan?

Tanah ditukar untuk projek yang berprestij namun tiada yang lengkap dan semua pihak membisu, mulut terkunci seperti mana lokasi projek Puspahanas.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menetapkan membanteras rasuah adalah keutamaan mereka melalui pembentukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membentuk lebih banyak mahkamah anti rasuah.

Namun, tiada satu pun yang menyiasat skandal Puspahanas, tidak seperti siasatan teoh Beng Hock pada 2009, dan pembantu politik PKR tahun ini.

Harus ada kebenaran seperti mana pepatah Melayu, “kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak kelihatan”.

Rakyat Malaysia tidak seharusnya menerima dengan apa sahaja gejala rasuah, pembaziran kewangan, mahupun kebocoran dana.

Siasat dan hebahkan kes di Pulau Pinang kerana ia salah untuk merasuah pengadu supaya menggugurkan aduannya. Namun satu soalan ini harus dijawab, di mana projek Puspahanas bernilai RM100 juta, dan mengapa semua pihak membisu?

-themalaysianinsider.com

MALAYSIA CHRONICLE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.