Followers

Saturday, January 5, 2013

PANAS! Siapa Bakal Ketua Menteri Sabah?

 
Makin hampir dengan pilihanraya umum, persoalan mengenai siapa yang layak menduduki kerusi nombor satu di negeri Sabah ini kian menarik.

Masing-masing dari Umno dan Pakatan Rakyat difahamkan sudah memuktamadkan senarai calon-calon yang akan menggantikan ketua menteri sekarang, Musa Aman yang dikatakan sudah tidak lagi dikehendaki Kuala Lumpur termasuk perdana menteri, Najib Altantuya.

Beberapa nama besar sudah mula melobi untuk jawatan yang menjanjikan kekayaan segera itu antaranya Naib Presiden Umno, Shafie Apdal, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Salleh Said Keruak dan veteran Umno negeri, Yahya Hussin.

Dari segi pengalaman, tentulah Yahya nampaknya akan dipilih tetapi pengaruh Shafie yang disokong Kuala Lumpur tidak boleh dipandang ringan.

Walaupun Shafie terpalit dengan skandal membabitkan artis yang kini mendiamkan diri, Zahida Rafik, tetapi sokongan penduduk Semporna terhadapnya masih kuat kerana dipercayai skandal tersebut disenyapkan dari pengetahuan mereka terutamanya yang tidak memperolehi sumber maklumat alternatif.

Tidak kira apa pun yang berlaku, siapa juga yang akan menggantikan Musa sudah tidak penting kerana kemaraan Pakatan Rakyat kini semakin membimbangkan Barisan Nasional (BN).

Maka tidak hairanlah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat negeri optimis lebih banyak kerusi DUN akan ditawan kali ini mengulangi sejarah bagaimana Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya membentuk kerajaan negeri sebelum dimandulkan Umno yang masuk ke negeri itu pada 1994.

Pakatan itu juga tidak kurang calon untuk diketengahkan sebagai bakal ketua menteri tetapi menurut sumber, ia tidak dibincangkan secara serius oleh kepimpinan tertinggi kerana keutamaan kini adalah untuk menggantikan BN sebagai kerajaan negeri.

Daripada 60 kerusi DUN yang akan direbut, mana-mana pihak perlu memperolehi sekurang-kurangnya 31 kerusi bagi mendapat majoriti mudah manakala 40 kerusi diperlukan bagi majoriti dua pertiga bagi meminda perlembagaan negeri.

Pakatan Rakyat kini mensasarkan 25 ke 35 kerusi DUN untuk dimenangi terutamanya dengan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang diketuai bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Lajim Ukin yang menggempur kawasan majoriti Bumiputera Islam.

Manakala tugas untuk meraih undi Bumiputera Bukan Islam dan kaum Kadazandusun Murut (KDM) diamanahkan kepada pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang juga ahli parlimen Tuaran, Wilfred Mojilip Bumburing.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang minggu lalu berada di negeri ini dipercayai meminta Presiden KEADILAN, Wan Azizah Wan Ismail agar memuktamadkan senarai calon Pakatan Rakyat termasuk memberi semangat kepada jentera wanita agar melakukan tinjauan dari rumah ke rumah seperti yang dilakukan terhadap mangsa banjir di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Kedudukan semasa yang diperolehi dari sumber maklumat dalaman Umno dan Cawangan Khas (SB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mendapati BN masih mendahului dengan 38 kerusi manakala Pakatan Rakyat dijangka menang di kerusi selebihnya jika pilihanraya diadakan awal bulan lalu.

Namun dengan perubahan iklim politik semasa memungkinkan angka tersebut akan berubah jika Pakatan Rakyat terus melipatgandakan usaha kerana dijangka lebih ramai ahli BN dari PBS, PBRS dan UPKO akan keluar beramai-ramai dalam masa terdekat.

Satu lagi parti bertaraf nyamuk, Parti Reformasi Sabah (STAR) yang dipimpin Jeffrey Kitingan bakal mengalami nasib yang hampir sama dengan SNAP di Sarawak berikutan keluarnya Setiausaha Agung parti itu, Patrick Nyumboi baru-baru ini.

Ternyata, kebijaksanaan rakyat Sabah memilih pemimpin mereka akan ditentukan dalam pilihanraya umum kali ini tidak kira siapa pun yang akan dipilih menjadi ketua menteri terutamanya dari Pakatan Rakyat.
 
 
Jalan Pulang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.