KOTA KINABALU, 10 Jan — Ketua Menteri Datuk Musa
Aman mengingatkan rakyat Sabah, terutama penjawat awam supaya tidak
terpengaruh dengan slogan ‘tukar kerajaan’ yang dimainkan pembangkang
bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
Sambil menepis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan sedia ada “tidak
membawa apa-apa pembangunan” kepada rakyat di negeri ini, Musa yang juga
pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata bahawa hanya orang buta
dan tuli sahaja yang tidak mampu melihat kebenaran.
“Kalau mahu tukar (kerajaan) mudah sahaja...tapi adakah itu membawa kebaikan atau kemudaratan kepada rakyat dan negeri ini?
“Di mana-mana sahaja kita boleh melihat pembangunan yang dibawa oleh
kerajaan BN. Saya yakin rakyat Sabah atau penjawat awam matang dan tahu
menilai prestasi kerajaan BN yang banyak membawa pembangunan dan
menolong rakyat dalam semua aspek tanpa mengira agama, bangsa dan
keturunan,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perhimpunan perdana Ketua Menteri bersama
penjawat awam negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah di
Likas, dekat sini hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said,
Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, timbalan-timbalan
ketua menteri, menteri-menteri, pembantu-pembantu menteri dan
ketua-ketua jabatan.
Musa turut menggariskan kejayaan dan pencapaian kerajaan BN yang
membawa perubahan besar dan menyeluruh dalam landskap pembangunan di
negeri ini.
Katanya ini termasuk kejayaan kerajaan negeri mengurus kewangan
dengan baik seperti yang terkandung dalam Laporan Perbendaharaan Negara
selain Berjaya mendapat anugerah ‘Clean Bill’ selama beberapa tahun
berturut-turut.
“Ini bermakna Sabah adalah antara negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang terbaik di negara ini,” katanya.
Beliau berkata dengan kedudukan kewangan yang kukuh, kerajaan negeri
mampu membelanjakan berbilion ringgit bagi pelbagai projek pembangunan
di negeri ini,dan tahun ini sahaja, kerajaan negeri menyediakan bajet
tahunan melebihi RM4 bilion.
“Kita beri bonus dan kenaikan gaji kepada penjawat awam kerana
kerjaan ada cukup kewangan untuk bayar gaji dan bonus kepada kakitangan
awam. Bayangkan, kerajaan negeri Sabah membelanjakan sekitar RM700 juta
setahun untuk bayar gaji kakitangan awam negeri.
“Kita ada bajet besar dan peruntukan pun besar untuk pembangunan di
negeri ini termasuk pembangunan infrastruktur seperti membina jalan raya
dan membaiki kerosakan jalan akibat tanah runtuh,” katanya.
Musa berkata walaupun beliau gembira dan berpuas hati dengan
pencapaian negeri ini setakat ini namun rakyat Sabah terutama penjawat
awam perlu bekerja keras bagi mencapai lebih banyak kejayaan.
“Kita punyai perancangan, dibantu dengan kerajaan pusat, dalam
menjayakan Rancangan Malaysia kesembilan dan ke-10. Pencapaian ini bukan
diberi kredit kepada seorang sahaja tetapi semua pemimpin kerajaan
termasuk penjawat awam yang bekerjasama dan bergerak sebagai satu
pasukan untuk laksanakan dasar-dasar program yang dirancang oleh
kerajaan negeri dan dibantu oleh kerajaan Persekutuan.
“Memang saya akui kita ada kelemahan dan masih ada yang belum dicapai
tetapi yang penting dengan adanya kerjasama antara pemimpin dan
kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan, kita akan mencapai kejayaan
yang membanggakan,” katanya.
Selain itu, Musa berkata kestabilan politik dan iklim pelaburan yang
kondusif turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri termasuk
sector pelancongan dan pendidikan.
“Dengan promosi agresif mengikut acuan kita sendiri, kita berjaya
menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negeri ini. Begitu
juga dengan pelaburan, banyak pelabur dari luar negara termasuk dari
Amerika Syarikat dan Brunei yang berminat melabur di negeri ini.
“Dari segi pendidikan, kini kita ada Universiti Malaysia Sabah, Kolej
Yayasan Sabah (yang bakal dinaik taraf kepada kolej universiti) dan
Kolej Kadazandusun Murut (Kolej KDM) yang akan dibina di Tambunan,”
katanya.
Ketua Menteri turut menolak dakwaan pembangkang yang kononnya Sabah
adalah negeri termiskin di negara ini, sebaliknya meminta Universiti
Malaysia Sabah dan cawangan kampus UiTM membuat kajian lanjut berhubung
perkara itu.
Musa juga mempertahankan dasar tanah kerajaan negeri yang
memperkenalkan hak milik berkelompok kepada penduduk kampung yang layak
demi masa depan mereka yang lebih terjamin.
“Tiada ada perbezaan hak milik tanah biasa dan berkelompok...cuma
tanah di bawah hak milik berkelompok tidak boleh dijual. Berdasarkan
kajian sebelum ini, terdapat kes di mana penduduk kampung yang memilik
geran tanah menjual tanah mereka kepada syarikat gergasi dan akhirnya
mereka mengeluh tiada tanah...ini yang kita mahu elakkan,” katanya.
Beliau berkata dasar perhutanan dan pemeliharaan alam sekitar negeri
ini dikagumi oleh negara luar yang menyaksikan pasangan diraja Britain
melawat hutan simpan di Lembah Danum baru-baru ini.
Katanya di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,
yang memperkenalkan pelbagai program transformasi, Malaysia berada di
landasan betul untuk menjadi sebuah negara maju dan pembaharuan itu
wajar disokong oleh semua lapisan masyarakat.
“Di bawah program transformasi Perdana Menteri, tiada pihak atau kaum
yang terpinggir...semua rakyat mendapat manfaat dan pembelaan yang
sewajarnya,” katanya.
Oleh itu, beliau berharap penjawat awam dapat membantu memberi atau
menyebarkan persepsi positif terutama kesungguhan kerajaan dalam
membangunkan negeri ini, sekali gus memastikan kelangsungan program
pembangunan untuk kemudahan rakyat. — Bernama
Malaysia Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.