KUALA
LUMPUR 9 Jan: Angkatan WargaAMAN Malaysia (WargaAMAN) mendesak semua
anggota polis termasuk Special Branch (SB) yang bertugas dalam Himpunan
Kebangkitan Rakyat perlu memaparkan pas, ID, tanda nama dan nombor
pengenalan mereka pada uniform masing-masing.
Ini, kata Setiausaha Agungnya, S Barathidasan supaya sebarang salah laku
oleh pihak polis juga boleh direkodkan serta dilaporkan oleh rakyat
yang terlibat.
Sehubungan itu, katanya WargaAMAN berasa agak kesal dengan keputusan
pihak polis untuk mengeluarkan pas khas media serta membezakan kehadiran
rakyat jelata pada 12 Januari ini yang akan turut serta dalam HKR.
“Pokok persoalannya ialah kenapa perlu membeza-bezakan antara wartawan
dan peserta?” soal beliau dalam satu kenyataan, seperti dilapor Harakah
Daily.
Padahal, kata beliau para wartawan sudah pun memiliki pas media syarikat
mereka dan akreditasi rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian
Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi yang sudah memadai untuk mengenal
pasti wartawannya.
Justeru, beliau berharap pihak polis dapat mengambil iktibar daripada
peristiwa ‘Duduk Bantah Bersih 3.0’ pada 28 April 2012 yang mana ramai
wartawan telah diserang oleh pihak polis ketika membuat liputan sehingga
ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital serta kad memori kamera telah
dirampas dan ada yang rosak.
“Tapi sehingga hari ini, tiada apa-apa tindakan diambil berhubung aduan
insiden tersebut. Ini tidak harus berlaku di mana wartawan juga
merupakan rakyat Malaysia yang sepatutnya diberikan perlindungan
keselamatan oleh pihak polis,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak polis sepatutnya menawarkan perlindungan kepada
semua orang dan menghormati hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk
berhimpun secara aman.
Tambahnya, pada masa yang sama, mereka perlu menunjukkan profesionalisme
supaya hak asasi rakyat jelata tidak dicabuli dengan
sewenang-wenangnya.
“Pihak polis harus berperanan sebagai rakan kita dan tidak memihak kepada sesiapa,” ujarnya lagi.
Katanya, untuk mencapai sasaran 1 juta rakyat untuk menyertai Himpunan
Kebangkitan Rakyat, WargaAMAN, Tamilar Action Force (TAF), Persatuan
Progresif India Malaysia (MIPAS) akan berusaha untuk menggerakkan 10,000
hingga 15,000 masyarakat India di Lembah Kelang dan dianggarkan hampir
100,000 masyarakat India dari seluruh negara akan membanjiri Stadium
Merdeka yang ingin keadilan ditegakkan di tanah air kita.
- http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.