Dr M syor s'jaya siasat pemberian kerakyataan sebelum merdeka
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar
ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu
pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta pendatang asing di Persekutuan
Tanah Melayu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.
"Saya hanya mencadangkan sahaja, dan tidak serius tentang itu(melaksanakannya)... tetapi jika mahu menjalankan siasatan mestilah
secara menyeluruh, ia tidak adil sekiranya hanya fokus kepada satu
perkara sahaja dan tidak perkara lain.
"Terdapat perkara yang sama, saya hanya mahu menunjukkan perbandingan,
saya bukan serius mengenainya tetapi saya memang menekankan apabila
melakukan sesuatu perkara ia mesti adil," katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan dan
menyampaikan ucaptama pada konvensyen 'Transformasi Ekonomi dan
Pelajaran Melayu Pulau Pinang 2013' anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (PERKASA) Pulau Pinang di Dewan Utama, Universiti Teknologi
Mara (UiTM) kampus Permatang Pauh di Bukit Mertajam hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan
terhadap tindakannya memberikan taraf kerakyatan kepada 200,000
pendatang asing di Sabah ketika beliau menjadi perdana menteri.
Katanya 200,000 pendatang asing itu telah berada di Sabah untuk satu
tempoh yang lama iaitu lebih 20 tahun dan menggunakan bahasa Melayu
dalam komunikasi serta mengamalkan budaya setempat.
"Dari segi perundangan mereka memang layak untuk mendapat taraf kerakyatan," katanya.
Selain itu, katanya, pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta pendatang
asing di Persekutuan Tanah Melayu sebelum merdeka dilakukan Perdana
Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj walaupun ia tidak
termaktub dalam undang-undang ketika itu.
"Hal ini berlaku disebabkan orang Melayu pemurah dan bersedia untuk
mengurangkan kuasa mereka, ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di
Sabah kerana mereka memang berhak untuk mendapat taraf kerakyatan,"
katanya.
Konvensyen sehari anjuran PERKASA Pulau Pinang itu bertujuan
membangkitkan motivasi dan kesedaran di kalangan orang Melayu Pulau
Pinang, khusus mengenai ekonomi dan pendidikan.
Antara objektif utama konvensyen sehari ini ialah menjadi salah satu
platform utama percambahan minda membincangkan isu serta peluang ekonomi
dan pelajaran orang Melayu Pulau Pinang dan menghasilkan resolusi dan
pelan tindakan strategik hala tuju transformasi ekonomi dan pelajaran
secara dinamik dan holistik yang sentiasa relevan dan kemaskini ke arah
pembangunan dan kemajuan ekonomi serta pelajaran orang Melayu.
Tiga kertas kerja dibentangkan pada konvensyen itu.
Yang turut hadir ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Yang Dipertua Perkasa Negeri
Pulau Pinang Yusof Suhaimi Mohd Yatim.
Catatan : Jeebond
Bloglist Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.