Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka yang berjaya menghimpukan ratusan ribu rakyat pelbagai kaum Sabtu lalu, pada mulanya hanya menyerlahkan rasa gundah-gulana para pemimpin UMNO terhadap masa parti itu sehingga mereka tidak habis-habis mencipta teori dan logik untuk menafikan perhimpunan itu sebenarnya memang mendapat sambutan yang jitu daripada rakyat.
Ada antara mereka yang tampil menafikan jumlah ratusan ribu yang hadir, ada yang mengatakan hanya Melayu dan Cina yang hadir manakala orang India tidak memberi sambutan, ada yang cuba mengorek kesalahan dengan mengaitkan kehadiran kanak-kanak, perhimpunan didakwa melanggar undang-undang kerana melebihi 30 ribu dan pelbagai rekayasa lagi dicipta untuk memujuk hati sendiri.
Dalam ada itu, ramai pula yang terdiam tidak mampu berkata apa-apa kerana mengakui kebangkitan yang ditunjukkan rakyat kali ini adalah sesuatu yang tidak mampu ditahan oleh sesiapa pun.
Najib Razak yang selalunya akan mengecam perhimpunan seperti itu, kali ini turut mengubah nada.
Beliau cuba menumpang kredit dengan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya mengendalikan perhimpunan itu dengan aman.
Sambil memuji tindakan profesional pihak berkuasa dalam menjalankan tugas, Najib berkata kesediaan Pakatan Rakyat menghormati semangat Akta Perhimpunan Aman, jelas menunjukkan kejayaan politik BN dan reformasi yang diusahakan kerajaan.
Menurut Perdana Menteri lagi, walaupun tidak bersetuju dengan pembangkang tetapi tindakan mereka yang berjaya mengendalikan perhimpunan dengan aman wajar diberikan ucapan terima kasih.
Dalam hal ini, Najib nampaknya sedar dengan kemahuan rakyat. Hak berhimpun dan menyatakan pendirian adalah hak asasi manusia yang dibenarkan oleh undang-undang. Dunia juga mengiktiraf hak tersebut.
Najib cuba mengambil sikap yang lebih lunak dalam hal ini. Beliau tidak mahu berkeras lagi kerana lagi keras sikap yang ditunjukkannya, lagi keras penolakan rakyat.
Beberapa sikap kerasnya sebelum ini membuktikan hakikat tersebut. Sebab itu, Najib menukar nada dengan cuba menumpang kredit di sebalik himpunan kebangkitan rakyat kali ini.
Dengan membenarkan perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka, tidak lagi mengerah pihak polis bersikap keras sebagaimana Himpunan Bersih 2.0 dan 3.0 sebelum ini dan kemudian memberikan penghargaan kepada Pakatan Rakyat, Najib sebenarnya cuba menunjukkan beliau seorang pemimpin yang baik, sedia bertolak ansur dan "gentleman".
Walaupun beliau menyedari penyokong setia PAS, PKR dan DAP tidak mungkin menyokong dan memberi undi kepada BN, tetapi sasarannya ialah pengundi atas pagar.
Beliau mahu pengundi atas pagar menilai kebaikannya dan melupakan kesilapannya selama ini.
Dengan tarikh pilihanraya kian hampir, Najib kini mahu dilihat sebagai seorang yang serba baru.
Tidak saja menunjuk baik, budiman dan sedia bertolak ansur, Najib juga meminjam perkataan reformasi untuk menunjukkan sikapnya itu sedangkan perkataan yang selalu disebutnya ialah transformasi, bukannya reformasi.
Reformasi adalah perkataan popular Anwar Ibrahim sejak 1998 lagi.
Walaupun ada yang berkata Najib seperti "buang tabiat" bila menyebut perkataan reformasi dan menyimpan perkaraan transformasi yang sering menjadi basahan mulutnya selama ini, hakikatnya Najib sedang cuba memenangi hati rakyat yang lebih memihak kepada pembangkang ketika ini.
Beliau sedang cuba melakukan "reverse psikologi" untuk mendapatkan undi. Ini merupakan usaha terbarunya untuk menghadapi PRU 13 setelah melakukan pelbagai cara seperti memujuk, merayu, menabur janji, memberi wang, memberi beras dan sebagainya.
Walaupun Najib mungkin turut takut, bimbang dangundah-gulana akan kehilangan kuasa, tetapi beliau cuba menyembunyikan perasaan itu.
Sikap itu berbeza dengan Mahathir yang nampaknya tidak mampu menyembunyikan lagi perasaan dalam hatinya. Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu secara terang-terangan menyifatkan #HKR112 adalah bertujuan menggulingkan kerajaan.
Menurut Mahathir, PAS,PKR dan DAP merancangkan himpunan tersebut adalah bertujuan mencetuskan kebencian rakyat terhadap kerajaan dan berharap kerajaan dapat digulingkan dengannya sebagaimana yang berlaku di beberapa negara Arab sebelum ini.
Selain berterus-terang dan gagal menyembunyikan resah dijiwa, Mahathir juga menunjukkan beliau lebih takut daripada Najib jika UMNO dan BN tumbang dalam pilihanraya akan datang dan seterusnya tidak lagi menjadi kerajaan.
Walaupun Najib dan semua pemimpin UMNO turut bimbang akan kehilangan kuasa, tetapi nampaknya ketakutan Mahathir amat besar.
Apakah yang paling ditakutinya dan apakah kepentingannya yang bakal hilang jika UMNO tumbang?
Apakah Mahathir takut Anwar berdendam terhadapnya?
Diakui jika BN kalah, Najiblah yang mengalami kehilangan paling besar iaitu jawatan Perdana Menteri yang disandangnya serta pelbagai nikmat yang melimpah ruah untuknya sekeluarga tetapi dalam hal ini Mahathir kelihatan lebih takut daripada Najib.
Najib masih boleh menyembunyikan kerisauan dan gundah-gulananya tetapi Mahathir seperti tidak tertahan kebimbangannya dan seolah-olah mahukan semua jentera BN segera bangun dan mengumpul segala kekuatan yang ada untuk mempertahankan kerajaan yang ada.
Semua orang mungkin boleh menelah apakah kebimbangan Mahathir jika BN tumbang dalam pilihanraya nanti.
Mungkin legasi selama 22 tahun yang dibimbanginya, mungkin masa depan anaknya dalam politik yang difikirkannya, mungkin kontrak berbillion ringgit yang melibatkan anak-anaknya bakal berakhir yang merisaukannya, mungkin kecurangannya selama berkuasa bakal terbongkar yang menghantuinya dan pelbagai kemungkinan lain lagi yang menghimpit jiwa raganya.
Wikipedia sebelum ini menyenaraikan Mahathir sebagai bekas pemimpin kedua terkaya di dunia selepas Hosni Mubarak dengan kekayaan dianggarkan berjumlah US$44 billion (senarai itu kemudian dipadamkan.
Apakah Mahathir juga bimbang kekayaannya dibongkar dan diketahui umum sebagaimana bekas-bekas pemimpin sebelum ini?
Namun oleh kerana Mahathir secara terbuka menunjukkan beliau lebih risau, takut dan gundah-gulana akan kemungkinan tumbangnya UMNO dan hilangnya kuasa BN dalam pilihanraya akan datang berbanding Najib, sudah tentunya kepentingan yang mahu dilindunginya juga amat besar, tentunya lebih besar daripada semua kepentingan Najib sekeluarga.
Hanya dengan tumbangnya BN, semua itu bakal terungkai nanti.(SH 14/01/2013)
Nizar
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.