Penampilan
Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tetap tidak berubah, sama seperti gayanya
semasa menteri kabinet dahulu; kemas dan rapi, masih dengan bow tie,
ramah dan ceria.
Ketika
berkunjung ke Jabatan Pengarang Harakah, petang 21 Januari lalu, tujuan
asalnya hanya untuk "melawat rakan-rakan wartawan", selain bertemu
Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS selepas itu.
"Boleh
saya melawat pejabat Harakah, nak tengok kawan-kawan di sana bekerja?"
suaranya jelas di hujung talian semasa saya makan tengahari Khamis 17
Januari. Tentunya hajat beliau amat saya alu-alukan.
Kadir
ternyata cukup mesra, mudah diajak berbicara dan menunjukkan minat yang
tinggi terhadap media, khususnya akhbar alternatif seperti Harakah.
Tidak lama berada di dalam bilik saya, dia mahu melihat lebih dekat
karyawan Harakah bertugas.
Agak
segan saya menunjukkan bilik operasi kami yang tidak tersusun, apatah
lagi ramai bercuti dan bertugas di luar pejabat, tetapi Kadir tetap
bersemangat, dan saya kira ia mampu untuk memberi galakan dan dorongan
kepada teman-teman yang lain. Baginya, Harakah mempunyai peranan dan
tanggungjawab besar-kritikal berdepan PRU13.
"Sepanjang
menjelajah seluruh negara dan turut berceramah di atas pentas PAS, saya
terharu melihat komitmen tinggi penyokong dan aktivis akar umbinya. Dah
lama mereka terseksa. Saya bertemu dengan ramai pemimpin PAS yang
berbakat besar, berketrampilan dan berkebolehan," katanya sambil
menjamah "jemput-jemput" yang disifatkannya paling enak pernah
ditemuinya.
Sejak
pertemuan pertama dengannya di Mines Waterfront Business Park, Seri
Kembangan, saya dapat mengesan Kadir bukan sahaja begitu prihatin dengan
proses pilihan raya negara kita yang tempang dan pincang, malah beliau
melihat kaitan rapat dengan gejala kongkongan terhadap media, terutama
yang dibiayai dana awam.
Beliau
pernah mencadangkan himpunan sejuta rakyat, dengan fokus utama kepada
tuntutan akses media kepada semua parti-parti yang bertanding dalam
PRU13. "Boleh namakan ia Bersih 4.0 atau apa saja, yang penting kita
dapat kumpulkan seramai mungkin, di stadium misalnya, tanpa sebarang
gangguan dan saya sedia menawar khidmat untuk menjayakannya," kata Kadir
kepada saya, Ogos 2012.
Saya kira, idea asal Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu sedikit sebanyak disumbangkan Kadir.
Dalam
pertemuan Isnin lalu, minatnya masih sama. Dia juga bimbang rakyat masih
terhalang daripada mengikuti maklumat dan perkembangan sebenar mengenai
Pakatan. "Kita perlu lipatgandakan usaha mendekati setiap pengundi, di
setiap pelosok. Jangan lupa, di zaman internet ini, masih ramai yang
mudah dipengaruhi propaganda media tidak bertanggungjawab," katanya.
"Media
bebas bukan bermakna waktu dua tiga minggu kita ada pilihan raya atau
kempen pilihan raya yang tak sampai dua minggu itu. Jika hanya waktu itu
baru diberi peluang terhad agar pembangkang menceritakan sedikit
sebanyak manifesto, itu bukan bermakna media yang bebas," tegas Kadir.
"Kita
nak bebas sekurang-kurangnya dari sekarang. 'Countdown period' ini.
Sepatutnya sepanjang masa. Tapi tak mengapalah kalau media nampak bebas
mulai dari sekarang. Bermakna berilah masa kepada semua parti politik
memberi hujah menerusi televisyen, radio dan juga akhbar arus perdana.
"Atau
diadakan sesi perbincangan seperti sewaktu saya jadi Menteri Penerangan
dulu. Adakan debat perdana, kumpulkan wakil parti-parti kerajaan dan
pembangkang, berbahas mengenai isu-isu tertentu," tambahnya penuh yakin.
Semasa
sesi wawancara yang pada mulanya dijadualkan ringkas dan santai, Kadir
menarik perhatian kami dengan isu penyalahgunaan jentera dan kemudahan
kerajaan, yang berkempen untuk Umno-BN. Rupanya interviu itu berakhir
menjelang solat Maghrib, memakan masa hampir satu setengah jam.
Sekali
lalu, isu manipulasi jentera kerajaan itu seperti persoalan lapuk dan
"basi" yang berulang kali disebut ketika menjelang pilihan raya, namun
bagi Kadir, kelaziman menjolok mata itu perlu dihentikan.
"Menggunakan
duit rakyat, agensi kerajaan seperti Kemas, Jasa, Felda, Risda,
termasuk pasukan keselamatan dan polis Cawangan Khas, yang dikerah masuk
kampung, tinggal bersama mereka, semata-mata berkempen untuk
memenangkan BN," jelasnya lagi.
"Dan hal
ini sudah lama berjalan. Berselindung di sebalik program kerajaan,
mereka bebas mempengaruhi penyokong pembangkang," tambah Kadir.
"Salahguna seperti ini tidak berlaku lagi di negara-negara yang maju
dari segi amalan demokrasinya, termasuk di Indonesia."
"Penyokong
Pakatan di seluruh negara harus membuat laporan polis jika ada
bukti-bukti salahguna jentera kerajaan ini," katanya. Saya bersetuju.
Tekanan mesti dipertingkatkan, terutamanya dengan bukti-bukti nyata yang
sukar ditolak.
Kadir
juga mengkritik keras sikap Suruhanjaya Pilihan Raya, yang dilihatnya,
tidak serius dan sering berdolak-dalik daripada melaksanakan tugas
asasinya iaitu menjalankan pilihan raya secara adil, bebas dan bersih.
Beliau
mahu SPR proaktif menegur, berunding dan menasihati kerajaan agar
manipulasi jentera dan kemudahan awam dihentikan, bukan hanya sewaktu
kempen, tetapi juga dalam tempoh "countdown" seperti sekarang.
"Saya
nampak SPR ini keliru sikit dengan tanggungjawab mereka. Tanggungjawab
SPR adalah memastikan pilihan raya diadakan dengan cara adil, telus dan
sempurna. Sekarang SPR kata, itu kerja kerajaan, bukan kerja kami," kata
Kadir.
"Misalnya
bila kita tuntut media bebas waktu pilihan raya, jawapan dia, itu bukan
tanggungjawab SPR, itu soal kerajaan. RTM, kerajaan punya; Astro orang
lain punya; TV3 syarikat lain pula. Jadi dia tidak bertanggungjawab.
"Tapi
SPR lupa, itu tanggungjawab dia, untuk berunding dengan kerajaan.
Semuanya prasyarat penting wujudkan pilihan raya bebas. SPR kena
bertanggungjawab berunding dengan kerajaan, memujuk kerajaan supaya buka
sikit kebebasan media waktu pilihan raya. SPR tak boleh kata, ini soal
kerajaan, bukan di bawah bidang kuasa kami," jelasnya panjang lebar.
Ya,
memang menjolok mata sekali daleh SPR -- terutama kenyataan Timbalan
Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar -- seolah-olah mereka begitu daif,
lemah dan tiada kuasa sehingga membiarkan saja (sebenarnya turut
mendorong dan memudahkan) Umno melakukan "korupsi terbesar" untuk menang
PRU13.
Wan
Ahmad yang disyaki terbabit langsung menjayakan banyak konspirasi dan
komplot bersama Umno itu, tidak harus "dilepaskan" begitu sahaja. Tidak
mustahil banyak perencanaan liciknya yang masih belum dapat kita hidu,
dan hanya dapat dijejaki selepas keputusan pilihan raya diumumkan nanti.
Waktu itu sudah terlambat.
Ada
benarnya juga, terkadang kita menganggap remeh dan "lali" untuk
berterusan mendesak SPR dan kerajaan, apatah lagi ketika semua sibuk
dengan persiapan terakhir pilihan raya. Mungkin kita merasakan lebih
baik tenaga dan sumber yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekati
pengundi.
Bagi
saya, tekanan tidak wajar dikendurkan, malah perlu dipertingkat. Semasa
pimpinan Pakatan memasuki fasa kempen menyerlahkan imej dan penampilan
sebagai "kerajaan menanti", Najib Razak perlu diasak.
Siapa
tahu, atas semangat "transformasi politiknya", Najib bersedia melakukan
beberapa pembaharuan di saat akhir, termasuk membersihkan proses pilihan
raya berkaitan media dan jentera kerajaan ini.
Rumusan
Kadir mengenai tuntutan akses media bebas dan penyalahgunaan segala
sumber kerajaan cukup menarik perhatian saya -- sekali gus membimbangkan
-- dan seharusnya juga kepada aktivis yang menuntut pilihan raya bersih
dan adil:
"Selain
media bebas, bagi saya, inilah 'point' yang cukup-cukup penting, iaitu
menamatkan penyalahgunaan kemudahan kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan
apabila turun ke kampung, mereka boleh masuk rumah orang PAS, rumah
orang KeADILan. Ya, semua rumah dia boleh masuk. Sebab dia kata dia
pegawai kerajaan, dia bukan orang politik.
"Tetapi
apabila dia masuk berkampung, maka mulalah secara perlahan-lahan ...
berkempen bagi satu pihak (Umno-BN). Dalam waktu itu, mereka ada pula
peruntukan yang pelbagai dan mewah. Peruntukan itu wang rakyat, tetapi
digunakan untuk kempen, juga buat kenduri dan sebagainya.
"Mereka
mungkin dapat masuk rumah sehingga ratusan ribu pengundi, dan mungkin
jutaan, di seluruh Malaysia. Jabatan kerajaan (termasuk SB dan anggota
tentera) sekarang 'dok melilau' hingga ke Sabah dan Sarawak. Seluruh
kampung mereka dah ada. Tiap-tiap hari berkempen, sejak berbulan dah.
Ini bermakna jutaan undi dapat dipesongkan ke arah lain."
kERENGGA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.