Followers

Thursday, January 3, 2013

Cabar Najib buktikan transformasi, beri Anwar muncul di TV RTM - Nik Nazmi

 
KUALA LUMPUR 3 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu beri Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil di siaran televisyen sebagai bukti beliau serius dengan transformasi yang dicanangnya.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia ekoran tuntutan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan untuk tampil di RTM, diikuti Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut mahu diberi ruang sama.

“Sebagai sebuah negara demokrasi, setiap pihak wajar mendapat hak yang sama, termasuk untuk muncul di media arus perdana,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu.

“Ruang itu harus juga diberi kepada pembangkang. Ini perkara asas demokrasi dan sejajar dengan slogan transformasi Najib,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Nik Nazmi, kali terakhir Anwar muncul di televisyen pada 2008, sewaktu debat harga minyak bersama Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Ahmad Shabery Chik.

“Najib berjanji untuk beri semua pimpinan termasuk pembangkang berkempen menjelang pilihan raya. Ia sepatutnya dijadikan kebiasaan bagi menjamin proses pendemokrasian di negara ini,” tambahnya.

Jun lalu, jemaah menteri meluluskan kertas kabinet yang dikemuka Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Ia kononnya memberi peluang sama rata kepada setiap parti politik yang bertanding pada PRU 13 untuk menjelaskan manifesto mereka menerusi stesen televisyen./KeadilanDaily

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.