Walaupun mendapat persetujuan polis untuk berhimpun secara aman, namun
pelepasan oleh pihak bekuasa itu umpama wayang apabila penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) dikehendaki melalui 27 syarat ketat.
Menurut Pengarah HKR, Mohamad Sabu, syarat-syarat tersebut mengikut Seksyen 15(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
“Setelah berbincang dan berdialog dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi,
ACP Zainuddin Ahmad, mereka bersetuju untuk memberi kerjasama dengan
kita untuk berhimpun secara aman.
“Diharapkan semua datang awal dan memberikan sokongan tanpa membuat
kecoh kerana kita akan berkumpul secara aman,” kata Mohamad kepada media
selepas pertemuan itu di IPD Dang Wangi petang tadi.
Antara syarat ketat yang ditetapkan polis adalah:
1. Penganjur dan peserta yang berada dalam himpunan itu tidak melakukan
apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan yang berkecenderungan
untuk mengembangkan perasaan jahat, perasaan tidak puas hati atau
permusuhan di kalangan orang awam amnya atau membuat apa-apa yang akan
menganggu ketenangan orang awam.
2. Penganjur hendaklah memastikan bahawa dia atau mana-mana orang lain
yang berada di himpunan tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah
mana-mana undang bertulis.
3. Penganjur hendaklah mematuhi tarikh, masa dan tempat perhimpunan
sebagaimana yang telah ditetapkan, tarikh 12 Januari 2013, 2 petang
hingga 5 petang di Stadium Merdeka.
4. Penganjur hendaklah menentukan tiada kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke tempat perhimpunan.
5. Penganjur hendaklah menentukan semua syarat-syarat dan semua sekatan
perhimpunan dimaklumkan kepada semua peserta perhimpunan.
6. Penganjur hendaklah memastikan bilangan peserta perhimpunan yang
masuk stadium tidak melebihi 30,000 orang sebagaimana mengikut terma
yang ditetapkan oleh pemilik Stadium Merdeka.
7. Penganjur hendaklah mematuhi cara berhimpun yang ditetapkan di bawah Akta 736.
8. Penganjur hendaklah memastikan pembersihan semasa dan selepas perhimpunan atau menanggung kos pembersihan tempat perhimpunan.
9. Penganjur hendaklah memastikan perhimpunan itu tidak akan
membahayakan kesihatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta atau alam
sekitar.
10. Penganjur dan peserta hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa awam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.